Semester pertama di universiti bina langkah dan keyakinan diri

SDGSDG4SDG8SDG10

📝 Ringkasan

Pelajar prasiswazah perlu menyesuaikan diri dengan kehidupan di universiti yang berbeza dengan peringkat prauniversiti. Mereka perlu lebih proaktif mencari bahan rujukan, mengurus masa dan menentukan kaedah pembelajaran yang sesuai. Tugasan di universiti juga menuntut pelajar berfikir secara lebih kritis dan berdikari.

Semester pertama sebagai pelajar prasiswazah sering mengingatkan saya kepada pengalaman sendiri ketika mula menjejakkan kaki ke universiti. Ketika itu, saya teruja untuk memulakan pengajian, namun pada masa yang sama berasa gementar memikirkan bagaimana hendak menyesuaikan diri dengan kehidupan di kampus. Perasaan bercampur baur ini mungkin turut dialami oleh pelajar baharu yang sedang memulakan perjalanan mereka di universiti. Pada semester pertama, mereka bukan sahaja perlu membiasakan diri dengan kaedah pembelajaran yang lebih berdikari, malah berpeluang mengenali rakan baharu dan belajar mengurus kehidupan harian sendiri.

Sebelum melangkah ke peringkat prasiswazah, kebanyakan pelajar telah melalui pelbagai laluan pendidikan seperti Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), matrikulasi, program asasi atau diploma di politeknik. Pada peringkat prauniversiti, jadual pembelajaran lazimnya lebih tersusun, manakala pemantauan pensyarah lebih kerap. Namun begitu, suasana pembelajaran di universiti agak berbeza. Pelajar perlu lebih proaktif mencari bahan rujukan, mengurus masa serta menentukan kaedah dan waktu yang sesuai untuk mengulang kaji setiap kursus yang diikuti.

Selain itu, tugasan di universiti lazimnya menuntut pelajar berfikir secara lebih kritis dan berdikari. Bagi sesetengah pelajar tahun pertama, perubahan ini memerlukan masa untuk dibiasakan, khususnya ketika memahami kehendak tugasan dan jangkaan pensyarah. Melalui bimbingan pensyarah serta pengalaman menyiapkan pelbagai tugasan, pelajar secara beransur-ansur dapat membina keyakinan untuk mengurus pembelajaran sendiri.

Dalam menyesuaikan diri dengan kehidupan universiti, aspek kesejahteraan emosi juga tidak harus diketepikan. Ada kalanya, beberapa tugasan perlu disiapkan dalam minggu yang sama, sedangkan pelajar masih dalam proses memahami kaedah pembelajaran dan kehendak pensyarah. Melihat rakan sekelas yang lebih yakin mengemukakan soalan atau aktif menyertai program kampus juga boleh mendorong sesetengah pelajar membandingkan perkembangan diri dengan orang lain.

Hakikatnya, setiap pelajar mempunyai tempoh penyesuaian yang berbeza. Langkah mudah seperti menyusun keutamaan tugasan, menyediakan masa untuk berehat dan melakukan aktiviti yang diminati dapat membantu mereka mengurus kesibukan dengan lebih teratur. Pada masa yang sama, sokongan daripada orang sekeliling juga memainkan peranan penting. Perbualan ringkas dengan rakan tentang kesibukan tugasan atau panggilan telefon kepada ahli keluarga apabila merindui suasana di rumah boleh memberikan kelegaan. Sekiranya memerlukan ruang untuk berkongsi perkara yang lebih peribadi, pelajar juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling yang disediakan oleh pihak universiti.

Selain penyesuaian akademik dan emosi, kehidupan di universiti turut mengajar pelajar mengurus kewangan sendiri. Saya masih ingat pengalaman ketika mula tinggal berjauhan daripada keluarga semasa menjadi pelajar prasiswazah. Saya perlu bijak membahagikan wang belanja untuk makan, membeli barangan keperluan peribadi dan mencetak tugasan. Pada waktu itu, kebanyakan tugasan perlu dicetak dan diserahkan sendiri kepada pensyarah, menyebabkan kos percetakan turut perlu diambil kira. Saya bersyukur kerana pengalaman semasa di matrikulasi banyak membantu saya membuat persediaan dalam mengurus perbelanjaan dan keperluan harian.

Dalam sesetengah minggu, pelajar perlu menyiapkan tugasan berkumpulan dan membuat persediaan untuk kuiz, selain memastikan wang belanja mencukupi sehingga hujung bulan. Oleh itu, perancangan perbelanjaan mingguan dan penetapan masa untuk berbincang dengan ahli kumpulan merupakan antara langkah mudah yang boleh membantu mengurus komitmen dengan lebih baik.

Pada masa yang sama, kehidupan berjauhan daripada keluarga turut mengajar pelajar berdikari dalam urusan harian seperti mencuci pakaian, memastikan waktu makan teratur dan mendapatkan tidur yang mencukupi. Rutin harian yang terurus bukan sahaja membantu mengekalkan kesihatan, malah membolehkan pelajar memberikan tumpuan yang lebih baik semasa mengikuti kuliah dan menyiapkan tugasan.

