Skrin pentas memaparkan pengumuman “Kategori IPT, Tempat Ke-3: Moodify” bersama nama tiga penyelidik UTM, ketika majlis penyampaian hadiah berlangsung.

Moodify UTM raih tempat ketiga cabaran inovasi teknologi kreatif di FOI Putrajaya 2026

SDGSDG3SDG4SDG16

📝 Ringkasan

Pasukan penyelidik UTM, Moodify, telah meraih tempat ketiga dalam Creative Technology & Innovation Challenge 2026 sempena Festival Idea Putrajaya 2026. Inovasi Moodify, Multilingual Socio-Emotional Edutainment dengan RAG-LLM AI Analytics for Teachers, menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, 4 dan 16. Pasukan penyelidik itu diketuai oleh Norlila Chng, seorang calon Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi Pendidikan. Moodify berpotensi menjadi salah satu pendekatan sokongan kepada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang memperuntukkan masa khusus setiap minggu bagi pendidikan karakter murid.

PUTRAJAYA, 18 Nov. – Inovasi Moodify: Multilingual Socio-Emotional Edutainment with RAG-LLM AI Analytics for Teachers dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraih tempat ketiga bagi kategori Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) dalam Creative Technology & Innovation Challenge 2026 sempena Festival Idea (FOI) Putrajaya 2026.

Kejayaan itu melayakkan pasukan penyelidik Moodify menerima geran padanan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berjumlah RM3,000 melalui IPT bagi menyokong pembangunan inovasi berkenaan ke peringkat seterusnya.

Pasukan Moodify menerima geran padanan R&D berjumlah RM3,000 dan sijil penghargaan selepas meraih tempat ketiga kategori IPT

Pasukan penyelidik itu diketuai oleh Norlila Chng, 24, calon Doktor Falsafah dalam bidang Psikologi Pendidikan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM. Beliau dibimbing oleh penyelianya, Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari dari fakulti yang sama, serta penasihat, Prof. Madya Dr. Mohd. Murtadha Mohamad dari Fakulti Komputeran, UTM.

Skrin pentas memaparkan pengumuman “Kategori IPT, Tempat Ke-3: Moodify” bersama nama tiga penyelidik UTM, ketika majlis penyampaian hadiah berlangsung.
Norlila Chng (dua dari kiri) dan Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari (dua dari kanan) menerima hadiah tempat ketiga kategori IPT daripada Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Profesor Dr. Azlinda Azman

Moodify turut didaftarkan di bawah Sistem Inovasi dan Pengkomersialan (INNOCOMMS) UTM dengan nombor rujukan IP/CR/09399. Inovasi berkenaan menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 3, iaitu Kesihatan yang Baik dan Kesejahteraan; SDG 4, Pendidikan Berkualiti; serta SDG 16, Keamanan, Keadilan dan Institusi yang Kukuh.

Pencapaian itu dicapai selepas Moodify berjaya menempatkan diri dalam kalangan lapan finalis kategori IPT daripada 632 penyertaan yang diterima di seluruh negara. Secara keseluruhan, 25 finalis daripada tiga kategori, iaitu Sekolah, IPT dan Terbuka, layak ke peringkat akhir pertandingan.

Pusingan akhir yang berlangsung di Dewan Putra A, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) itu diadakan di bawah program Ideas in Action. Setiap finalis diberikan masa lima minit untuk membentangkan inovasi masing-masing, diikuti sesi soal jawab selama lima minit bersama panel pakar dalam bidang kecerdasan buatan (AI), pendidikan, psikologi, dasar dan kandungan digital.

FOI PUTRAJAYA 2026
Norlila Chng membentangkan inovasi Moodify di hadapan panel penilai pada pusingan akhir Creative Technology & Innovation Challenge 2026 di PICC

Menurut Norlila, pembangunan Moodify tercetus daripada kajian awal bersama guru dan kaunselor sekolah yang mendapati sebahagian murid menghadapi kesukaran mengenal pasti serta meluahkan emosi melalui perkataan.

Keadaan itu mendorong pasukan penyelidik meneroka pendekatan pembelajaran yang dapat membantu kanak-kanak memahami dan menyampaikan perasaan dengan lebih baik, sekali gus menyokong perkembangan emosi serta interaksi sosial yang positif.

“Pendidikan emosi perlu bermula seawal sekolah rendah. Apabila kanak-kanak ada perkataan untuk meluahkan perasaan mereka, mereka tidak perlu lagi meluahkannya melalui tangan,” katanya.

