📝 Ringkasan
Penerbit UTM telah mencapai kejayaan apabila dua jurnal terbitannya, Malaysian Journal of Fundamental and Applied Sciences (MJFAS) dan International Journal of Innovation and Business Strategy (IJIBS), menerima pengiktirafan Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2026. Pencapaian ini menunjukkan komitmen UTM dalam meningkatkan kualiti penerbitan ilmiah dan memperluas penyebaran hasil penyelidikan. Kejayaan ini diharapkan akan meningkatkan reputasi jurnal universiti dan impak penyelidikan UTM di peringkat nasional dan antarabangsa.
PUTRAJAYA, 19 Nov. – Penerbit Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus melakar keunggulan dalam bidang penerbitan ilmiah apabila dua jurnal terbitannya menerima pengiktirafan menerusi Malaysia Scopus Research Star Award (MRSA) 2026. Pencapaian ini sekali gus memperkukuh kedudukan UTM sebagai institusi yang komited terhadap kecemerlangan penerbitan akademik pada peringkat nasional dan antarabangsa.
Majlis Malam Anugerah Malaysia Scopus Research Star Award 2026 berlangsung pada Rabu, 18 November 2026, bertempat di Millennium Grand Ballroom, Le MĂ©ridien Putrajaya. Penyampaian anugerah telah disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir. Majlis tersebut turut dihadiri oleh wakil institusi pengajian tinggi, penerbit, penyelidik dan warga akademik bagi meraikan kecemerlangan dalam bidang penyelidikan serta penerbitan ilmiah.
Dalam pengiktirafan tersebut, Malaysian Journal of Fundamental and Applied Sciences (MJFAS) menerima anugerah dalam kategori jurnal berindeks Scopus bagi bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Perubatan. Jurnal ini diterajui oleh Ketua Editor, Prof. ChM. Dr. Madzlan Aziz dari Fakulti Sains UTM.
Sementara itu, International Journal of Innovation and Business Strategy (IJIBS) turut menerima pengiktirafan dalam kategori Jurnal Berpotensi (Bidang Sains Sosial). Jurnal ini diterajui oleh Ketua Editor, Prof. Madya Dr. Rossilah Jamil dari Sekolah Perniagaan Antarabangsa Azman Hashim UTM.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Ts. Dr. Ali Selamat, dan Pengarah Penerbit UTM, Prof. Madya Dr. Siti Rahmah Awang bagi meraikan pencapaian kedua-dua jurnal UTM berkenaan.

Pengiktirafan yang diterima oleh MJFAS dan IJIBS mencerminkan komitmen berterusan UTM melalui Penerbit UTM Press, khususnya Unit Jurnal, dalam memperkukuh kualiti penerbitan ilmiah dan memperluas penyebaran hasil penyelidikan. Kejayaan ini turut memperlihatkan sumbangan kepimpinan editorial, penyelidik, penulis dan penyemak dalam membangunkan jurnal akademik yang berkualiti serta berdaya saing.
Pencapaian ini menjadi pemangkin kepada usaha berterusan Penerbit UTM dalam meningkatkan piawaian penerbitan bertaraf dunia, memperkukuh reputasi jurnal universiti dan memperluas impak penyelidikan UTM di peringkat nasional serta antarabangsa. Kejayaan MJFAS dan IJIBS ini memberikan makna besar terhadap kejayaan UTM mengangkat kekuatan bidang Sains, Teknologi dan Kejuruteraan serta bidang Sains Sosial.
Kekuatan reputasi melalui kecemerlangan penerbitan jurnal-jurnal memberikan lonjakan terhadap usaha UTM memperkasa bidang-bidang tujahan UTM secara menyeluruh. Kejayaan ini berpotensi menjadikan bidang-bidang tujahan UTM iaitu Sains dan Teknologi, Kejuruteraan serta Sains Sosial dan Kemanusiaan lebih terkehadapan, sejajar dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 melalui salah satu teras Keunggulan Terbilang iaitu Lonjakan Kebitaraan.
Iltizam ini akan diperkukuhkan melalui penubuhan Pusat Sitasi UTM. Entiti ini akan bertindak sebagai pusat peningkatan impak penyelidikan UTM melalui penerbitan berkualiti tinggi yang dirujuk oleh pelbagai pihak seantero dunia, serta keupayaan untuk memajukan kedudukan UTM dalam peta pendidikan tinggi global melalui reputasi akademik yang diperakui serta penghasilan bakat penyelidikan terbaik, khususnya World Top 2% Scientist.
Penerbit UTM Press, Universiti Teknologi Malaysia (UTM)