Program She Matters UTM perkasa 333 murid sekolah rendah sekitar Kulai melalui pendidikan menstruasi awal

SDGSDG3SDG4SDG5

📝 Ringkasan

333 murid perempuan dari beberapa sekolah rendah di daerah Kulai telah menyertai Program SHE MATTERS: Pendedahan Asas Menstruasi di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai 2. Program ini bertujuan meningkatkan kesedaran awal mengenai kesihatan reproduktif, penjagaan diri dan kesejahteraan emosi dalam fasa peralihan menuju alam remaja. Program ini disampaikan secara santai dan mesra kanak-kanak, dengan menggunakan kaedah penyampaian yang kreatif dan interaktif.

JOHOR BAHRU, 22 Mei – Seramai 333 murid perempuan Tahun 5 dan Tahun 6 dari beberapa sekolah rendah sekitar daerah Kulai menyertai Program SHE MATTERS: Pendedahan Asas Menstruasi di Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai 2, di sini, bagi meningkatkan kesedaran awal mengenai kesihatan reproduktif, penjagaan diri dan kesejahteraan emosi dalam fasa peralihan menuju alam remaja.

Program anjuran Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) Kolej Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Kulai, Pusat Kesihatan Universiti (PKU) UTM, Pusat Islam UTM dan Pure Touch Sanitary Pad itu menjadi platform pendidikan awal untuk membantu murid memahami menstruasi dalam suasana yang selesa, terbuka dan bebas stigma.

Penganjuran program turut memberi tumpuan kepada peningkatan pengetahuan murid mengenai penjagaan diri ketika haid, pengurusan kebersihan dan emosi ketika mengalami perubahan fisiologi serta pembentukan keyakinan diri dalam menghadapi pengalaman menstruasi pertama.

Selain itu, program berkenaan bertujuan memperkukuh kesedaran mengenai kepentingan menjaga kesejahteraan diri dan persekitaran sebagai sebahagian daripada usaha membentuk generasi muda yang lebih sihat dan berpengetahuan.

Majlis perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid, PPD Kulai, Kamaruddin Mohd Ali, yang menekankan kepentingan pendidikan kesihatan reproduktif sejak usia muda bagi membantu membentuk generasi remaja perempuan yang lebih yakin, berilmu dan bersedia menghadapi perubahan diri.

Menurut Pengarah Program, Nadiya Hannah Azlan, penglibatan aktif peserta sepanjang program menunjukkan pendekatan yang digunakan berjaya mencapai matlamat penganjur.

Katanya, masih terdapat murid perempuan yang kurang mendapat pendedahan mengenai pengetahuan asas menstruasi sehingga boleh menimbulkan rasa takut, malu atau keliru apabila mengalami haid pertama.

“SHE MATTERS hadir bukan sekadar untuk memberi ilmu berkaitan menstruasi, tetapi untuk membina keyakinan diri murid perempuan agar mereka memahami bahawa perubahan tubuh badan merupakan sesuatu yang normal dan perlu dihadapi dengan ilmu yang betul. Kami mahu melahirkan generasi gadis yang lebih yakin, berani bertanya dan bersedia menghadapi alam remaja,” katanya.

Murid mengambil bahagian dalam aktiviti yang dikendalikan oleh ahli jawatankuasa program

Pendekatan penyampaian yang santai dan mesra kanak-kanak menjadi antara keunikan program apabila topik menstruasi yang sering dianggap sensitif disampaikan menerusi sesi perkongsian bersama pakar serta permainan pendidikan. Kaedah tersebut membantu menjadikan pembelajaran lebih mudah difahami, di samping memberi ruang kepada murid memahami perubahan tubuh badan, penjagaan kebersihan ketika haid dan pengurusan emosi dalam suasana yang lebih terbuka.

Pure Touch Sanitary Pad memberikan penerangan dan demonstrasi mengenai pemilihan tuala wanita mengikut saiz dan kegunaan

Melalui kerjasama pelbagai pihak yang mempunyai kepakaran tersendiri, peserta menerima pendedahan mengenai menstruasi daripada beberapa perspektif. PKU UTM memberikan penerangan berkaitan perubahan fisiologi ketika baligh, penjagaan kebersihan diri dan asas kesihatan reproduktif, manakala Pure Touch Sanitary Pad berkongsi panduan mengenai penggunaan tuala wanita yang betul, termasuk aspek pemilihan, kebersihan dan keselesaan ketika haid.

Pada masa yang sama, Pusat Islam UTM memberikan kefahaman asas berkaitan haid daripada perspektif Islam bagi membantu murid memahami perubahan tersebut secara lebih menyeluruh dan positif.

Pusat Islam UTM mengendalikan sesi penerangan berkaitan mandi wajib dan perspektif Islam mengenai haid melalui aktiviti interaktif
PKU UTM memberikan penerangan mengenai perbezaan antara keputihan normal dengan keputihan yang tidak normal

Program berkenaan turut memberi peluang kepada peserta memperoleh pendedahan awal berkaitan menstruasi dalam suasana pembelajaran yang lebih terbuka dan interaktif. Pendekatan tersebut bukan sahaja menjadikan program sebagai medium pendidikan kesihatan reproduktif, malah menyediakan ruang sokongan awal untuk membantu murid menghadapi perubahan diri dengan lebih yakin.

Majlis perasmian program bersama Timbalan Pengarah Sektor Pembangunan Murid PPD Kulai, Penolong Kanan SK Kangkar Pulai 2 dan Pengetua Kolej Perdana

Secara keseluruhannya, Program SHE MATTERS: Pendedahan Asas Menstruasi memperlihatkan bahawa pendidikan kesihatan reproduktif boleh disampaikan secara kreatif dan mesra kanak-kanak melalui pendekatan yang bersesuaian dengan usia serta keperluan murid. Inisiatif seumpama ini turut membantu meningkatkan pengetahuan dan kesedaran awal mengenai penjagaan diri serta mempersiapkan murid perempuan menghadapi perubahan fizikal dan emosi ketika memasuki alam remaja.

Explore More

UTM Open Day