📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meraikan 240 ahli akademik menerusi 14 kategori anugerah dalam Majlis Kecemerlangan Akademia (MKA) UTM 2026. Kecemerlangan akademik merupakan kekuatan utama dalam menentukan masa depan universiti dan perlu dipertahankan melalui integriti, budaya kerja berprestasi tinggi, penyelidikan yang mampu menyelesaikan isu masyarakat dan pembelajaran sepanjang hayat.
JOHOR BAHRU, 30 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) meraikan seramai 240 ahli akademik menerusi 14 kategori anugerah pada penganjuran julung kali Majlis Kecemerlangan Akademia (MKA) UTM 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar, UTM Johor Bahru.
Majlis yang disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah Universiti, YB Dato’ Haji Ismail Karim itu menghimpunkan pengiktirafan akademik yang sebelum ini disampaikan menerusi Majlis Citra Karisma UTM, bagi menghargai pencapaian warga akademik, fakulti serta Pusat Kecemerlangan (CoE) dalam bidang pengajaran, penyelidikan, perundingan, inovasi dan pengkomersialan.


Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim di dalam ucapan aluannya menegaskan bahawa kecemerlangan akademik merupakan kekuatan utama dalam menentukan masa depan universiti.
“Kecemerlangan akademia bukan sekadar diukur melalui penyelidikan, penerbitan atau pengiktirafan, tetapi juga melalui manfaat ilmu kepada masyarakat. Kita harus terus memperkukuh peranan UTM sebagai institusi ilmu yang mencetuskan inovasi, membangunkan bakat dan menyumbang kepada kemajuan negara,” kata beliau.Â

Sementara itu, Dato’ Haji Ismail Karim merangkap Ahli Lembaga Pengarah Universiti dan perasmi majlis turut menasihatkan warga UTM menerusi tiga pesanan utama daripada pihak Lembaga Pengarah Universiti (LPU) untuk membawa universiti melangkah lebih jauh.
“Warga UTM perlu memperkukuh integriti dan budaya kerja berprestasi tinggi, menghasilkan penyelidikan yang mampu menyelesaikan isu sebenar masyarakat serta membudayakan pembelajaran sepanjang hayat melalui peningkatan kemahiran agar kekal relevan dan bersedia menghadapi perubahan masa hadapan,” katanya.

Penganjuran sulung ini turut menyaksikan penganugerahan tertinggi universiti, iaitu Anugerah Tokoh Akademik yang dinobatkan kepada Pengerusi Majlis Profesor UTM merangkap Felo Kanan Geoscience & Digital Earth Centre (INSTeG), Prof. Sr. Gs. Dr. Mazlan Hashim atas sumbangan lebih tiga dekad dalam bidang geomatik, penderiaan jauh dan geospatial.
“Pengiktirafan ini merupakan hasil kerjasama dan komitmen pasukan serta jaringan kolaborasi dalam dan luar negara. Saya juga percaya bahawa hasil penyelidikan perlu diterapkan dalam pengajaran bagi memotivasikan pelajar, memperluas jaringan profesional dan melahirkan graduan yang mampu menyumbang kepada industri,” katanya.

Selain itu, Anugerah Khas Kecemerlangan Kepakaran Teknologi Termaju dianugerahkan kepada Pensyarah Kanan Jabatan Fizik Fakulti Sains UTM, Dr. Yap Yung Szen atas sumbangan besar beliau mempelopori pengkomputeran dan teknologi kuantum di Malaysia sehingga terpilih dalam kelompok Quantum 100 bagi tahun 2025 di peringkat antarabangsa.
“Pengiktirafan ini bukanlah kejayaan saya seorang, sebaliknya mencerminkan usaha bersama di semua peringkat dalam membangunkan teknologi baharu di Malaysia. Walaupun bidang baharu seperti teknologi kuantum mempunyai cabarannya tersendiri, kita perlu terus berusaha, menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses dan tidak berputus asa demi mencapai hasil pada masa hadapan,” katanya.

Anugerah lain yang turut disampaikan termasuk Anugerah Tokoh Penyelidik yang diraih oleh Felo Kehormat Pusat Kecemerlangan Penyelidikan Teknologi Membran Termaju (AMTEC), Prof. Datuk Ir. Ts. Dr. Ahmad Fauzi Ismail atas sumbangan cemerlang dalam pembangunan teknologi membran. Sementara itu, Fakulti Sains berjaya mempertahankan Anugerah Kualiti Akademik buat tahun kelima berturut-turut sejak tahun 2021 disokong pengiktirafan jaminan kualiti ASEAN University Network Quality Assurance (AUN-QA).
Majlis kemuncak Sambutan Bulan Akademia UTM 2026 bertemakan “Sinergi Ilmu, Teknologi dan Inovasi dalam Akademia” ini turut menyaksikan pertukaran Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTM dengan The Institution of Engineers Malaysia (IEM), di samping penyampaian Geran Penyelidikan dan Biasiswa UTM ASCEND 2030 bagi memacu kecemerlangan akademik dan inovasi berimpak tinggi demi kemajuan masyarakat serta negara.

Penganjuran MKA UTM 2026 bukan sahaja menjadi platform penghargaan terhadap kecemerlangan warga akademik, malah mencerminkan komitmen universiti dalam memperkukuh ekosistem pendidikan, penyelidikan dan inovasi berimpak tinggi. Melalui sinergi kepakaran, kerjasama strategik serta pembangunan bakat akademik, UTM terus memperteguh aspirasi untuk melahirkan ilmu dan teknologi yang memberi manfaat kepada masyarakat, sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai universiti berteraskan kecemerlangan akademia.