Keperluan terhadap pendidikan emosi dalam kalangan kanak-kanak turut mendapat perhatian berdasarkan dapatan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023 yang menunjukkan satu daripada enam kanak-kanak berumur lima hingga 15 tahun mengalami masalah kesihatan mental, bersamaan kira-kira 922,318 orang.

Jumlah berkenaan dilaporkan meningkat dua kali ganda berbanding 2019. Sementara itu, data Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) merekodkan 4,289 kes buli di sekolah dan asrama dalam tempoh enam bulan, dari Mac hingga Ogos 2026. Jumlah tersebut telah melebihi keseluruhan kes yang direkodkan sepanjang 2025, dengan buli fizikal mencatatkan jumlah tertinggi, iaitu 2,480 kes.

Dalam konteks pendidikan semasa, Moodify berpotensi menjadi salah satu pendekatan sokongan kepada pelaksanaan Kurikulum Persekolahan 2027 (KP2027) yang memperuntukkan masa khusus setiap minggu bagi pendidikan karakter murid mulai 2027. Pelaksanaan slot berkenaan melibatkan waktu Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral.

Norlila Chng (kiri) dan Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari di ruang Wall of Ideas sempena Festival Idea Putrajaya 2026

Sehubungan itu, Moodify direka untuk digunakan oleh semua murid tanpa mengira latar belakang agama, manakala guru mata pelajaran boleh memanfaatkan aplikasi berkenaan dalam aktiviti pengajaran dan pembelajaran tanpa memerlukan latihan khusus.

Pendekatan ini juga berpotensi menyokong peranan guru dalam membimbing perkembangan emosi murid secara berterusan di dalam bilik darjah, sebagai pelengkap kepada sokongan yang diberikan melalui perkhidmatan kaunseling sekolah.

Menerusi aktiviti pembelajaran berunsur hiburan dan pendidikan, murid sekolah rendah didedahkan kepada kemahiran mengenal pasti, meluahkan dan mengurus emosi. Pendekatan tersebut turut mempunyai kaitan dengan empat teras karakter yang digariskan dalam KP2027, iaitu Penyayang, Berdaya Tahan, Berupaya Memimpin dan Warganegara Aktif.

Selain itu, Moodify disediakan secara percuma dalam empat bahasa, iaitu bahasa Melayu, Inggeris, Cina dan Tamil. Ciri kepelbagaian bahasa ini membolehkan murid daripada pelbagai kaum dan aliran sekolah mengakses aktiviti pembelajaran emosi menggunakan bahasa yang lebih dekat dengan mereka.

Sebelum ini, Moodify telah dirintis bersama ratusan murid Tahun Satu hingga Tahun Tiga di sebuah sekolah rendah di Johor Bahru dan menerima maklum balas positif daripada guru yang terlibat. Inovasi berkaitan Moodify turut memperoleh Pingat Gangsa dalam pertandingan New Academia Learning Innovation (NALI) 2026 anjuran UTM CDex.

Norlila Chng (tengah) bersama ibunya (kiri) dan penyelianya, Prof. Madya Dr. Zakiah Mohamad Ashari, selepas menerima pengiktirafan tempat ketiga kategori IPT

Kejayaan terbaharu di Festival Idea Putrajaya 2026 itu memberikan pengiktirafan tambahan terhadap usaha pembangunan Moodify, selain membuka ruang untuk inovasi berkenaan terus ditambah baik dan diteroka bagi penggunaan yang lebih meluas, khususnya dalam menyokong pendidikan karakter menerusi KP2027.

Festival Idea Putrajaya 2026 anjuran Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) berlangsung dari 17 hingga 19 November 2026 dengan tema “Malaysia Masa Hadapan: Menggagas Teknologi, Mengangkat Insani”. Penganjurannya bertujuan merakyatkan idea dengan memastikan ilmu dan inovasi daripada institusi pendidikan tinggi dapat disampaikan kepada masyarakat serta dimanfaatkan dalam pembangunan produk dan dasar negara.

Selaras dengan matlamat tersebut, Creative Technology & Innovation Challenge 2026 yang bertemakan Edutainment & Innovation memberi tumpuan kepada penerokaan teknologi, termasuk AI, bagi menghasilkan penyelesaian terhadap keperluan sebenar masyarakat. Pertandingan itu menawarkan hadiah keseluruhan berjumlah RM50,000.

Explore More

UTM Open Day