Program Growing Green UTM galak penglibatan generasi muda dalam kelestarian alam

SDGSDG4SDG12SDG13SDG15SDG17

📝 Ringkasan

Program Growing Green UTM diadakan untuk meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar. Program ini melibatkan pelajar UTM, Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM) dan 25 orang Ahli Jawatankuasa Pelaksana. Program ini membantu meningkatkan kesedaran dan amalan bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

JOHOR BAHRU, 27 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) menganjurkan Program Growing Green for the Land of Ice & Green Footprints di kampus UTM Johor Bahru bagi meningkatkan kesedaran mengenai perubahan iklim dan kepentingan pemeliharaan alam sekitar, selaras dengan tema Youth Power, Cooler Future.

Program berkenaan dilaksanakan dengan sokongan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Yayasan Penyelidikan Antartika Sultan Mizan (YPASM), Tenaga Nasional Berhad (TNB) serta beberapa rakan strategik lain.

Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Nadzri Md. Reba menyampaikan ucapan perasmian program

Penyelaras Program Growing Green for the Land of Ice & Green Footprints 2026, LAr. Dr. Zanariah Jasmani berkata, penganjuran program itu bertujuan meningkatkan kesedaran warga kampus dan masyarakat mengenai cabaran perubahan iklim, pemuliharaan alam sekitar serta kepentingan tindakan bersama pada peringkat global.

“Penganjuran program Growing Green for the Land of Ice & Green Footprints ini bukan sahaja berjaya mengintegrasikan elemen pendidikan dan teknologi dalam pemuliharaan alam malah menjadi pemangkin kepada kerjasama strategik berterusan demi memelihara kelestarian bumi untuk generasi akan datang,” katanya.

Program ini berjaya mendaftarkan penyertaan seramai 137 orang peserta yang terdiri daripada pelajar UTM, pelajar Institut Pendidikan Guru (IPG) Kampus Temenggong Ibrahim, wakil-wakil daripada TNB, Majlis Perbandaran Pontian (MPPn), YPASM serta 25 orang Ahli Jawatankuasa Pelaksana.

“Kolaborasi rentas sektor ini mencerminkan sinergi kukuh antara institusi pengajian tinggi, agensi kerajaan, pihak berkuasa tempatan dan sektor industri dalam memupuk tanggungjawab sosial generasi muda,” katanya ketika ditemui selepas majlis perasmian program.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Dekan (Penyelidikan, Inovasi dan Pembangunan) FABU, Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Nadzri Md. Reba. Dalam ucapan perasmiannya, beliau menjelaskan bahawa peningkatan suhu global menyumbang kepada pencairan ais di Antartika, sekali gus memberi kesan terhadap kenaikan paras laut, ekosistem dan masyarakat di seluruh dunia.

Peserta menjalankan aktiviti penanaman pokok di kawasan yang ditetapkan

Beliau turut menekankan peranan penting generasi muda dalam membentuk masa depan yang lebih lestari, selaras dengan tema Sambutan Hari Antartika 2026, Youth Power, Cooler Future.

Selepas majlis perasmian, program diteruskan dengan taklimat keselamatan yang disampaikan oleh Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar) FABU, Prof. Madya LAr. Dr. Sapura Mohamad. Peserta turut mengikuti penerangan mengenai penggunaan aplikasi GeoTrees untuk pendaftaran dan pemantauan pokok secara digital yang disampaikan oleh Ts. Gs. Dr. Nurul Hawani Idris.

Selain itu, Muhamad Hairulnizam Ishak dari Pusat Pelestarian Kampus (UTMCCS) memberikan penerangan dan panduan mengenai teknik penanaman pokok bagi memastikan aktiviti tersebut dilaksanakan dengan kaedah yang betul. Turut hadir ialah Penolong Pendaftar Kanan UTMCCS, Kiflee Jimpi.

Peserta aktiviti Kutip dan Riadah (KUDAH) menimbang sisa bukan organik yang dikumpulkan

Dari segi pelaksanaan, program ini dibahagikan kepada dua komponen utama, iaitu Growing Green for the Land of Ice dan Green Footprints. Komponen pertama memberi tumpuan kepada aktiviti penanaman pokok secara langsung bagi menyokong penyerapan karbon, memelihara biodiversiti dan mengurangkan jejak karbon.

Sementara itu, komponen Green Footprints memberi pendedahan kepada peserta mengenai isu pencemaran mikroplastik dan pengurusan sisa pepejal. Melalui aktiviti yang dijalankan, peserta berpeluang memahami kesan pencemaran terhadap alam sekitar serta kepentingan menguruskan sisa secara bertanggungjawab.

Prof. Madya Ts. Gs. Dr. Mohd Nadzri Md. Reba (enam dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang. Turut menyampaikan hadiah, LAr. Dr. Zanariah Jasmani (lapan dari kanan)

Pelaksanaan program ini turut mendukung Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), khususnya SDG 13, Tindakan Iklim; SDG 15, Kehidupan di Darat; dan SDG 12, Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab. Ketiga-tiga matlamat tersebut diterapkan menerusi aktiviti penanaman pokok, pemeliharaan alam sekitar dan pengurusan sisa.

Di samping itu, program ini menyokong SDG 4, Pendidikan Berkualiti melalui aktiviti pendidikan dan peningkatan kesedaran mengenai kelestarian alam sekitar. Kerjasama antara universiti, agensi kerajaan dan rakan industri pula menyumbang kepada SDG 17, Perkongsian demi Matlamat, dalam usaha menangani cabaran perubahan iklim dan memelihara alam sekitar.

Secara keseluruhannya, penganjuran program ini menyediakan ruang kepada golongan muda untuk memahami isu perubahan iklim dan kelestarian alam sekitar melalui pendekatan pendidikan serta penglibatan secara langsung. Gabungan aktiviti penanaman pokok, pemantauan digital dan kesedaran pengurusan sisa diharap dapat menggalakkan amalan lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar dalam kalangan warga kampus dan masyarakat.

Explore More

UTM Open Day