October 6, 2025

FESKAT 2025 himpun 73 guru kaunselor Johor bentang kajian tindakan

JOHOR BAHRU, 11 Sept. – Fest Simposium Kajian Tindakan Guru Bimbingan dan Kaunseling Negeri Johor (FESKAT) 2025 berlangsung dengan jayanya di Blok N24, Universiti Teknologi Malaysia (UTM). Program anjuran Educational Development and Training Unit (ELEVET), Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM ini diadakan dengan kerjasama strategik Jabatan Pendidikan Negeri Johor (JPNJ) dan Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Negeri Johor (MGKK).

FESKAT 2025 menghimpunkan seramai 73 guru bimbingan dan kaunseling dengan 42 pembentangan kajian tindakan yang menampilkan kepelbagaian inovasi, kreativiti dan amalan terbaik dalam bidang bimbingan serta kaunseling. Simposium ini menjadi wadah penting untuk para guru berkongsi pengalaman, mengetengahkan intervensi inovatif dan memperkukuh amalan berasaskan penyelidikan tindakan.

Sesi penjurian FESKAT 2025 berlangsung dengan penuh teliti bagi menilai hasil kajian tindakan guru bimbingan dan kaunseling

Penyertaan dibahagikan kepada tiga kategori iaitu sekolah menengah, sekolah kebangsaan, dan pengurusan. Bagi meraikan hasil kajian tindakan guru, pelbagai anugerah dipertandingkan termasuk Anugerah Emas, Perak, Gangsa, Poster Terbaik, Pembentang Terbaik dan Anugerah Khas Juri. Anugerah utama, Best of The Best bagi Kategori Sekolah Menengah dimenangi oleh projek bertajuk “JOM! Ubah Takut Jadi Hebat: Modul STEMorasi Jiwa Meningkatkan Minat, Motivasi dan Keyakinan Murid Tingkatan 3 terhadap STEM” hasil kajian tindakan Norfarhah Abu Bakar dan Nur Syazwani Paiman. Manakala bagi kategori Sekolah Kebangsaan, Anugerah Best of The Best dimenangi oleh kajian bertajuk “EMOPOLY: Integrasi Emosi Positif dalam Intervensi Pengurusan Emosi Diri terhadap Murid Krisis” yang ditulis oleh Muhammad Safuan Ibrahim dan Charrun A/L Nanta Kumaran.

Pemenang Anugerah Best of The Best Kategori Sekolah Kebangsaan menerima penghargaan atas inovasi kajian tindakan yang diketengahkan
Penerima Anugerah Best of The Best Kategori Sekolah Menengah diraikan sebagai pencetus amalan inovatif dalam bimbingan dan kaunseling

Majlis penutupan rasmi disempurnakan oleh Prof. Dr. Noraffandy Yahaya, Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM. Turut hadir ialah Tuan Mohd Khatta Mohamed, Ketua Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid JPNJ; Puan Hasdhatul Norasyikin Md Said, Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid JPNJ; dan Encik Mohd Shahril Khasin, Yang Dipertua Majlis Guru Kaunseling Kebangsaan Negeri Johor.

Dalam ucapannya, Prof. Dr. Noraffandy menegaskan FESKAT 2025 bukan sekadar platform intelektual, malah medan penting untuk menyuburkan budaya ilmu dan refleksi kendiri dalam kalangan guru bimbingan dan kaunseling. Katanya, penglibatan aktif para guru membuktikan bahawa kajian tindakan semakin diterima sebagai kaedah berkesan untuk menambah baik amalan pendidikan sejajar dengan keperluan semasa yang menuntut pendekatan dinamik, responsif serta berasaskan bukti (evidence-based practice).

Beliau turut menekankan kepentingan kolaborasi berimpak tinggi antara sekolah, institusi pengajian tinggi dan agensi pendidikan sebagai kunci kejayaan program. Melalui jaringan strategik yang diwujudkan, FESKAT bukan sahaja memperkukuh kepakaran, malah membuka peluang sinergi baharu dalam melahirkan pendidik dan kaunselor kreatif, inovatif dan berdaya saing, sekali gus menyokong aspirasi membina ekosistem pendidikan yang progresif serta berdaya tahan.

Profesor Dr. Noraffandy Yahaya, Dekan Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM, menyampaikan ucapan penutup FESKAT 2025

Seorang peserta menyatakan, “Penganjuran FESKAT ini membuka mata kami bahawa kajian tindakan sangat relevan untuk guru bimbingan dan kaunseling. Ia menjadi platform menyebarluaskan intervensi yang dijalankan di sekolah masing-masing, malah memberi semangat untuk terus berinovasi.”

Sementara itu, Penolong Pengarah Unit Hal Ehwal Murid JPNJ, Pn. Norhasdhatul Asyikin, berkata penyertaan luar biasa yang ditunjukkan pada tahun ini jelas membuktikan dedikasi tinggi guru bimbingan dan kaunseling Johor dalam melahirkan murid yang cemerlang akademik serta sahsiah. Beliau menambah, JPNJ berhasrat meneruskan FESKAT pada skala lebih besar di peringkat kebangsaan agar manfaatnya dapat dikongsi lebih meluas.

Selain sesi pembentangan, program turut dimeriahkan dengan promosi Program Pascasiswazah Bimbingan dan Kaunseling oleh Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi UTM. Inisiatif ini membuka ruang kepada peserta mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengajian lanjutan, sekali gus memperkukuh laluan pembangunan profesionalisme dalam bidang kaunseling.

Dengan tema “Bimbingan Kreatif, Perubahan Positif”, FESKAT 2025 bukan sahaja mencatat sejarah sebagai program yang menghimpunkan penyertaan terbesar guru bimbingan dan kaunseling di Johor, malah membuktikan profesion ini mampu menyumbang kepada pembangunan ilmu melalui kajian sistematik berasaskan data sebenar di lapangan.

Kejayaan FESKAT 2025 sekali gus menzahirkan komitmen UTM bersama rakan strategik dalam memperkukuh budaya penyelidikan dalam kalangan guru bimbingan dan kaunseling. Inisiatif ini diyakini mampu menjadi pemangkin kepada transformasi pendidikan negeri Johor dalam melahirkan generasi pelajar yang seimbang, berdaya tahan dan bersedia mendepani cabaran masa depan.

Semua peserta dan penganjur FESKAT 2025 bergambar kenangan bersama sebagai tanda kejayaan penganjuran simposium

Explore More