JOHOR BAHRU, 8 Okt – Pasukan penyelidik dari Fakulti Komputeran (FC), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) mencipta satu lagi kejayaan membanggakan apabila meraih Pingat Emas (Gold Award) di Pameran Seni Industri dan Teknologi (INATEX) 2025 yang berlangsung dari 7 hingga 8 Oktober 2025 bertempat di Persada Johor International Convention Centre.
Pengiktirafan berprestij ini disampaikan oleh Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) UTM, Prof. Dr. Rosli Md. Illias, sebagai tanda penghargaan terhadap hasil penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi yang dihasilkan oleh warga universiti. INATEX menjadi platform utama universiti untuk mempamerkan hasil penyelidikan terbaik UTM yang berpotensi dikomersialkan serta memberi sumbangan kepada pembangunan masyarakat dan industri.
Projek yang dipertandingkan ialah “NEXSCHOLAR – An Integrated AI Ecosystem for Academic Research Excellence”, sebuah platform pintar berasaskan Kecerdasan Buatan (AI) dan Analitik Data Raya (Big Data Analytics) yang direka bagi memperkasa ekosistem penyelidikan akademik di Malaysia. NEXSCHOLAR berfungsi sebagai hab sehenti (one-stop hub) untuk pencarian geran yang bersesuaian, pemadanan kolaborasi antara akademia dan industri, serta penjejakan prestasi penyelidikan berasaskan data bagi membantu penyelidik meningkatkan produktiviti dan keterlihatan hasil kajian mereka di peringkat global.

Pasukan projek ini diketuai oleh Dr. Ahmad Najmi Amerhaider Nuar, Pensyarah Kanan Fakulti Komputeran yang bertindak sebagai Ketua Projek. Turut bersama sebagai ahli pasukan ialah Dr. Muhammad Alif Ahmad dan Dr. Seah Choon Sen, kedua-duanya staf akademik Fakulti Komputeran yang memainkan peranan penting dalam pembangunan seni bina sistem, strategi Kecerdasan Buatan dan pengurusan inovasi projek.
Penglibatan pelajar Fakulti Komputeran turut menjadi faktor kejayaan projek ini melalui penyertaan Loh Yin Xia (PhD – Kejuruteraan Informatik), Wong Yit Khee (PhD – Kejuruteraan Perisian) dan Yeong Wern Jie (Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Data) yang menyokong pembangunan modul AI, integrasi pangkalan data serta proses ujilari fungsi sistem.

Lebih daripada sekadar projek akademik, inisiatif ini kini telah dikomersialkan melalui penubuhan NexScholar Sdn. Bhd., sebuah syarikat pemula universiti (university spin-off) yang berdaftar secara rasmi di bawah UTM. Penubuhan syarikat ini mengukuhkan agenda pengkomersialan Fakulti Komputeran, dengan menterjemahkan hasil penyelidikan kepada penyelesaian yang dapat diterapkan di peringkat universiti, industri dan agensi kerajaan.
Selain itu, pembangunan NEXSCHOLAR turut menerima dukungan strategik melalui program PhDPreneur yang dibiayai oleh Malaysian Technology Development Corporation (MTDC) di bawah seliaan Kementerian Ekonomi Malaysia. Program ini memberi ruang kepada penyelidik untuk memperkukuh daya saing inovasi dan keusahawanan berasaskan teknologi, serta memacu kesiapsiagaan produk untuk menembusi pasaran nasional dan serantau.

Kemenangan di INATEX 2025 ini memperlihatkan kekuatan Fakulti Komputeran UTM dalam melahirkan penyelidik dan pelajar yang berdaya cipta, serta berupaya menghasilkan inovasi digital yang relevan, mampan dan berimpak tinggi. NEXSCHOLAR giat untuk terus berkembang sebagai peneraju AI dan Analitik Data Raya dalam dunia penyelidikan akademik, serta menjadi inspirasi kepada lebih ramai warga UTM bagi meneroka bidang inovasi dan pengkomersialan hasil penyelidikan.
