TUGPLAY olah permainan tarik tali menjadi inovasi taman permainan moden

SDGSDG4SDG8SDG11SDG12

📝 Ringkasan

Himayajothy Sundaram, pelajar tahun akhir Sarjana Muda Sains (Reka Bentuk Industri) di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), telah menghasilkan inovasi taman permainan moden bernama TUGPLAY. Ia adalah hasil pengolahan permainan tradisional tarik tali yang diadaptasi ke dalam peralatan taman permainan moden. TUGPLAY mempunyai mekanisme permainan yang unik, tidak memerlukan penggunaan tali dan mengekalkan semangat permainan tarik tali. Pihak industri, Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd., telah bekerjasama dengan Himayajothy dalam pembangunan prototaip berskala penuh dan komitmen untuk membawa projek ke peringkat pengeluaran produk sebenar.

Siapa sangka permainan tradisional tarik tali yang lazimnya dimainkan menggunakan seutas tali boleh diolah menjadi sebuah peralatan taman permainan moden? Idea kreatif itu direalisasikan oleh Himayajothy Sundaram, pelajar tahun akhir program Sarjana Muda Sains (Reka Bentuk Industri) dengan Kepujian, Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerusi inovasi reka bentuk yang dikenali sebagai TUGPLAY.

Menariknya, TUGPLAY bukan sekadar konsep reka bentuk yang dipamerkan sebagai hasil projek akademik. Melalui kerjasama dengan Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd., sebuah syarikat pengeluar peralatan taman permainan, idea tersebut berjaya diterjemahkan kepada prototaip fizikal berskala penuh yang berfungsi. Malah, pihak industri turut menyatakan komitmen untuk membawa projek berkenaan ke peringkat pengeluaran produk sebenar.

Panel reka bentuk TUGPLAY yang memaparkan inspirasi, lakaran konsep, mekanisme permainan, lukisan teknikal dan reka bentuk akhir berasaskan permainan tradisional tarik tali

Inspirasi pembangunan TUGPLAY tercetus daripada pengalaman Himayajothy ketika menjalani latihan industri di Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd. Pendedahan secara langsung kepada proses pembangunan dan penghasilan peralatan taman permainan mendorong beliau meneroka pendekatan reka bentuk yang mengadaptasi mekanisme serta peraturan permainan tradisional Malaysia ke dalam produk moden.

Himayajothy bersama penyelia PSM, Dr. Nuraini Daud, dan warga kerja Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd. semasa lawatan ke syarikat berkenaan bagi membincangkan pembangunan TUGPLAY

Berbekalkan idea tersebut, beliau membayangkan peralatan taman permainan seperti buaian atau jongkang-jongket yang menawarkan pengalaman bermain berasaskan permainan tradisional. Penerokaan itu akhirnya membawa kepada pemilihan permainan tarik tali sebagai asas pembangunan TUGPLAY, dengan mengekalkan unsur keseronokan, persaingan dan interaksi sosial dalam bentuk permainan yang lebih kontemporari.

Keunikan TUGPLAY terletak pada mekanisme permainannya yang tidak memerlukan penggunaan tali seperti permainan asal. Dua pemain berdiri di bahagian bertentangan peralatan dan menarik pemegang masing-masing untuk menggerakkan mekanisme berpegas di bahagian dalam. Permainan berakhir apabila bebola logam mengenai loceng yang berfungsi sebagai penanda kemenangan. Reka bentuk ini mengekalkan semangat permainan tarik tali, di samping menggalakkan aktiviti fizikal dan persaingan secara sihat.

Dari segi penampilan, penggunaan warna terang, bentuk dinamik dan grafik yang diinspirasikan daripada permainan tarik tali memberikan identiti visual tersendiri kepada TUGPLAY. Pendekatan ini memperlihatkan bagaimana unsur warisan budaya tempatan boleh diterjemahkan ke dalam reka bentuk produk yang lebih moden dan sesuai dengan perkembangan semasa.

Proses pembangunan projek berlangsung dari Oktober 2025 hingga Mei 2026. Sepanjang tempoh itu, Himayajothy meneliti 30 jenis permainan tradisional Malaysia sebelum memilih tarik tali berdasarkan potensinya untuk menghasilkan pengalaman bermain yang interaktif. Penyelidikan tersebut menjadi asas kepada proses penjanaan idea, penyediaan lakaran konsep, pembangunan mekanisme dan pemurnian reka bentuk.

Salah satu aspek penting dalam pembangunan TUGPLAY ialah penglibatan pihak industri secara langsung, khususnya pada peringkat fabrikasi. Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd. bukan sahaja memberikan pandangan profesional sepanjang proses pembangunan, malah turut melaksanakan fabrikasi keseluruhan prototaip. Himayajothy juga terlibat secara langsung dengan menyediakan lukisan teknikal dan bekerjasama dengan pasukan syarikat bagi memastikan reka bentuk yang dirancang dapat direalisasikan.

