KUALA LUMPUR, 16 Julai – Persidangan The 3rd International AHIBS Action Research Conference (AHIBS-ACT 2025) melabuhkan tirainya dengan Majlis Makan Malam Gala bertempat di World Trade Centre Kuala Lumpur. Acara ini menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan termasuk rakan industri, agensi kerajaan, alumni dan institusi rakan antarabangsa serta tempatan yang telah menjalin kerjasama rasmi melalui Memorandum Persefahaman (MoU) dan Perjanjian Persefahaman (MoA).
Pro-Canselor UTM, Profesor Emeritus Tan Sri Ir. Dr. Datuk Mohd Zulkifli bin Mohd Ghazali, merasmikan majlis dan menyampaikan ucapan yang menekankan kepentingan kerjasama berterusan antara institusi akademik dan pemain industri dalam membentuk masa depan pendidikan yang lebih mampan dan inklusif. Majlis turut menyaksikan penyampaian Sijil Kolaborasi oleh Naib Canselor UTM, Prof. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim kepada institusi dan organisasi yang terlibat secara langsung dalam pelaksanaan inisiatif bersama. Penaja utama turut menerima Sijil Penghargaan sebagai tanda apresiasi atas sokongan terhadap penganjuran persidangan ini.

Turut hadir, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah binti Mat Darus, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) UTM, serta Dato’ Mohd Sharil Abdullah, Pendaftar UTM. Kehadiran mereka menyerlahkan komitmen UTM dalam membina rangkaian yang kukuh antara universiti dan pelbagai sektor.
Rakan kolaborasi tempatan termasuk Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) – KWAP, Kementerian Pendidikan Malaysia, MBA Healthcare Management Society (MyHEC), Briged Bakti Malaysia, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Kementerian Kesihatan Malaysia, dan Al-Khair Sdn Bhd. Manakala rakan kolaborasi antarabangsa pula termasuk Institut Teknologi Sepuluh Nopember, Indonesia; Zhonghe Education Technology (Nanjing) Co. Ltd., China; Yemeni Refugee Women Organisation; HSE University, St. Petersburg, Rusia; dan Universitas Malikussaleh, Indonesia. Penaja utama pula terdiri daripada Jwan Unique Group Sdn Bhd, Gold APP Instruments Corporation Limited, Wassiyah Shoppe Berhad, OpenApps Sdn Bhd, World Trade Centers Kuala Lumpur, Malaysia Convention & Exhibition Bureau (MyCEB), Datuk Seri Ng Thien Phing, Harbin Institute Information Technology, dan Zhongcheng Linuo Technology Co. Ltd.



Majlis ini bukan sahaja menjadi penutup kepada persidangan, malah membuka ruang baharu untuk kerjasama yang lebih luas dan berimpak tinggi pada masa depan. Dalam ucapan penutupnya, Prof. Madya Dr. Haliyana Khalid, Pengerusi AHIBS-ACT 2025, berkata, “Kami amat menghargai kepercayaan dan kerjasama yang telah terjalin. Ini bukan pengakhiran, tetapi permulaan kepada lebih banyak pencapaian bersama.”
