UTM hargai penyumbang dan pelajar program Serambi Al-Quds

SDGSDG4SDG10

📝 Ringkasan

UTM telah menganjurkan Majlis Apresiasi Bersama Penyumbang dan Pelajar Program UTM Serambi Al-Quds sebagai tanda penghargaan kepada penyumbang yang telah menyokong pelaksanaan program ini. Program ini menawarkan sepuluh biasiswa pengajian peringkat Doktor Falsafah kepada pelajar Palestin. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim telah merakamkan penghargaan kepada penyumbang atas kemurahan hati dan komitmen yang diberikan.

KUALA LUMPUR, 8 April – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Majlis Apresiasi Bersama Penyumbang dan Pelajar Program UTM Serambi Al-Quds yang berlangsung dengan jayanya di Dewan Bankuet, UTM Kuala Lumpur.

Majlis ini diadakan sebagai tanda penghargaan kepada para penyumbang yang telah menyokong pelaksanaan Program UTM Serambi Al-Quds, satu inisiatif signifikan dalam memperkasa pendidikan, membina sahsiah serta menyemai nilai kemanusiaan sejagat, khususnya kepada pelajar dari Palestin. Program ini telah dilancarkan pada tahun 2022 dan menawarkan sepuluh biasiswa pengajian peringkat Doktor Falsafah, sekali gus membuka peluang kepada pelajar Palestin melanjutkan pengajian dalam persekitaran akademik yang berkualiti.

Majlis Apresiasi Bersama Penyumbang dan Pelajar Program UTM Serambi Al-Quds yang menghimpunkan barisan penyumbang, pengurusan universiti serta pelajar dalam satu suasana penuh penghargaan dan ukhuwah 

Majlis turut diserikan dengan kehadiran Tan Sri Azman Hj. Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Pemegang Amanah Endowmen UTM, yang mencerminkan sokongan berterusan terhadap agenda endowmen universiti. Kehadiran beliau memperkukuh lagi keyakinan terhadap peranan strategik sumbangan dalam menyokong pendidikan global.

Tan Sri Azman Hj. Mokhtar (berdiri, dua dari kiri) dan Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim (berdiri, kanan) beramah mesra bersama penerima biasiswa Program UTM Serambi Al-Quds

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim dalam ucapannya merakamkan penghargaan kepada para penyumbang atas kemurahan hati dan komitmen yang diberikan. Beliau menegaskan bahawa sumbangan tersebut bukan sekadar bantuan kewangan, sebaliknya merupakan pelaburan jangka panjang dalam pembangunan insan dan masa depan ummah.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan penghargaan

Majlis ini turut menampilkan ucapan wakil pelajar Program UTM Serambi Al-Quds yang menerima biasiswa, yang berkongsi pengalaman serta penghargaan terhadap peluang pendidikan yang diberikan.

Wakil pelajar Program UTM Serambi Al-Quds, Sunoqrot Rawda menyampaikan ucapan mewakili penerima biasiswa dalam Majlis Apresiasi

Pelaksanaan program ini disokong oleh struktur tadbir urus yang tersusun melalui penubuhan jawatankuasa pemandu yang dipengerusikan oleh kepimpinan tertinggi universiti bagi memastikan kelancaran, ketelusan dan keberkesanan pelaksanaannya. Penglibatan pelbagai pihak berkepentingan termasuk organisasi luar turut memperkukuh impak program ini dalam jangka panjang.

Inisiatif ini bukan sahaja membuka peluang kepada pelajar Palestin untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi, malah memperkukuh peranan UTM sebagai institusi pendidikan global yang prihatin terhadap isu kemanusiaan. Melalui sokongan berterusan daripada para penyumbang, program ini dijangka terus berkembang dan memberi manfaat kepada lebih ramai pelajar pada masa hadapan.

Penganjuran majlis ini mencerminkan komitmen berterusan UTM dalam memperkukuh hubungan strategik antara universiti, penyumbang dan pelajar, di samping memperkasa peranannya sebagai institusi yang prihatin terhadap pembangunan global dan kesejahteraan masyarakat.

Majlis diakhiri dengan sesi jamuan dan fotografi sebagai simbol penghargaan serta jalinan ukhuwah antara semua pihak yang terlibat.

Explore More

UTM Open Day