Kerjasama tersebut melibatkan Pengurus Penyelidikan dan Pembangunan (R&D) syarikat, Mohd Nafis Nordin, yang juga merupakan pegawai Certified Playground Safety Inspector (CPSI), bersama Safuwan Sani dan Nor Illina Natalia Harun. Menariknya, ketiga-tiga mereka merupakan alumni UTM daripada bidang pengajian yang sama, sekali gus memperlihatkan hubungan berterusan antara graduan universiti dengan industri.

Kepakaran pasukan industri berkenaan membantu menghubungkan idea kreatif dengan keperluan pembangunan produk sebenar. Antara aspek yang diberi perhatian termasuk pemilihan bahan, mekanisme permainan, ketahanan, penyelenggaraan dan kebolehlaksanaan proses pembuatan.

Komitmen Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd. untuk meneruskan TUGPLAY ke peringkat pengeluaran sebenar turut membuka ruang kepada hasil inovasi pelajar untuk dikembangkan sebagai produk yang berpotensi dimanfaatkan oleh masyarakat. Bagaimanapun, pengujian bersama pengguna dan penilaian keselamatan perlu dilaksanakan sebelum produk berkenaan diperkenalkan untuk kegunaan awam.

Sepanjang pembangunan projek, Himayajothy turut menerima bimbingan Dr. Nik Shahman Nik Ahmad Ariff dan Dr. Mohamad Fairuz Abdul Rahim dalam aspek pembangunan konsep, reka bentuk produk dan pemurnian reka bentuk akhir. Sementara itu, Dr. Nuraini Daud bertindak sebagai penyelia Projek Sarjana Muda (PSM), khususnya dalam aspek penyelidikan yang menjadi asas kepada pembangunan produk tersebut.

Hasil usaha itu seterusnya dipamerkan menerusi STELLAR 26 Degree Show Exhibition yang berlangsung pada 22 hingga 24 Julai 2026 di Grand Banquet Hall, Residensi UTMKL, Kuala Lumpur. Pada pameran berkenaan, Himayajothy mempersembahkan prototaip TUGPLAY yang berfungsi kepada panel penilai, selain menerangkan inspirasi, proses pembangunan dan keunikan mekanisme permainan tersebut. Pembentangan itu melayakkan beliau menerima Star Performer Award.

Prototaip berskala penuh TUGPLAY yang dibangunkan bersama Pro-Landscape Structure Sdn. Bhd. dan dipamerkan sempena STELLAR 26 Degree Show Exhibition di Kuala Lumpur

Selain pameran tersebut, Himayajothy turut membentangkan hasil penyelidikan dan reka bentuknya dalam 10th International Undergraduate Research Conference (IURC 2026) pada 27 Jun 2026 serta Design Futures Symposium pada 22 Julai 2026. Penyertaannya dalam simposium berkenaan turut membuahkan dua pengiktirafan, iaitu Best Poster Award dan Best Presenter Award.

Pencapaian tersebut diteruskan apabila beliau menerima The Nova Award (The Spirit of Innovation) sempena Majlis Meraikan Graduan (MMG) 2026 anjuran FAI, UTM. Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap kreativiti dan usaha beliau dalam menghasilkan inovasi dalam bidang reka bentuk industri.

Himayajothy Sundaram menerima The Nova Award (The Spirit of Innovation) sempena Majlis Meraikan Graduan (MMG) 2026 anjuran FAI, UTM

Bagi Himayajothy, pengalaman membangunkan TUGPLAY memberikan pendedahan menyeluruh terhadap proses pembangunan produk, bermula daripada penyelidikan dan penjanaan idea hingga penyediaan lukisan teknikal, fabrikasi serta kerjasama dengan pihak industri. Penglibatan secara langsung dalam setiap peringkat turut memberi peluang kepada beliau mengembangkan kemahiran menyelesaikan masalah, komunikasi reka bentuk dan pemahaman terhadap keperluan pengeluaran sebenar.

Daripada permainan tradisional kepada prototaip taman permainan yang berfungsi, TUGPLAY memperlihatkan potensi gabungan warisan budaya, kreativiti pelajar dan kepakaran industri dalam menghasilkan inovasi yang relevan dengan keperluan masyarakat. Usaha seperti ini bukan sahaja membuka peluang kepada idea pelajar untuk dikembangkan menjadi produk sebenar, malah membantu memperkenalkan permainan tradisional Malaysia dalam bentuk baharu agar terus dikenali dan diwarisi oleh generasi akan datang.

 

Penulis bersama Dr. Nik Shahman Nik Ahmad Ariff dan Dr. Nuraini Daud

Explore More

UTM Open Day