📝 Ringkasan
Persaraan bukanlah akhir kehidupan, tetapi permulaan untuk memilih bagaimana masa seterusnya mahu digunakan. Persaraan membuka ruang untuk memilih dan tanggungjawab. Ia bukan sekadar bebas daripada tekanan kerja, tetapi juga tentang kemampuan untuk menentukan arah masa depan.
Datang dengan menggalas amanah, pulang dengan melunaskan bakti.
Saya bukan pakar dalam bidang persaraan. Saya juga bukan ahli sejarah yang mahu menghuraikan panjang lebar tentang kemerdekaan. Saya hanya seorang rakan yang masih clock in setiap hari, masih meneruskan perjuangan dan masih jauh perjalanan yang perlu diharungi. Masih bertatih mencari pengalaman jika dibandingkan dengan mereka yang telah melalui perjalanan selama empat dekad.
Namun, melihat seseorang melakukan clock out selepas empat dekad berkhidmat, lebih-lebih lagi pada bulan kita meraikan kemerdekaan negara, membuatkan saya berhenti seketika dan bertanya kepada diri sendiri, “Apakah sebenarnya erti kebebasan?”
Selepas empat dekad berkhidmat, detik clock out bukan sekadar menandakan tamatnya waktu bekerja. Ia menutup satu rutin kehidupan yang sudah begitu lama menjadi sebahagian daripada diri, daripada datang ke pejabat, menyelesaikan tugasan, menghadiri mesyuarat, melaksanakan amanah, hinggalah berhadapan dengan pelbagai cabaran dan ragam emosi manusia yang turun naik seperti roller-coaster.
Selama puluhan tahun, masa disusun mengikut keperluan tugasan. Ada waktu untuk masuk pejabat, tugasan yang perlu diselesaikan dan perkara yang perlu dipastikan sebelum melangkah pulang. Di sebalik rutin yang lazim itu, tentu tersimpan banyak cerita yang tidak tercatat dalam rekod perkhidmatan, tentang rakan sekerja, persahabatan, cabaran, pengalaman serta kenangan pahit dan manis yang akhirnya menjadi sebahagian daripada perjalanan hidup.
Apabila tiba waktunya untuk berhenti, yang berakhir bukanlah kehidupan, tetapi satu bab dalam perjalanan. Selepas itu, terbuka ruang baharu untuk keluarga, diri sendiri dan perkara yang selama ini terpaksa ditangguhkan. Kita sering menanti kebebasan, bebas daripada tekanan kerja, jadual, clock in, mesyuarat dan segala kekalutan di pejabat.
Namun, apabila kebebasan itu benar-benar tiba, saya tertanya-tanya, apa yang akan kita lakukan dengan kebebasan tersebut?
Kebebasan yang datang bersama tanggungjawab
Mungkin begitu juga dengan kemerdekaan. Selepas 31 Ogos 1957, perjuangan tidak berhenti. Negara terus dibangunkan, ekonomi diperkukuh, pendidikan diperluas dan kehidupan rakyat ditambah baik. Merdeka bukan sekadar bebas daripada penjajahan, tetapi juga tentang kemampuan untuk berdiri sendiri dan menentukan arah masa depan yang ingin dituju.
Begitu juga dengan persaraan. Ia bukan bermakna tanggungjawab berakhir, sebaliknya membuka ruang untuk memilih bagaimana masa yang seterusnya mahu digunakan. Mungkin di situlah persamaan antara persaraan dengan kemerdekaan. Kedua-duanya memberikan ruang, dan ruang itu hadir bersama pilihan serta tanggungjawab.
Empat dekad pula bukanlah tempoh yang singkat. Ia merupakan satu perjalanan merentas peralihan zaman, daripada penggunaan fail fizikal dan kerja manual kepada komputer, internet, sistem digital dan kini teknologi kecerdasan buatan. Namun, teknologi boleh berubah dan cara bekerja juga boleh berubah, tetapi sesebuah organisasi tetap dibina oleh manusia.
