📝 Ringkasan
Dua beradik, Nurul Syazwani dan Nurul Atikah Mohd Roslan, berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70. Mereka juga terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik 2026. Kedua-dua beradik itu memulakan pengajian masing-masing di UTM dengan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan syarikat tempat mereka bekerja. Mereka menghadapi cabaran dalam menyeimbangkan tanggungjawab kerjaya dan keluarga dengan pengajian.
JOHOR BAHRU, 16 November 2026 – Majlis konvokesyen bukan sekadar meraikan penyerahan ijazah, sebaliknya menjadi kemuncak kepada perjalanan panjang yang menuntut pengorbanan, kesabaran dan kecekalan.
Detik itu lebih bermakna buat dua beradik, Nurul Syazwani Mohd Roslan dan adiknya, Nurul Atikah Mohd Roslan, apabila kedua-duanya berjaya menamatkan pengajian peringkat sarjana dalam bidang kejuruteraan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) ke-70.
Lebih membanggakan, kedua-dua mereka turut terpilih sebagai penerima Anugerah Pelajar Pascasiswazah Terbaik 2026 bersempena Majlis Konvokesyen UTM ke-70 yang diadakan pada 13 November 2026.
Meskipun berbeza usia dua tahun, ikatan kekeluargaan yang erat serta hala tuju akademik yang hampir serupa menjadikan mereka seolah-olah “kembar akademik.”
Nurul Syazwani, yang dilahirkan pada tahun 1986, menghadiri sidang petang (Sesi 3), manakala Nurul Atikah, yang dilahirkan pada tahun 1988, bergraduasi pada sidang pagi (Sesi 2).
Kejayaan mereka memperlihatkan bahawa kesibukan kerjaya dan tanggungjawab keluarga bukan penghalang untuk terus menimba ilmu serta mencapai matlamat akademik.

Minat mendalam terhadap bidang kejuruteraan awam bukanlah sesuatu yang hadir secara kebetulan. Sejak kecil, kedua-dua beradik itu sering melihat arwah bapa mereka, yang bekerja sebagai kontraktor, menguruskan projek pembinaan.
“Pengalaman membesar dengan menyaksikan arwah bapa menguruskan kerja pembinaan, menyertai proses tender dan menyediakan senarai kuantiti (Bill of Quantities, BQ) secara tidak langsung menyemai minat kami terhadap bidang teknikal dalam diri,” titip Syazwani dan Atikah.
Nurul Syazwani mengimbas kembali detik beliau mula menentukan hala tuju kerjaya ketika berada di Tingkatan Empat di Sekolah Menengah Sains Tuanku Jaafar, Kuala Pilah.
Beliau memilih aliran sains teknikal dan memperoleh keputusan cemerlang A1 dalam subjek Lukisan Kejuruteraan, selain mencatatkan skor tinggi dalam Matematik Tambahan, Fizik dan Kimia.
Reputasi UTM sebagai universiti yang terkenal dalam bidang kejuruteraan menjadi sasaran utamanya sejak awal.
Beliau sanggup menolak tawaran Kolej Matrikulasi Johor demi menunggu tawaran Diploma Kejuruteraan Awam di UTM Kuala Lumpur.
Selepas itu, beliau meneruskan pengajian Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Awam di UTM Johor Bahru dengan tajaan biasiswa Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Bagi Nurul Atikah pula, perjalanan kakaknya menjadi inspirasi utama dalam menentukan hala tuju akademik.
Selepas menamatkan Diploma Kejuruteraan Awam di Politeknik Port Dickson dengan memperoleh Anugerah Pengarah, beliau turut bertekad melanjutkan pengajian ke UTM Johor Bahru.
Selepas menamatkan pengajian ijazah sarjana muda dengan keputusan kelas kedua atas, Nurul Atikah memulakan kerjaya sebagai jurutera di Geohan Sdn. Bhd., sebuah syarikat yang mengkhusus dalam kejuruteraan geoteknik.
Beliau telah berkhidmat di syarikat itu selama lebih lima tahun dan kini memegang jawatan Pengurus Projek.

