📝 Ringkasan
UTM menganjurkan Program UTM TechnoXplorer 2026 di SMK Seri Manjung, Lumut, dari 24 hingga 26 Julai lalu. Program itu menghimpunkan 100 pelajar Tingkatan 4 daripada tiga sekolah terpilih di daerah Manjung dan menarik lebih 400 pengunjung daripada komuniti setempat. Program itu memberi ruang kepada pelajar meneroka aplikasi ilmu secara lebih praktikal dan interaktif serta menyokong usaha memperkasa generasi muda dalam menghadapi perubahan teknologi dan cabaran Industri 5.0.
SERI MANJUNG, 26 Julai – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) menganjurkan Program UTM TechnoXplorer 2026 di Arena Al-Falah, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Manjung, Lumut, dari 24 hingga 26 Julai lalu.
Program berkenaan menghimpunkan 100 pelajar Tingkatan 4 daripada tiga sekolah terpilih di daerah Manjung, iaitu SMK Seri Manjung, SMK Kg. Dato’ Seri Kamaruddin dan SMK Seri Samudera, selain menarik lebih 400 pengunjung daripada komuniti setempat.
Menerusi pendedahan secara langsung kepada bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), inovasi serta teknologi masa hadapan, program itu memberi ruang kepada pelajar meneroka aplikasi ilmu secara lebih praktikal dan interaktif. Pendekatan berkenaan turut menyokong usaha memperkasa generasi muda dalam menghadapi perubahan teknologi dan cabaran Industri 5.0 yang menekankan keseimbangan antara penerapan teknologi dengan nilai kemanusiaan.
Majlis perasmian penutup program disempurnakan oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim.
Dalam ucapan perasmiannya, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry berkata pendekatan memperkenalkan STEM dan teknologi sejak peringkat sekolah selari dengan usaha melahirkan generasi yang celik teknologi serta mempunyai keupayaan berfikir secara kritis.
“Saya percaya, penganjuran program ini telah membuka mata dan minda pelajar bahawa bidang STEM bukanlah sesuatu yang asing atau sukar, sebaliknya ia adalah bidang yang menyeronokkan, penuh inovasi, dan merupakan kunci kepada masa depan ekonomi digital negara kita,” katanya.

Sepanjang program berlangsung, peserta didedahkan kepada pelbagai modul praktikal berasaskan teknologi, antaranya Modul Operasi Penerbangan Pesawat Tanpa Pemandu (UAV), EMG Biofeedback, Pembangunan Web, Percetakan 3D, Robotik dan Kecerdasan Buatan (AI), serta Inovasi Arduino Internet Benda (IoT).
Melalui pendekatan pembelajaran secara amali, peserta berpeluang mencuba sendiri aplikasi sains dan kejuruteraan serta memahami konsep yang diperkenalkan menerusi aktiviti yang melibatkan penyelesaian masalah dan penerokaan teknologi.
Selain modul tersebut, program turut dimeriahkan dengan pameran interaktif daripada lapan reruai fakulti, enam pameran modul TechnoXplorer serta sesi Pocket Talk yang memberi pendedahan mengenai laluan pendidikan tinggi kepada pelajar.
Pengisian berkenaan memberikan peluang kepada peserta dan pengunjung mendapatkan maklumat secara langsung mengenai bidang pengajian, kepakaran serta aplikasi teknologi yang ditawarkan UTM.


Penganjuran UTM TechnoXplorer 2026 turut mendapat sokongan strategik daripada rakan kerjasama dalam dan luar universiti, termasuk Sekolah Pendidikan Profesional dan Pendidikan Berterusan (UTMSPACE), Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Manjung.
Sokongan dan kerjasama berkenaan membantu menjayakan penganjuran program, khususnya dalam penyediaan pengisian, pameran interaktif dan kepakaran modul yang diketengahkan kepada peserta.
Dalam masa yang sama, barisan fasilitator yang terdiri daripada pensyarah dan mahasiswa UTM turut memainkan peranan penting sepanjang program berlangsung. Penglibatan mereka membantu menyampaikan konsep STEM dan teknologi melalui pendekatan yang lebih mudah difahami serta memberi ruang kepada peserta untuk berinteraksi secara langsung dengan fasilitator.


Penganjuran UTM TechnoXplorer 2026 memperlihatkan usaha berterusan UTM untuk memperluas akses kepada ilmu sains dan teknologi serta menggalakkan minat generasi muda terhadap bidang STEM. Inisiatif tersebut turut selari dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 untuk memasyarakatkan sains dan teknologi demi kesejahteraan serta kemakmuran negara.
Turut hadir pada majlis berkenaan ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar; Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah; Pegawai Daerah Manjung, Shamsul Ridzuan Idris; serta Timbalan Pegawai Pendidikan Daerah Manjung, Mohd Adam Abd Aziz.