JAKRIS Care 2026 perkukuh kebajikan dan pemindahan ilmu kepada penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh

SDGSDG1SDG4

📝 Ringkasan

Program JAKRIS Care 2026 diadakan oleh Universiti Teknologi Malaysia (UTM) untuk memperkukuh tanggungjawab sosial universiti. Program ini bertujuan mentransformasikan kebajikan komuniti setempat menerusi pemindahan ilmu dan penyaluran sumbangan keperluan asas kepada 78 penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh. Program tersebut diserikan dengan pelbagai pengisian berteraskan empat komponen utama, termasuk sukaneka, pemindahan ilmu, gotong-royong dan jamuan makan. Hasil sumbangan warga UTM, sejumlah RM4,530.00 berjaya dikumpulkan dan disalurkan.

JOHOR BAHRU, 21 Jul – Komitmen Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam memperkukuh tanggungjawab sosial universiti terus dizahirkan menerusi penganjuran Program JAKRIS Care 2026: Sinergi Kasih di Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, Taman Dato’ Onn, Johor Bahru.

Program anjuran Jawatankuasa Kebajikan dan Rekreasi Staf (JAKRIS), Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT) itu dijayakan oleh 32 ahli jawatankuasa pelaksana, termasuk barisan pelajar FKT.

Inisiatif ini bertujuan mentransformasikan kebajikan komuniti setempat menerusi pemindahan ilmu secara interaktif dan berstruktur, di samping penyaluran sumbangan keperluan asas kepada 78 penghuni.

Majlis dimulakan dengan bacaan doa oleh Dr. Dinie Muhamad, diikuti ucapan alu-aluan oleh Dekan FKT, Prof. Dr. Mat Uzir Wahit.

Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa Program JAKRIS Care bukan sekadar aktiviti kebajikan, malah menjadi medium yang menyatukan staf dan pelajar untuk memberi manfaat kepada masyarakat. Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada semua penyumbang, sukarelawan serta pihak pengurusan rumah perlindungan atas kerjasama dalam menjayakan program berkenaan.

Program tersebut diserikan dengan pelbagai pengisian berteraskan empat komponen utama, iaitu sukaneka dan permainan, pemindahan ilmu serta modul akademik, gotong-royong dan jamuan makan.

Sesi dimulakan dengan sarapan pagi tajaan khas McDonald’s Malaysia serta sumbangan jamuan ringan daripada Ahli Jawatankuasa Program. Aktiviti sukaneka dan permainan berkumpulan yang diketuai pelajar Tahun Satu Kejuruteraan Kimia, Muaz Nor Azhar, berjaya mewujudkan suasana ceria dan mesra antara warga FKT dengan penghuni rumah perlindungan.

Sesi regangan badan diketuai Muaz Nor Azhar sebelum aktiviti sukaneka bermula

Bagi meningkatkan keselesaan persekitaran, aktiviti gotong-royong turut dilaksanakan. Para peserta berganding bahu membersihkan kawasan sekitar, menyusun kemudahan sedia ada serta memasang kelengkapan baharu seperti pintu tandas, katil dua tingkat, papan putih dan rak buku.

Warga FKT bekerjasama memasang rak buku dan menyusun bahan bacaan

Selain itu, sumbangan barangan dapur serta tudung sarung turut disalurkan bagi kegunaan harian penghuni.

Pengisian program diteruskan dengan sesi interaksi akademik dan motivasi yang dikendalikan oleh Dr. Mahadhir Mohamed dan Prof. Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria.

Penghuni didedahkan kepada teknik pembelajaran berkesan, motivasi pendidikan serta perkongsian laluan kerjaya bagi membina aspirasi masa depan. Sesi itu diteruskan dengan penyampaian sumbangan beg sekolah, kelengkapan pembelajaran dan hadiah aktiviti berkumpulan oleh Pengerusi JAKRIS FKT, Dr. Aizuddin Supee, serta penyampaian dana kebajikan.

Prof. Madya Dr. Zainul Akmar Zakaria menyampaikan perkongsian motivasi dan prospek kerjaya

Penganjuran inisiatif itu selari dengan nilai teras UTM iaitu Integriti, Sinergi, Kecemerlangan dan Kelestarian (ISES) serta menyokong agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 1, Tiada Kemiskinan dan SDG 4, Pendidikan Berkualiti. Hasil sumbangan warga FKT, sejumlah RM4,530.00 berjaya dikumpulkan dan disalurkan.

Dr. Mahadhir Mohamed menyampaikan sumbangan dana kebajikan kepada wakil Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh

Sebelum bersurai, warga FKT dan penghuni menunaikan solat Zuhur berjemaah yang diimamkan oleh Ts. Dr. Ahmad Ilyas Rushdan sebagai simbol pengukuhan ukhuwah dan nilai kerohanian.

Program JAKRIS Care 2026: Sinergi Kasih ini memperlihat komitmen warga FKT dalam menyantuni komuniti melalui penglibatan bersama dalam aktiviti kebajikan, pemindahan ilmu dan sumbangan keperluan asas. Inisiatif tersebut diharapkan dapat terus menyokong kesejahteraan penghuni Rumah Perlindungan Fitrah Qaseh, di samping memperkukuh semangat kesukarelawanan dan kebersamaan dalam kalangan warga UTM.

 

Oleh Dr. Mahadhir Mohamed dan Nurhanis Shamsudin

Explore More

UTM Open Day