Nurul Syazwani mengimbangi tanggungjawab sebagai isteri, ibu dan jurutera JKR
Bermula akhir 2011, Nurul Syazwani berkhidmat sebagai Jurutera Awam di Jabatan Kerja Raya (JKR) Malaysia. Walaupun telah memasuki alam pekerjaan, hasrat untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana sentiasa menjadi cita-citanya.
Peluang itu akhirnya terbuka apabila beliau menerima Hadiah Latihan Persekutuan (HLP) Separa Biasiswa daripada JPA untuk mengikuti program Sarjana Infrastruktur Mampan (Sustainable Infrastructure) di Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM Kuala Lumpur.
Program berkenaan merupakan kerjasama strategik antara JKR dan UTM yang disertai 12 pegawai JKR.
“Bagaimanapun, tanggungjawab sebagai penjawat awam, pelajar separuh masa dan ibu kepada anak-anak yang masih kecil menuntut pengorbanan besar. Dari Isnin hingga Jumaat, saya perlu menguruskan tugas pejabat yang padat namun pada hujung minggu pula, Sabtu dan Ahad diperuntukkan untuk menghadiri kelas secara bersemuka dari jam 9 pagi hingga 6 petang,” jelas beliau.
Selain disiplin diri dan kerjasama rakan sekerja JKR dalam kumpulan pengajian, bimbingan penyelia tesis, Prof. Ir. Ts. Dr. Shreeshivadasan Chelliapan, turut membantu beliau menyempurnakan pengajian.
Hasil usaha berterusan itu, Nurul Syazwani berjaya mengekalkan Purata Mata Gred Kumulatif (CPA) 4.00 sepanjang pengajian sarjananya.


Nurul Atikah menghadapi cabaran sektor swasta sebagai pengurus projek dan ibu kepada tiga anak
Bagi Nurul Atikah, perjalanan pengajian Sarjana Kejuruteraan Geoteknikal (Geotechnical Engineering) di UTM Kuala Lumpur pula mempunyai cabaran tersendiri.
Sebagai jurutera di sektor swasta, beliau menguruskan pelbagai projek kejuruteraan tanah di tapak pembinaan, termasuk projek geoteknikal di Genting Highlands dan tugasan di luar kawasan, seperti di Pulau Pinang. Tuntutan kerja itu memerlukan tahap fleksibiliti yang tinggi.
Namun, beliau mendapat kemudahan penajaan penuh pengajian sarjana melalui program penajaan syarikat tempat beliau bekerja.
“Sebagai ibu kepada tiga anak lelaki yang masih membesar, dengan anak sulung berusia sembilan tahun, cabaran paling besar bagi saya ialah kembali menyesuaikan diri dengan suasana akademik selepas 12 tahun meninggalkan alam pengajian ijazah sarjana muda,” ujarnya.
Beliau perlu menduduki peperiksaan bertulis secara manual dan mengulang kaji teori teknikal, sambil menguruskan projek tapak pembinaan yang beroperasi setiap hari.
Di bawah bimbingan penyelia tesisnya, Dr. Muhammad Irfan Shahrin, yang juga juniornya ketika mengikuti pengajian ijazah sarjana muda, Nurul Atikah berjaya menyiapkan projek sarjana berkaitan kestabilan cerun batu (rock slope) mengikut tempoh yang ditetapkan.
Kejayaannya bukan sahaja membolehkan beliau menamatkan pengajian, malah turut memberi inspirasi kepada rakan sekerja dan jurutera muda di syarikatnya untuk melanjutkan pengajian ke peringkat sarjana.


Perancangan masa hadapan dan pesanan buat generasi muda
Nurul Syazwani menitipkan pesanan untuk menekankan kepentingan mencabar kemampuan diri dan tidak mudah berpuas hati dengan tahap pendidikan yang telah dicapai.
“Cubalah belajar setinggi mana yang kita mampu. Jangan mudah berhenti pada satu tahap. Jika sudah sampai diploma, cuba sambung ke peringkat ijazah atau sarjana. Sesukar mana pun, pengorbanan itu perlu dihadapi. Banyakkan berdoa dan sentiasa berfikiran positif. Apabila kita belajar, kita akan melihat betapa luasnya ilmu Allah,” pesannya.
Sementara itu, Nurul Atikah mengingatkan bahawa proses menuntut ilmu tidak seharusnya terhenti selepas seseorang memperoleh kelayakan akademik tertentu.
“Menuntut ilmu sepanjang hayat. Biarlah orang mengatakan kita tamak ilmu, asalkan ilmu itu berguna untuk diri sendiri dan, paling penting, dapat dimanfaatkan untuk orang lain,” katanya.
Membuktikan komitmen tersebut, Nurul Atikah kini sedang dalam persediaan untuk memulakan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) pada Mac 2027 di UTM.
Kisah Nurul Syazwani dan Nurul Atikah memperlihatkan bahawa kejayaan akademik bukan hanya bergantung pada kemampuan individu, tetapi turut diperkukuh oleh kecekalan, pengurusan masa dan sokongan keluarga.
Perjalanan mereka menjadi bukti bahawa tanggungjawab kerjaya dan keluarga tidak semestinya menghalang seseorang daripada terus menimba ilmu serta merealisasikan impian.