October 5, 2025

Pertandingan E-Waste Revolve 2025 galak inovasi kelestarian sisa elektronik

JOHOR BAHRU, 27 April  – Memupuk sifat kreativiti dan inovasi di samping membangkitkan kesedaran dalam pengurusan sisa elektronik menjadi matlamat utama penganjuran pertandingan E-Waste Revolve 2025. Pertandingan anjuran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) telah berlangsung dengan jayanya di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru pagi tadi. Pengarah Program E-Waste Revolve 2025, Dr. Siti Salwa Alias berkata program inovatif ini bertujuan memupuk kesedaran serta menggalakkan pelajar menghasilkan penyelesaian kreatif dalam pengurusan dan kitar semula sisa elektronik secara lestari.

“Malaysia menghadapi masalah sisa elektronik yang semakin meningkat dengan risiko yang boleh membahayakan alam sekitar dan kesihatan manusia sekiranya proses pelupusan tidak dilakukan dengan betul.

“Negara ini diunjurkan untuk menjana 24.5 juta unit e-sisa menjelang 2025 dan kebanyakannya berakhir di tapak pelupusan sampah, dikitar semula secara haram atau dilupuskan secara tidak wajar yang membawa kepada masalah pencemaran dan membahayakan kesihatan manusia,” katanya lagi.

Pertandingan ini telah menarik penyertaan dari lima buah sekolah menengah dan Teknik dari sekitar Johor Bahru yang terdiri dari Sekolah Menengah Teknik Johor Bahru, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Baru Uda (SMKBBU), SMK Tasek Utara, SMK Tasek Utara 2 dan juga SMK Dato’ Abdul Rahman Yassin (SMKDARY).

“Setiap pasukan menunjukkan kepintaran mereka melalui penghasilan produk kreatif yang diinovasikan dari sisa buangan elektronik seperti telefon bimbit, komputer lama dan perkakas elektrik yang tidak digunakan lagi.

“Pasukan bertanding dikehendaki juga untuk membuat persembahan mengenai produk yang mereka hasilkan di hadapan barisan juri profesional untuk penilaian markah. Markah akan diberikan berdasarkan kepintaran menjawab soalan dan juga tahap kreativiti dalam penghasilan produk dari bahan terbuang elektronik,” katanya.

Majlis perasmian program itu telah disempurnakan oleh Timbalan Pengarah Pusat Pelestarian Kampus (UTM CCS) Johor Bahru, Dr. LAr. Zanariah Jasmani di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru. Beliau dalam ucapannya menyifatkan pertandingan ini sebagai satu usaha penting dalam membentuk generasi yang peka terhadap isu alam sekitar, terutamanya yang berkaitan dengan isu pengurusan sisa elektronik yang semakin meningkat di negara ini.

Perasmian program disempurnakan oleh Timbalan Pengarah UTMCCS, Dr. LAr. Zanariah Jasmani (paling kanan). Turut hadir adalah Pustakawan Perpustakaan Sultan Ismail, YM Tengku Tarmizi Tengku Aziz (paling kiri)

Pasukan dari SMK Bandar Baru Uda berjaya merangkul tempat pertama melalui inovasi mereka, E-Desk Lamp yang mampu mengubah sisa elektronik menjadi lampu meja tulis yang boleh digunakan semula dalam kehidupan seharian. Selain itu, pasukan dari SMK Tasik Utara 2 memperoleh tempat kedua dengan penyelesaian mereka yang inovatif dalam penghasilan tong sampah pintar, Smart Eco-Bin. Tempat ketiga pula dimenangi oleh pasukan dari SMK Tasik Utara yang memperkenal papan ‘chest’ yang dihasilkan daripada sisa elektronik yang diberikan nama ‘Scrapmate’.

Juara tempat pertama pertandingan E-Waste Revolve 2025, SMK Bandar Baru UDA
Naib Johan telah disandang oleh SMK Tasek Utara 2
SMK Tasek Utara memenangi tempat ketiga

“Penyertaan dan hasil inovasi pelajar menunjukkan komitmen mereka terhadap kelestarian alam dan tanggungjawab sosial. Melalui pertandingan ini, pihak penganjur berharap dapat memupuk minat dan kesedaran dalam kalangan pelajar mengenai pentingnya pengurusan sisa elektronik secara bertanggungjawab.

“Adalah diharapkan program ini dapat memberikan pendedahan lebih mendalam kepada pelajar mengenai peluang kerjaya dalam bidang kelestarian dan teknologi hijau. Usaha ini juga diharapkan mampu menghasilkan lebih banyak penyelesaian praktikal dan inovatif dalam usaha mengurangkan beban sisa elektronik di negara ini,” katanya.

Barisan juri yang mengadili pertandingan E-Waste Revolve 2025 yang berlangsung di Perpustakaan Sultan Ismail, Johor Bahru

Kesimpulannya, pertandingan ini bukan sahaja memperlihat kreativiti pelajar tetapi juga menegaskan komitmen komuniti pendidikan dalam memupuk budaya kelestarian dan inovasi demi masa depan yang lebih hijau dan bersih. Pertandingan inovasi menggunakan sisa elektronik (e-waste) biasanya dikaitkan dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) yang bertujuan untuk mengurus sisa secara mampan dan menggalakkan inovasi untuk kelestarian. Secara khusus, aktiviti ini boleh dikaitkan dengan SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) kerana ia menekankan pengurusan sisa yang bertanggungjawab dan penggunaan sumber yang inovatif. Juga terkait adalah SDG 13 (Perubahan Iklim) jika inovasi itu membantu mengurangkan e-waste yang menyumbang kepada pelepasan karbon dan kesan alam sekitar di samping SDG 11 (Bandar dan Komuniti Lestari) jika inovasi itu tertumpu kepada pengurusan e-waste dalam persekitaran bandar. Jadi secara amnya, pertandingan inovasi menggunakan sisa elektronik termasuk di bawah SDG 12 tetapi juga boleh menyokong SDG lain bergantung pada fokus dan objektif inovasi.

Explore More