📝 Ringkasan
Graduan diseru menggunakan ilmu dan kepakaran untuk menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang menyelesaikan masalah masyarakat. Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor menekankan graduan untuk berpegang pada nilai kejujuran, integriti dan amanah dalam apa jua bidang yang diceburi. Baginda juga menyeru agar pendidikan inklusif diperkukuhkan dan keperluan anak-anak neurodivergen difahami.
JOHOR BAHRU, 15 Nov. – Graduan diseru memanfaatkan ilmu dan kepakaran yang diperoleh di universiti untuk menghasilkan penyelidikan dan inovasi yang mampu menyelesaikan masalah sebenar masyarakat.
Yang Amat Mulia Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor, Pro-Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bertitah, ilmu dan kemahiran yang dibawa graduan ketika melangkah ke fasa baharu kehidupan seharusnya menjadi asas untuk mereka menyumbang kepada masyarakat.
“Jadilah jurutera yang membangunkan teknologi untuk memudahkan kehidupan manusia. Jadilah pendidik yang tidak pernah berputus asa membimbing murid yang memerlukan perhatian.
“Jadilah penyelidik yang menghasilkan penemuan untuk menyelesaikan masalah sebenar yang dihadapi masyarakat,” titah Baginda sempena sidang Majlis Konvokesyen UTM Ke-70 yang meraikan graduan doktor falsafah (PhD) dan sarjana di sini, hari ini.
Baginda turut mengingatkan graduan supaya berpegang pada nilai kejujuran, integriti dan amanah dalam apa jua bidang yang diceburi. Nilai itu, titah Baginda, akan menentukan bagaimana mereka menggunakan peluang yang terbuka hasil daripada ilmu dan kemahiran yang dimiliki.
Dalam titah yang sama, Baginda turut menekan semua pihak memperkukuh pendidikan inklusif, khususnya dengan memastikan setiap kanak-kanak mendapat peluang belajar dan sokongan yang bersesuaian dengan keperluan mereka. Kejayaan sesebuah sistem pendidikan bukan hanya diukur dari sudut kecemerlangan tetapi turut diukur melalui keupayaan membuka peluang yang saksama kepada golongan yang paling memerlukan.
“Apakah maknanya kemajuan pendidikan sekiranya masih ada anak-anak yang tercicir, bukan kerana kekurangan kemampuan, tetapi kerana keterbatasan peluang?” titah Baginda.
Baginda menjelaskan, pendidikan yang adil memerlukan sokongan yang sesuai dengan keadaan setiap pelajar. Anak daripada keluarga kurang berkemampuan mungkin memerlukan bantuan kewangan, manakala pelajar kurang upaya mungkin memerlukan kemudahan pembelajaran yang bersesuaian termasuklah anak-anak di pedalaman yang memerlukan akses kepada teknologi dan persekitaran pembelajaran yang lebih baik boleh membantu mereka mengikuti pendidikan.
Baginda turut menyeru agar keperluan anak-anak neurodivergen difahami dan kebolehan mereka diberi ruang untuk berkembang.
“Janganlah kita membiarkan keadaan keluarga, keterbatasan fizikal, atau tempat kelahiran menjadi penentu kepada masa depan seseorang,” titah Baginda.
Menyentuh perkembangan kecerdasan buatan (AI), Baginda bertitah, teknologi itu membuka peluang baharu dalam pembelajaran dan pekerjaan, di samping memperkukuh etika dan rasa tanggungjawab dalam melunaskan tuntutan pekerjaan.
Baginda mengingatkan bahawa pertimbangan tentang perkara yang benar, adil dan beretika perlu tetap menjadi keutamaan untuk memastikan penggunaan AI memberi manfaat kepada masyarakat.
Baginda turut menekankan peranan UTM dalam membangunkan inovasi yang selamat dan menjawab keperluan sebenar masyarakat, selaras dengan kepakaran universiti itu dalam bidang sains, teknologi dan kejuruteraan.
Baginda juga menzahirkan harapan agar UTM terus memperluas peluang pendidikan dan menyumbang kepada pembangunan negara melalui penyelidikan dan inovasi.
Dalam pada itu, Baginda turut menitipkan pesanan kepada para graduan agar menggunakan setiap peluang untuk memimpin atau membuat keputusan dengan penuh kebijaksanaan dan tanggungjawab.
“Kerana pada akhirnya, kejayaan yang paling bermakna bukan hanya tentang apa yang kita capai, tetapi juga tentang apa yang kita sumbangkan,” titah Baginda.