📝 Ringkasan
Ir. Dr. Suharizal bin Mahamad Subri, seorang Jurutera Mekanikal Kanan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia, telah menamatkan PhD dalam bidang Pengurusan Fasiliti dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Beliau dilahirkan dengan kekurangan fizikal selepas dipatuk ular ketika berumur 12 tahun, namun tidak membiarkan kekurangan itu menghalangnya daripada meneruskan kehidupan dan mengejar kecemerlangan akademik.
JOHOR BAHRU, 15 Nov. – “Langkah saya mungkin berbeza, tetapi saya tetap berhak menuju impian yang besar.”
Demikian prinsip yang dipegang oleh Ir. Dr. Suharizal bin Mahamad Subri, Jurutera Mekanikal Kanan di Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia yang bakal menerima ijazah Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Pengurusan Fasiliti daripada Fakulti Alam Bina dan Ukur, Universiti Teknologi Malaysia (FABU UTM).

Kejayaan tersebut bukan sekadar pencapaian akademik, sebaliknya menjadi bukti ketabahan seorang insan yang berhadapan dengan pelbagai ujian kehidupan.
Dilahirkan dalam keadaan yang normal, kehidupan Ir. Dr. Suharizal berubah apabila beliau dipatuk ular ketika berumur 12 tahun sehingga kehilangan kaki kanan hingga ke paras lutut.
Namun, kekurangan fizikal itu tidak pernah memadamkan semangat beliau untuk meneruskan kehidupan dan mengejar kecemerlangan akademik.
Malah, beliau berjaya meraih keputusan 5A dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) pada tahun yang sama.
Menurut beliau, pesanan ibunya yang merupakan seorang guru menjadi sumber kekuatan terbesar dalam kehidupannya. Ibunya sentiasa mengingatkan agar beliau belajar bersungguh-sungguh, memberikan tumpuan kepada pendidikan dan tidak terlalu bergantung kepada bantuan orang lain.

Pesanan tersebut terus menjadi pegangan apabila beliau melanjutkan pelajaran ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Taiping, Perak semasa tingkatan 4. Pengalaman di asrama mengajar beliau untuk berdikari dan membina keyakinan diri meskipun perlu menyesuaikan kehidupan dengan keterbatasan fizikal.

Perjalanan akademik beliau diteruskan melalui biasiswa ke Indianapolis, Amerika Syarikat. Selepas menamatkan pengajian, beliau memulakan kerjaya sebagai Jurutera Penyelidikan dan Pembangunan di Proton sebelum menyertai JKR.
Sepanjang perjalanan kerjaya, beliau turut berhadapan dengan persepsi masyarakat terhadap Orang Kurang Upaya (OKU), khususnya ketika tahap kesedaran dan penerimaan masyarakat masih rendah.
Bagaimanapun, beliau memilih untuk tidak menjadikan pandangan tersebut sebagai penghalang. Sebaliknya, beliau percaya dengan kekuatan hati dan keyakinan terhadap kemampuan diri merupakan perkara penting untuk membina kehidupan yang lebih baik.
Beliau diberikan peluang untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat Sarjana dalam bidang aset dan fasiliti secara separuh masa selama dua tahun yang ditaja oleh JKR. Ketika bertugas di JKR Kedah, beliau sanggup berulang-alik ke Kuala Lumpur pada setiap hujung minggu bagi menghadiri kuliah.
Namun, perjalanan tersebut diselubungi kesedihan apabila ibunya meninggal dunia sebelum sempat menyaksikan beliau menamatkan pengajian Sarjana.
Beliau menyifatkan ibunya sebagai insan yang banyak membentuk kekuatan dan semangat beliau untuk terus berjaya, malah percaya doa seorang ibu menjadi faktor penting dalam perjalanan hidup beliau.
Perjalanan melanjutkan pengajian ke peringkat PhD pula bukan sesuatu yang mudah. Selepas beberapa kami permohonan, beliau akhirnya memperoleh biasiswa kerajaan.
Walaupun pengajian beliau berjalan lancar pada peringkat awal, pandemik COVID-19 telah membawa cabaran yang tidak pernah dijangka.
Keadaan kesihatan isterinya yang merosot menyebabkan beliau terpaksa mengutamakan tanggungjawab keluarga sehingga hampir tiga tahun memberikan tumpuan kepada penjagaan isteri.
Dalam tempoh tersebut, beliau mengakui pernah hampir berputus asa untuk meneruskan pengajian. Namun, sokongan dan kefahaman penyelia beliau, Prof. Sr. Dr. Maimunah binti Sapri, memberikan ruang serta kekuatan untuk beliau meneruskan perjuangan akademik beliau.
Akhirnya, dengan kesabaran, usaha dan sokongan insan sekeliling, beliau berjaya menamatkan pengajian PhD yang telah sekian lama diusahakan.
Beliau turut memberikan penghargaan kepada keluarga iaitu isterinya, Madihah Md Fadil yang merupakan pensyarah di UTMSPACE KL dan anak lelakinya, Muhammad Shodiqin, 17.

Kini, beliau bertugas di bahagian Perancangan Aset Bersepadu JKR, dengan pengalaman yang menggabungkan pengetahuan kejuruteraan, pengurusan aset dan fasiliti serta penyelidikan akademik.
Di sebalik komitmen terhadap kerjaya dan pengajian, Ir. Dr. Suharizal turut aktif dalam sukan golf menerusi penyertaannya bersama Adaptive Golf Malaysia, sebuah persatuan yang menghimpunkan pemain golf OKU.
Bagi beliau, sukan tersebut bukan sekadar aktiviti riadah, malah menjadi ruang untuk membuktikan bahawa keterbatasan fizikal tidak menghalang seseorang daripada melakukan perkara yang diminati.
Mengikuti perkembangan di luar negara, sukan ini telah dijadikan kejohanan dunia iaitu U.S Adaptive Open yang dianjurkan oleh Persatuan Golf Amerika Syarikat (USGA) yang memberikan peluang kepada pemain professional dan amatur merentasi lapan kategori kecacatan.

Mengakhiri perkongsian, beliau menitipkan pesanan kepada para pelajar dan golongan OKU agar tidak mudah membandingkan perjalanan hidup masing-masing dengan orang lain.
Setiap individu mempunyai cabaran dan laluan tersendiri. Apa yang lebih penting ialah terus berdoa, berusaha, memperbaiki diri dan membuktikan kemampuan kepada diri sendiri.
Kisah Ir. Dr. Suharizal menjadi gambaran bahawa kejayaan bukan ditentukan oleh sejauh mana mudahnya perjalanan seseorang, tetapi sejauh mana kuatnya tekad untuk terus melangkah meskipun berhadapan dengan pelbagai halangan.