13 Alumni UTM kembali berbakti, sumbang kepakaran profesional dalam ICON-AI 2026

SDGSDG4SDG9SDG17

📝 Ringkasan

13 alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kembali menyumbang kepakaran profesional dalam Pertandingan Poster Penyelidikan ICON-AI 2026. Mereka terlibat sebagai panel juri profesional dalam program anjuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) UTM. Alumni ini datang dari sektor industri, institusi akademik dan agensi kerajaan, dan menyokong pembangunan bakat penyelidik muda. Pertandingan Poster Penyelidikan ICON-AI 2026 merangkumi tiga kategori dan menerima penyertaan dari pelbagai institusi, termasuk peserta antarabangsa dari Jepun.

KUALA LUMPUR, 12 Nov. – Seramai 13 alumni Universiti Teknologi Malaysia (UTM) kembali menyumbang kepakaran sebagai sebahagian daripada 16 panel juri profesional Pertandingan Poster Penyelidikan bersempena dengan 2nd International Conference on Artificial Intelligence and Its Applications (ICON-AI 2026) yang berlangsung di Dewan Bankuet, Menara Razak, UTM Kuala Lumpur.

Program anjuran Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) itu menghimpunkan alumni yang kini berkhidmat dalam sektor industri, institusi akademik dan agensi kerajaan bagi berkongsi pengalaman serta kepakaran, di samping menyokong pembangunan bakat penyelidik muda.

Panel juri profesional menilai pembentangan poster penyelidikan peserta ICON-AI 2026

Antara alumni daripada sektor industri yang terlibat ialah Ts. Dr. Mohd Ismifaizul Mohd Ismail dari MIMOS Berhad, Ir. Ts. Dr. Hafizah Zainol Abidin dari CelcomDigi, Dr. Dzul Hafez Yacob dari PROTON dan Siti Nur Aisyah Mohd Robi dari Leave a Nest Malaysia Sdn. Bhd.

Wakil daripada institusi akademik pula terdiri daripada Prof. Ts. Dr. Aedah Abd. Rahman dari Asia e University (AeU), Ts. Dr. Khairul Zahreen Mohd Arof dan Dr. Norizan Sulong dari UCSI University, Nurul Amirah Mashudi dari Multimedia University, serta Ir. Dr. Zuriati Janin dari Universiti Teknologi MARA (UiTM).

Turut menyertai panel juri ialah Dr. Ong Sin Ru dari Jabatan Perdana Menteri, selain tiga alumni UTM yang kini berkhidmat di universiti, iaitu Prof. Ts. Dr. Khairur Rijal Jamaludin, Prof. Ts. Dr. Mohd Nazri Kama dari FAI dan Prof. Madya Dr. Mohd Azizi Abdul Rahman dari Institut Antarabangsa Teknologi Malaysia-Jepun (MJIIT).

Alumni UTM bersama panel juri profesional dan urus setia Pertandingan Poster ICON-AI 2026

Antara alumni yang terus melibatkan diri dalam program universiti ialah Prof. Ts. Dr. Aedah Abd. Rahman dari AeU, yang kembali menyumbangkan kepakaran akademik dan pengalaman profesional sebagai panel juri pertandingan berkenaan. Penglibatan beliau memperlihatkan peranan alumni dalam menghubungkan institusi pengajian tinggi, menggalakkan perkongsian ilmu serta menyokong perkembangan penyelidikan dan inovasi.

Menurut beliau, peluang untuk kembali ke universiti tempat menimba ilmu membawa makna tersendiri apabila pengalaman dan kepakaran yang dimiliki dapat dikongsi dengan generasi seterusnya.

“Kembali ke universiti tempat kita menuntut ilmu bukan sekadar mengenang pengalaman lalu, tetapi peluang untuk berkongsi kepakaran dan membimbing generasi baharu. Setiap bakti dan peranan alumni, dalam apa jua bentuk, mempunyai nilai tersendiri serta mampu mencipta impak besar dan bermakna dalam memperkasa pembangunan universiti dan memberi manfaat kepada masyarakat.”

Prof. Ts. Dr. Aedah Abd. Rahman dari Asia e University menerima cenderahati sebagai juri jemputan

Pertandingan Poster Penyelidikan ICON-AI 2026 merangkumi tiga kategori, iaitu Sains Sosial, Sains dan Teknologi serta Project Showcase. Pertandingan itu menerima penyertaan daripada pelbagai institusi, termasuk peserta antarabangsa dari Jepun.

Penganjuran program ini turut mendapat tajaan UTMAlumni bagi menyokong penglibatan alumni dalam aktiviti universiti. Menerusi semangat “Alumni Kembali Menyumbang”, inisiatif ini menyediakan ruang kepada alumni untuk terus berkongsi kepakaran, meluaskan jaringan profesional dan menyokong hubungan antara universiti dengan industri.

Peserta dari Jepun membentangkan hasil penyelidikan kepada panel juri ICON-AI 2026

Selain itu, penganjuran pertandingan ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), khususnya SDG 4, Pendidikan Berkualiti; SDG 9, Industri, Inovasi dan Infrastruktur; serta SDG 17, Kerjasama demi Matlamat.

Penglibatan alumni daripada pelbagai sektor dalam program ini memperlihatkan sumbangan berterusan mereka terhadap pembangunan akademik dan penyelidikan universiti. Hubungan yang terjalin antara alumni, institusi akademik, industri dan penyelidik muda diharap dapat terus membuka ruang kepada perkongsian ilmu serta kerjasama pada masa hadapan.

Penyampaian hadiah kepada pemenang Pertandingan Poster ICON-AI 2026

Explore More

UTM Open Day