📝 Ringkasan
UTM telah melancarkan sistem rawatan air berasaskan teknologi membran di Sekolah Kebangsaan Runchang, Pahang, yang dapat memberi manfaat kepada kira-kira 250 warga sekolah dan lebih 500 penduduk setempat. Sistem ini menggunakan teknologi ultrapenapisan dan osmosis berbalik untuk merawat air dari sumber telaga tiub dan dapat menghasilkan 22,000 liter air sehari. Inisiatif ini turut membantu menangani cabaran akses kepada air bersih yang dihadapi komuniti setempat dan memperlihatkan potensi teknologi hasil penyelidikan universiti dalam menangani keperluan asas masyarakat.
PAHANG, 28 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkukuh peranan penyelidikan dalam menangani keperluan masyarakat menerusi pembangunan sistem rawatan air berasaskan teknologi membran watan di Sekolah Kebangsaan (SK) Runchang, Pahang, yang memberi manfaat kepada kira-kira 250 warga sekolah dan lebih 500 penduduk setempat.
Inisiatif di bawah Projek Penyelidikan Translasional tajaan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu diterajui Prof. Ts. Dr. Juhana Jaafar bersama pasukan penyelidik dari Pusat Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), UTM, dengan kerjasama Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS).

Sistem yang mula beroperasi pada 5 Ogos 2025 itu mempunyai kapasiti pengeluaran sebanyak 22,000 liter air sehari, merangkumi 2,000 liter air minuman dan 20,000 liter air utiliti. Dengan menggabungkan teknologi ultrapenapisan (UF) dan osmosis berbalik (RO), sistem berkenaan merawat air daripada sumber telaga tiub bagi memenuhi keperluan harian sekolah serta komuniti berhampiran.
Lebih daripada sekadar menyediakan kemudahan infrastruktur, projek ini turut membantu menangani cabaran akses kepada air bersih yang dihadapi komuniti setempat. Bekalan air terawat menyokong keperluan kebersihan diri, sanitasi, penyediaan makanan dan pengurusan persekitaran sekolah, sekali gus membantu mewujudkan suasana pembelajaran yang lebih selesa, sihat dan kondusif.

Bagi penduduk setempat, sistem berkenaan turut menyediakan akses kepada sumber air terawat. Inisiatif ini memperlihatkan potensi teknologi hasil penyelidikan universiti dalam menangani keperluan asas masyarakat. Dalam konteks ini, keberhasilan penyelidikan bukan sahaja dapat dilihat melalui kecanggihan teknologi yang dibangunkan, tetapi juga melalui manfaatnya terhadap kualiti kehidupan masyarakat.
Bagi memastikan manfaat projek dapat diperkukuh dan dikekalkan dalam jangka panjang, AMTEC bersama rakan strategik menganjurkan Program Pemindahan Ilmu dan Teknologi Lestari 2026: Rawatan Air Berasaskan Teknologi Membran pada 28 Oktober 2026.

Program tersebut merangkumi pendedahan kepada teknologi membran, lawatan tapak, pameran inovasi dan aktiviti interaktif Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM). Pelaksanaan aktiviti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan air bersih, malah menyemai minat murid terhadap sains dan inovasi serta memperkukuh kefahaman komuniti mengenai penjagaan dan kelestarian sistem rawatan air.
Menurut Prof. Juhana, yang juga Pengerusi Frontier Materials Research Alliance (FMRA), UTM, kejayaan projek berkenaan memperlihatkan kepentingan penyelidikan universiti yang melangkaui makmal dan mampu memberikan manfaat secara langsung kepada masyarakat.

Program yang dirasmikan oleh Dato’ Ts. Zulkarnain Ismail, Pengarah Urusan EPOMS Group Sdn. Bhd., itu turut mencerminkan kerjasama strategik antara universiti, industri dan komuniti dalam usaha memperluas manfaat penyelidikan serta teknologi kepada masyarakat.
Inisiatif ini turut memperkukuh peranan AMTEC sebagai pusat penyelidikan teknologi membran dan menyerlahkan sumbangan UTM dalam pembangunan inovasi yang berpotensi memberikan impak sosial. Pada masa sama, projek ini menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) 6, SDG 4 dan SDG 17, khususnya dalam aspek akses kepada air bersih, pendidikan berkualiti serta kerjasama bagi mencapai matlamat pembangunan mampan.
Usaha ini memperlihatkan bagaimana penyelidikan dan inovasi universiti dapat dimanfaatkan untuk menangani keperluan semasa masyarakat, di samping menyokong pembangunan kesejahteraan komuniti secara berterusan.