Bagi pelajar yang pertama kali tinggal jauh daripada keluarga, minggu-minggu awal di universiti mungkin memberikan pengalaman yang berbeza. Mengenali rakan yang mempunyai persamaan, termasuk berasal dari negeri yang sama, boleh menjadi salah satu cara untuk membiasakan diri dengan persekitaran baharu.

Saya masih teringat pengalaman ketika berada di tahun pertama pengajian prasiswazah. Ketika itu, saya lebih mudah berkenalan dengan rakan yang berasal dari negeri yang sama. Loghat yang biasa didengar dan cerita tentang tempat asal menjadi pembuka bicara ketika kami mula berkenalan. Apabila semakin selesa dengan kehidupan di kampus, saya mula memberanikan diri untuk menegur dan berkawan dengan rakan dari negeri lain.

Membina persahabatan sememangnya memerlukan masa. Namun, perbualan ringkas selepas kuliah, kerjasama menyiapkan tugasan berkumpulan dan penyertaan dalam aktiviti kampus boleh membuka peluang untuk mengenali rakan daripada pelbagai latar belakang. Hubungan yang terjalin ini juga dapat mewujudkan persekitaran yang lebih mesra sepanjang tempoh pengajian.

Ilustrasi semester pertama pelajar prasiswazah yang sedang berbincang tentang tugasan di kampus.
Ilustrasi pelajar prasiswazah berbincang dan menyiapkan tugasan bersama-sama pada semester pertama pengajian

Membina pengalaman positif sepanjang semester pertama

Dalam menjalani semester pertama, terdapat beberapa amalan yang boleh membantu pelajar menyesuaikan diri dengan kehidupan di universiti. Antaranya ialah merancang masa dengan bijak. Penggunaan kalendar atau aplikasi pengurusan masa dapat membantu pelajar mencatat tarikh akhir tugasan dan peperiksaan. Tugasan yang besar juga boleh dipecahkan kepada beberapa bahagian kecil supaya lebih mudah disiapkan secara berperingkat. Ketika menjadi pelajar dahulu, saya gemar mencatat tugasan pada nota lekat dan menampalnya pada papan di hadapan meja belajar. Kaedah mudah ini membolehkan saya melihat dengan jelas tugasan yang perlu diselesaikan terlebih dahulu.

Selain itu, pelajar digalakkan menyertai aktiviti kampus seperti program orientasi, kelab dan persatuan. Aktiviti sedemikian bukan sahaja memberikan peluang untuk mengenali rakan baharu, malah membantu pelajar membiasakan diri dengan persekitaran universiti. Berdasarkan pengalaman saya, perbualan lebih mudah dimulakan apabila berkongsi minat yang sama. Misalnya, ketika menyertai aktiviti sukan memanah dahulu, perbualan mengenai latihan menjadi titik permulaan untuk saya mengenali rakan baharu.

Penjagaan kesihatan fizikal juga penting sepanjang semester. Walaupun jadual kuliah dan tugasan agak padat, pelajar boleh meluangkan sedikit masa untuk berjalan kaki, berjoging atau beriadah bersama rakan. Saya masih ingat pengalaman berkelah bersama rakan-rakan kelab pada suatu petang. Kesempatan untuk berada di luar sambil berbual santai memberikan ruang untuk berehat selepas melalui minggu yang dipenuhi kuliah dan tugasan. Sekiranya memilih untuk beriadah di luar kampus, pelajar disarankan memilih lokasi yang sesuai dan selamat serta memaklumkan perancangan kepada individu yang dipercayai.

Di samping itu, hubungan dengan pelajar senior dan mentor juga boleh dimanfaatkan. Program atau aktiviti anjuran kelab dan persatuan memberikan ruang kepada pelajar tahun pertama untuk berkenalan dengan mahasiswa yang lebih berpengalaman. Mereka boleh mendapatkan pandangan berkaitan pengurusan tugasan, pemilihan aktiviti kampus dan penyesuaian terhadap rutin pengajian. Perkongsian pengalaman ini sedikit sebanyak dapat membantu pelajar memperoleh gambaran yang lebih jelas tentang kehidupan di universiti.

Akhir sekali, pelajar tidak perlu berasa segan untuk mendapatkan bantuan apabila berhadapan dengan kesukaran. Penasihat akademik boleh dirujuk bagi mendapatkan panduan berkaitan pengajian, manakala rakan pembimbing boleh berkongsi pengalaman tentang kehidupan di kampus. Jika memerlukan perbincangan secara lebih peribadi, pelajar juga boleh mendapatkan khidmat kaunseling melalui unit berkaitan di universiti.

Semester pertama bukan sekadar permulaan kepada perjalanan akademik, malah menjadi ruang untuk pelajar mengenali potensi diri, membina hubungan dan mempelajari kemahiran mengurus kehidupan secara berdikari. Setiap pengalaman, sama ada dalam bilik kuliah, ketika menyiapkan tugasan mahupun semasa berinteraksi dengan rakan, merupakan sebahagian daripada proses penyesuaian diri.

Rasa penat, keliru atau rindu akan keluarga merupakan pengalaman yang boleh dilalui sepanjang tempoh tersebut. Dengan perancangan yang baik serta sokongan daripada orang sekeliling, pelajar dapat membina keyakinan dan menikmati pengalaman sebagai mahasiswa dengan lebih bermakna.

Explore More

UTM Open Day