November 17, 2025

Inovasi automasi pengiraan merit Kolej Rahman Putra raih pingat gangsa di NALI25

JOHOR BAHRU, 8 Okt – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencatatkan satu lagi pencapaian membanggakan apabila berjaya merangkul Pingat Gangsa dalam pameran New Academia Learning Innovation 2025 (NALI25) yang berlangsung pada 7 dan 8 Oktober lalu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Persada Johor, Johor Bahru.

Kejayaan ini diperoleh melalui inovasi berjudul Pendekatan Data-Driven dan AI: Sistem Automasi Pengiraan Merit Sebagai Alat Bagi Pemilihan Kuota Pelajar Aktif Menggunakan Google Workspace. Pameran yang dianjurkan oleh Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel UTM (UTM CDex) ini mengetengahkan tema Accelerating Innovations in Teaching & Learning with AI dan disertai hampir 90 akademia serta penyelidik dari pelbagai bidang.

Sistem inovasi KRP ini muncul sebagai penyelesaian berimpak tinggi dalam menangani cabaran pengurusan tradisional. Sebelum ini, proses pemilihan Kuota Pelajar Aktif (KPA) untuk penginapan kolej dijalankan secara manual, yang memakan masa beberapa hari, berisiko berlaku ketidaktepatan pengiraan, ketidakseragaman kriteria serta membebankan urus setia.

Menyedari cabaran tersebut, pasukan inovasi KRP yang diketuai oleh Dr. Zul-hilmi Che Daud, Pengetua KRP, telah membangunkan sistem baharu bersama Majlis Felo KRP iaitu Ts. Mohd Hazri Ishak, Md Yani Kasiren, Abdul Rashid Zailan, Siti Farahwahida Md. Nor, Norzielawaty Zainal Abidin, Dr. Radhiahtul Raehan Mustafa dan Siti Marlia Abd Rahim.

Sistem ini memanfaatkan aplikasi percuma Google Workspace iaitu Google Form, Google Sheet dan Google Looker Studio untuk mengautomasikan keseluruhan proses pengiraan merit pelajar berdasarkan lima teras utama Jabatan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, iaitu adab, sejahtera, komuniti, global dan pencipta pekerjaan.

Menariknya, inovasi ini bukan sahaja digunakan untuk tujuan pengurusan, malah turut menjadi platform pembelajaran berasaskan hasil (Outcome-Based Education) kepada Jawatankuasa Kolej Pelajar (JKP) KRP. JKP yang berperanan sebagai urus setia KPA dilatih untuk mengaplikasikan sistem ini bagi menyaring dan memproses permohonan pelajar, sekali gus memberi pendedahan kepada kemahiran penyelesaian masalah sebenar.

Poster inovasi Kolej Rahman Putra dipamerkan pada  NALI25 di Persada Johor Bahru

Impak pelaksanaan sistem ini amat ketara. Daripada proses yang biasanya mengambil masa berhari-hari, kini ia dapat diselesaikan dalam kurang daripada dua minit. Sistem ini telah berjaya memproses sebanyak 2,480 permohonan bagi sesi 2024/2025 dan 2025/2026 dengan ketepatan yang lebih tinggi, tanpa melibatkan kos tambahan. Selain itu, sistem turut meningkatkan tahap ketelusan dengan membolehkan pelajar memahami cara pengiraan merit mereka.

Pempamer mewakili delegasi KRP, (dari kiri) Dr. Muhamad Norfiqiri Abd. Hamid, Ts. Mohd Hazri Ishak dan Pengetua KRP, Dr. Zul-hilmi Che Daud
Ts Mohd Hazri Ishak memberikan penerangan berkaitan inovasi KRP kepada pengunjung

Majlis penutup NALI25 telah dirasmikan oleh Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mad Darus, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM. Penyertaan KRP ini membuktikan bahawa inovasi berasaskan teknologi tidak semestinya menuntut kos yang tinggi, sebaliknya pendekatan kreatif mampu membawa transformasi besar dalam pengurusan pendidikan.

Kejayaan meraih Pingat Gangsa ini diharap dapat menjadi pemangkin kepada kolej lain untuk sama-sama meneroka penyelesaian inovatif yang lebih cekap, telus dan berskala, selaras dengan aspirasi UTM memperkasa inovasi dalam pendidikan.

Explore More

UTM Open Day