EcoVerse: Ceria Lestari Outreach UTM terap amalan kelestarian alam sekitar di sekolah

SDGSDG4SDG17

📝 Ringkasan

Program EcoVerse: Ceria Lestari Outreach telah dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara, Kulai, Johor. Program ini merupakan inisiatif kelestarian dan kesukarelawanan yang menggabungkan pendidikan alam sekitar, keceriaan persekitaran sekolah serta pemindahan ilmu melalui aktiviti berasaskan amalan hijau. Program ini bertujuan memperkukuh kesedaran dan penerapan amalan kelestarian alam sekitar dalam kalangan komuniti sekolah, khususnya generasi muda.

KULAI, 17 Okt. – Program EcoVerse: Ceria Lestari Outreach anjuran Kelab Riverdale di bawah Jawatankuasa Kolej Pelajar Kolej Rahman Putra (JKP KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dilaksanakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Felda Sungai Sibol, Bandar Tenggara, Kulai, Johor, bagi menerapkan kesedaran dan amalan kelestarian alam sekitar dalam kalangan warga sekolah.

Program yang menggabungkan pendidikan alam sekitar, keceriaan sekolah dan pemindahan ilmu melalui amalan hijau itu turut menjadi platform kesukarelawanan mahasiswa dalam berkongsi pengetahuan serta melaksanakan aktiviti yang memberi manfaat kepada komuniti setempat.

Guru SK Felda Sungai Sibol menyertai demonstrasi penghasilan baja kompos menggunakan kaedah Bokashi

Pemilihan SK Felda Sungai Sibol adalah selaras dengan inisiatif Satu Kolej Satu Daerah (1K1D) UTM dan status sekolah berkenaan sebagai Sekolah Angkat MADANI, sekali gus membuka ruang kerjasama antara universiti dengan komuniti setempat.

Menurut Prof. Madya. Ts. Dr. Saiful Anuar Abu Bakar, program itu memberi tumpuan kepada tiga aspek utama, iaitu penghijauan persekitaran, pengurusan sisa organik dan penggunaan sumber air secara berhemah.

“Amalan kelestarian alam sekitar perlu dipupuk sejak usia muda agar menjadi nilai dan budaya yang sebati dalam diri setiap individu. Usaha ini bukan sahaja membentuk generasi yang lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar, malah selari dengan perkembangan pendidikan STEM dalam kalangan murid sekolah melalui penerokaan, pembelajaran secara praktikal dan penyelesaian masalah,” katanya.

Pelaksanaan program dibahagikan kepada dua fasa. Fasa pertama melibatkan 19 ahli jawatankuasa Kelab Riverdale, tiga orang Majlis Felow dan 15 guru SK Felda Sungai Sibol.

Ahli Kelab Riverdale KRP menghasilkan mural berteraskan Karakter Murid Johor (KrMJ)

Antara aktiviti yang dijalankan adalah penghasilan mural berteraskan Karakter Murid Johor (KrMJ) bagi menceriakan persekitaran sekolah, selain menerapkan nilai murni, kepimpinan dan identiti Johor. Aktiviti lain termasuk penghasilan baja kompos menggunakan kaedah Bokashi serta pembinaan tong tadahan air hujan bagi memperkenalkan kaedah pengurusan sisa organik dan penggunaan sumber air secara lebih lestari.

Fasa kedua pula berlangsung pada 18 November 2026 bersempena Hari Showcase PBL STEM Bersepadu dan Penyerahan Projek Kerjasama Kolej Rahman Putra UTM dengan SK Felda Sungai Sibol. Dalam fasa ini, Kelab Riverdale berperanan memantau perkembangan projek yang dilaksanakan pada fasa pertama.

Proses pembuatan dan pemasangan sistem tadahan air hujan di SK Felda Sungai Sibol

Program tersebut turut melibatkan empat sekolah jemputan, iaitu SK Bandar Tenggara 1, SK Bandar Tenggara 2, SK Felda Inas dan SK Felda Penggeli Timur, yang menyertai sesi perkongsian ilmu serta demonstrasi amalan kelestarian.

Antara pengisian utama adalah perkongsian pelaksanaan Pembelajaran Berasaskan Projek (PBL) STEM Bersepadu, penyerahan projek kelestarian dan kit baja kompos serta gimik perasmian mural KrMJ. Selain itu, demonstrasi penghasilan baja kompos dan pameran tong tadahan air hujan turut diadakan bersama pameran hasil projek murid daripada kelas 6 Intelek, 6 Iltizam, Pendidikan Seni Visual dan Robotik.

Sesi demonstrasi penghasilan baja kompos kepada murid dari empat sekolah jemputan

Sepanjang fasa kedua, perkembangan projek dapat dilihat melalui penggunaan baja kompos untuk tanaman sekolah, penerapan amalan tadahan air hujan serta persekitaran sekolah yang lebih ceria. Penyertaan sekolah jemputan juga menyediakan ruang perkongsian pengetahuan dan pendedahan kepada amalan hijau yang berpotensi dilaksanakan di sekolah masing-masing.

Hazlinda A. Rahman merasmikan mural KrMJ hasil kerjasama Kelab Riverdale KRP dan SK Felda Sungai Sibol

Secara keseluruhannya, EcoVerse menjadi wadah kerjasama antara universiti dengan sekolah dalam menggalakkan pendidikan kelestarian melalui aktiviti praktikal dan penglibatan komuniti. Inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 4, iaitu Pendidikan Berkualiti, melalui pembelajaran berasaskan pengalaman, serta SDG 17, iaitu Kerjasama demi Matlamat, menerusi jalinan kerjasama antara universiti, sekolah dan komuniti.

Explore More

UTM Open Day