📝 Ringkasan
Kerjasama antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Lembaga Tabung Haji (TH) dalam Operasi Haji Tanah Air (OHTA) 2026 mendapat pujian. Sukarelawan UTM telah membantu dalam proses lapor diri dan pelepasan bagi 13 penerbangan haji di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai. Mereka membantu dalam menguruskan logistik, kaunter semakan, tag bagasi dan memberikan bantuan kepada jemaah haji. Pengarah Operasi OHTA, Sharifah Noor Syed Ab Bari, berpuas hati dengan kerja sukarelawan UTM dan berharap kerjasama ini dapat diperkukuh dalam musim-musim haji akan datang.
JOHOR BAHRU, 19 Mei – Komitmen tinggi serta keikhlasan yang dipamerkan oleh barisan sukarelawan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dalam menjayakan Operasi Haji Tanah Air (OHTA) bagi musim haji 1447H/2026 di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai mendapat pengiktirafan daripada Lembaga Tabung Haji (TH).
Sepanjang fasa pertama operasi yang berlangsung dari 5 hingga 19 Mei 2026, delegasi sukarelawan UTM telah bertungkus-lumus memastikan kelancaran proses lapor diri dan pelepasan bagi 13 penerbangan haji, bermula daripada penerbangan KT057J sehinggalah KT099J. Kehadiran sukarelawan UTM di Lapangan Terbang Antarabangsa Senai terbukti memberikan impak besar, khususnya dalam menguruskan logistik, kaunter semakan, tag bagasi serta memberikan bantuan mesra kepada jemaah haji termasuk warga emas dan orang kurang upaya (OKU).
Waktu operasi yang menyaksikan pendaftaran pada waktu petang hingga lewat malam tidak mematahkan semangat sukarelawan yang terdiri daripada staf UTM untuk memberikan layanan terbaik demi keselesaan emosi para jemaah sebelum melangkah ke pesawat.pe


Mengulas mengenai prestasi cemerlang tersebut, pihak pengurusan operasi menzahirkan rasa puas hati dengan kualiti kerja dan sahsiah yang ditunjukkan oleh warga UTM.
“Secara dasarnya, kami berpuas hati dengan penglibatan para sukarelawan UTM yang sentiasa berniat ikhlas untuk membantu para jemaah dalam urusan lapor diri untuk berangkat ke Tanah Suci,” kata Pengarah Operasi OHTA, Sharifah Noor Syed Ab Bari.
Kejayaan mengendalikan fasa pertama ini menjadi penanda aras terbaik bagi jalinan kerjasama yang lebih erat untuk fasa-fasa yang seterusnya. Pihak TH turut berharap agar momentum positif ini dapat dikekalkan untuk operasi yang dijadualkan pada bulan Jun nanti.
“Moga kita dapat bekerjasama lagi untuk fasa 2 bermula 18 Jun 2026 nanti, dan juga untuk musim-musim haji akan datang,” tambah beliau.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi (Kemudahan dan Penyelarasan), Hj. Muhamad Hafiz Zulkifli, turut bersyukur dengan komitmen yang ditunjukkan oleh sukarelawan UTM.
“Kami tidak menerima sebarang komen negatif, bahkan bersyukur proses lapor diri dan pelepasan sangat lancar dengan adanya sukarelawan UTM,” ujarnya selepas sesi pelepasan penerbangan terakhir.
Penglibatan dalam OHTA 2026 ini bukan sahaja membuktikan keprihatinan warga UTM terhadap masyarakat, malah menjadi platform terbaik dalam melahirkan individu yang berjiwa besar, holistik dan sentiasa bersedia berbakti demi kesejahteraan ummah, selari dengan Pelan Strategik UTM ASCEND 2030 di bawah tonggak Kemanusiaan dan Kesejahteraan.
Kejayaan penglibatan sukarelawan UTM dalam OHTA 1447H/2026 ini sekali gus membuktikan bahawa semangat khidmat bakti dan nilai kemanusiaan yang subur dalam kalangan warga kampus mampu memberikan impak yang nyata kepada masyarakat. UTM berharap kerjasama strategik bersama Lembaga Tabung Haji ini dapat terus diperkukuh pada musim-musim haji akan datang, sekali gus menjadikan penglibatan sukarelawan UTM sebagai tradisi murni yang berterusan dalam memartabatkan nama universiti di persada khidmat masyarakat negara.