December 9, 2025

Pelajar Johor rangkul tiga anugerah antarabangsa di Korea dengan filamen dari sisa nanas

JOHOR BAHRU, 8 Dis – Bermula dengan sebuah projek bekas makanan daripada sisa nanas, sekumpulan pelajar dari SMK Tan Sri Mohamad Rahmat kini mencipta sejarah apabila berjaya mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas antarabangsa melalui inovasi filamen pencetak 3D berkonsepkan waste to wealth.

Kejayaan ini adalah hasil bimbingan berterusan Pasukan Inovasi Sosial Fakulti Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), yang diterajui oleh Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman bersama barisan pakar teknikal termasuk Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Mohd Azlan Suhaimi, Ts. Dr. Muhd Ikmal Isyraf Mohd Maulana, Dr. Nurul Husna Mohd Yusoff, Ts. Khidzir Zakaria, Roslin Yasak, Mohd Zarieth Hafiz Mat Hussain serta seorang pensyarah dari Fakulti Sains, Dr. Nor Ain Husein.

Dr. Nor Hasrul bersama pelajar di reruai Seoul International Invention Fair (SIIF)

Menurut Dr. Nor Hasrul, pertemuan pertama beliau dengan pelajar sekolah berkenaan berlaku semasa pertandingan inovasi peringkat negeri, ketika projek asal yang dipamerkan hanyalah sebuah bekas makanan daripada sisa nanas. Namun, kegigihan dan keberanian pelajar untuk mencuba sesuatu yang baharu menjadi pemangkin kepada idea yang lebih besar.

“Saya mencadangkan agar sisa nanas ini dijadikan filamen pencetak 3D. Jika berjaya, bukan sahaja satu produk yang boleh dihasilkan, tetapi beribu kemungkinan produk lain,” kata beliau.

Pelajar bersama pasukan teknikal Inovasi Sosial FKM semasa proses membangunkan prototaip Filamenas

Berbekalkan cadangan tersebut, Pasukan Inovasi Sosial FKM membimbing pelajar dari peringkat konsep, aplikasi teknikal, sehingga kepada pembangunan prototaip filamen. Hasil usaha berterusan itu, projek yang dikenali sebagai Filamenas berjaya meraih kejayaan cemerlang di peringkat kebangsaan apabila memenangi pingat emas di Malaysia Technology Expo (MTE), sebelum mengulangi kejayaan sama iaitu pingat emas di Penang International Invention, Innovation & Design (PIID).

Kejayaan tersebut membuka laluan kepada pelajar ini untuk bersaing di peringkat dunia di Seoul, Korea Selatan. Berbeza daripada sebelumnya, tiada lagi kategori khas pelajar sekolah atau junior disediakan, justeru mereka terpaksa bersaing secara langsung dengan profesor universiti dan penyelidik antarabangsa.

Konsep dan reka bentuk Filamenas yang dihasilkan daripada sisa nanas

Walaupun menghadapi cabaran besar, projek Filamenas berjaya membawa pulang pingat gangsa di Seoul International Invention Fair (SIIF), selain menerima Special Award daripada Ministry of Education Saudi Arabia dan Special Award daripada Indonesia Invention & Innovation Association. Secara keseluruhannya, projek ini meraih tiga anugerah antarabangsa dalam satu penyertaan, satu pencapaian luar biasa bagi projek peringkat sekolah.

Pelajar menerima Special Award daripada Ministry of Education, Saudi Arabia

Dr. Nor Hasrul menekankan bahawa pencapaian ini turut mencatat satu lagi rekod penting, iaitu sekolah keempat dalam tempoh empat tahun berturut-turut yang dibawa oleh Pasukan Inovasi Sosial FKM untuk bertanding sehingga ke peringkat antarabangsa, dengan kesemua sekolah berjaya membawa pulang anugerah.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa bakat tidak mengenal latar belakang. Inovasi boleh lahir di mana-mana, termasuk bilik darjah sekolah harian,” katanya.

Beliau menegaskan bahawa usaha memupuk minat mencipta dalam kalangan pelajar sejak peringkat awal merupakan pelaburan strategik untuk masa depan negara. Dengan ruang, bimbingan dan peluang yang berterusan, Malaysia bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi mampu muncul sebagai pencipta dan pengeluar idea serta teknologi.

Pasukan Inovasi Sosial FKM turut menyatakan komitmen untuk membantu lebih banyak sekolah di Johor bagi mencungkil potensi pelajar sehingga ke peringkat antarabangsa, sekali gus melahirkan generasi inovator muda yang mampu berdiri sebagai jaguh dunia. Kejayaan ini menjadi bukti bahawa inovasi mampu mengubah masa depan.

Explore More

UTM Open Day