Amanah, pengalaman, tanggungjawab dan hubungan sesama manusia kekal sebagai nilai yang tidak ditelan zaman. Sebab itu, empat dekad bukan sekadar angka. Ia merupakan sebahagian daripada sejarah seseorang dan, pada masa yang sama, sebahagian daripada sejarah sesebuah institusi.
Apa yang kita tinggalkan?
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda:
“Apabila mati seorang manusia, terputuslah daripadanya amalannya kecuali tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan dengannya atau anak yang soleh yang mendoakannya.”
Riwayat Muslim (1631), al-Nasa’i (3651), al-Tirmizi (1376) dan Abu Daud (2880).
Apabila seseorang bersara, kita mungkin mudah melihat perkara yang ditinggalkan secara fizikal, seperti meja kerja, fail, jawatan atau nota tugas yang akan diserahkan kepada orang lain. Namun, yang lebih bermakna mungkin ialah perkara yang tidak kelihatan, iaitu ilmu yang pernah dikongsi, pengalaman yang pernah diwariskan, pertolongan yang pernah diberikan serta persahabatan dan ukhuwah yang pernah dibina.
Itulah legasi.
Legasi tidak semestinya besar, tidak semestinya tercatat dalam laporan atau terpampang di media. Kadangkala, legasi hanya terus hidup dalam ingatan mereka yang pernah berjalan bersama kita.
Persaraan seseorang juga mengingatkan kita yang masih bekerja bahawa suatu hari nanti, kita akan sampai ke titik yang sama. Hari ini kita masih clock in, mengejar masa, menyelesaikan tugasan dan berhadapan dengan pelbagai cabaran. Namun, akan tiba masanya untuk kita clock out buat kali terakhir.
Kita tidak tahu bila. Yang kita tahu, selagi masih diberi ruang dan kesempatan, masih ada sesuatu yang boleh kita lakukan, berikan dan tinggalkan.
Apabila satu perjalanan berakhir
Mungkin sebab itu detik clock out pada bulan kemerdekaan terasa sedikit berbeza.
Negara kita juga pernah melalui satu titik permulaan pada 31 Ogos 1957. Begitu juga seorang pesara selepas empat dekad berkhidmat. Satu perjalanan berakhir, namun perjalanan yang lain masih menanti.
Kedua-duanya membawa pilihan, dan setiap pilihan datang bersama tanggungjawab.
Sempena 69 tahun kemerdekaan, mungkin selain bertanya, “Merdekakah kita?”, kita juga boleh bertanya, “Apa yang kita lakukan dengan kebebasan yang telah kita miliki?”
Selepas 69 tahun Malaysia merdeka, perjuangan kita juga masih berjalan. Begitu juga kehidupan seseorang selepas empat dekad berkhidmat. Clock out bukan noktah kehidupan, tetapi ruang untuk menentukan langkah seterusnya.
Kerana akhirnya, kita semua akan clock out dan meninggalkan rutin yang selama ini menjadi kebiasaan. Yang membezakan kita bukan sekadar berapa lama kita berada di sesuatu tempat, tetapi apa yang kita tinggalkan sebelum melangkah keluar, sama ada memori yang indah atau pengalaman yang pahit. Kesemuanya akhirnya menjadi sebahagian daripada sebuah legasi.
Mungkin itulah makna merdeka yang lebih dekat dengan kehidupan kita. Merdeka bukan sekadar bebas untuk pergi, tetapi mempunyai kebebasan untuk memilih ke mana kita mahu pergi, apa yang mahu kita lakukan selepas itu dan bagaimana kita mahu menikmati fasa kehidupan yang seterusnya dengan tenang.
Merdeka bukan sekadar bebas. Merdeka adalah tentang keupayaan menentukan arah sendiri tanpa paksaan, desakan atau ikatan, serta kesediaan memikul tanggungjawab atas pilihan tersebut.
Oleh Sarra Aida Romli, Pembantu Setiausaha Pejabat, Majlis Profesor UTM