UTM kenal pasti inisiatif bangunan hijau melalui penglibatan warga kampus

SDGSDG7SDG11SDG12SDG13

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menganjurkan Program Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) Inisiatif Bangunan Hijau bagi Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) untuk mengenal pasti amalan pengurusan bangunan yang lebih cekap sumber dan mampan. Program ini telah menghimpunkan 40 peserta dari pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang beroperasi di BCSI dan telah membentangkan inisiatif dan amalan hijau yang telah dilaksanakan di PTJ masing-masing. Hasil pembentangan tujuh kumpulan berkenaan dinilai oleh empat panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan.

JOHOR BAHRU, 29 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Pusat Pelestarian Kampus UTM (UTMCCS) menganjurkan Program Perbincangan Kumpulan Fokus (FGD) Inisiatif Bangunan Hijau bagi Bangunan Canseleri Sultan Ibrahim (BCSI) sebagai usaha mengenal pasti amalan pengurusan bangunan yang lebih cekap sumber dan mampan.

Program yang berlangsung di Dewan Premier Sarawak, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), UTM Johor Bahru itu turut dihadiri Ahli Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UTM, Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan.

Panel penilai memberikan ulasan terhadap pembentangan salah sebuah kumpulan. Dari kiri, Prof. Madya Dr. Nomahaza Mahadi, Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan dan Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip

Program berkenaan menghimpunkan 40 peserta yang mewakili pelbagai Pusat Tanggungjawab (PTJ) yang beroperasi di BCSI. Perbincangan memberi tumpuan kepada pelaksanaan amalan hijau, kecekapan penggunaan sumber serta usaha menerapkan pengurusan bangunan lestari dalam operasi harian universiti.

Penyelaras Program FGD, Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Dalila Mat Said, berkata penglibatan semua PTJ penting bagi memastikan pelaksanaan inisiatif bangunan lestari mendapat sokongan menyeluruh warga kampus.

“Penglibatan aktif semua PTJ amat penting kerana kejayaan pelaksanaan bangunan lestari bukan hanya bergantung pada penggunaan teknologi hijau, tetapi juga kepada perubahan budaya kerja, pengurusan sumber secara cekap dan komitmen berterusan setiap warga kampus,” katanya.

Sepanjang program, peserta dibahagikan kepada tujuh kumpulan yang masing-masing dipimpin oleh Green Captain atau Green Manager. Setiap kumpulan membentangkan inisiatif dan amalan hijau yang telah dilaksanakan di PTJ masing-masing, sekali gus menyediakan ruang untuk berkongsi amalan baik serta mengenal pasti peluang penambahbaikan.

Peserta membentangkan inisiatif dan amalan hijau yang dilaksanakan di PTJ masing-masing

Menurut Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Dalila, pendekatan perbincangan berkumpulan itu turut membantu UTMCCS mengumpulkan maklumat mengenai pelaksanaan inisiatif hijau di peringkat PTJ. Maklumat berkenaan boleh dijadikan asas bagi penyelarasan, pemantauan dan penilaian keberkesanan usaha kelestarian bangunan.

“Pendekatan ini membolehkan UTMCCS mengumpulkan maklumat mengenai pelaksanaan inisiatif hijau di peringkat PTJ sebagai asas untuk memperkukuh penyelarasan, pemantauan dan penilaian keberkesanan usaha kelestarian bangunan.

“Penganjuran program ini turut mendukung aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya Desired State 6 yang menyasarkan pengurangan pelepasan karbon sebanyak 30 peratus menjelang tahun 2030,” katanya lagi.

Dalam hal ini, BCSI berpotensi menjadi contoh pelaksanaan amalan pengurusan bangunan lestari menerusi penjimatan tenaga, penggunaan air secara berhemah, pengurangan sisa dan peningkatan kesedaran alam sekitar dalam kalangan warga kampus.

Usaha berkenaan juga seiring dengan hala tuju negara melalui Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (National Energy Transition Roadmap, NETR) serta agenda pembangunan rendah karbon yang memberi penekanan kepada kecekapan penggunaan sumber dan pengurangan pelepasan gas rumah kaca.

Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan menyampaikan ucapan rumusan mengenai kepentingan komitmen PTJ dalam pelaksanaan amalan hijau

Pada peringkat global, inisiatif ini turut berkait dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, khususnya SDG 11, iaitu Bandar dan Komuniti Mampan, selain menyokong SDG 7 (Tenaga Bersih dan Mampu Milik), SDG 12 (Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab) serta SDG 13 (Tindakan terhadap Perubahan Iklim).

Hasil pembentangan tujuh kumpulan berkenaan dinilai oleh empat panel yang mempunyai kepakaran dalam bidang berkaitan, iaitu Prof. Madya Ir. Dr. Shamsul Sarip, LAr. Dr. Zanariah Jasmani, Prof. Madya Dr. Nomahaza Mahadi dan Dr. Tantish Kamaruddin.

Peserta bergambar bersama Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan dan barisan panel penilai

Dalam ucapan rumusannya, Dato’ Ir. Mohammed Noor Abu Hassan menekankan kepentingan komitmen dan kerjasama berterusan semua PTJ bagi memastikan amalan hijau dapat diterapkan dalam operasi harian serta memberikan sumbangan yang bermakna terhadap kelestarian kampus.

“Pelaksanaan amalan hijau bukan sekadar memenuhi keperluan penarafan bangunan hijau, tetapi perlu menjadi budaya kerja yang berterusan. Kejayaan inisiatif ini harus diukur melalui peningkatan kecekapan penggunaan sumber, pengurangan pembaziran serta sumbangan yang dapat dibuktikan terhadap sasaran pengurangan pelepasan karbon universiti,” katanya.

Melalui penglibatan pelbagai PTJ, program FGD ini diharapkan dapat meningkatkan kesedaran dan penyertaan warga kampus dalam amalan hijau, di samping menyokong pengurusan sumber yang lebih cekap serta pembentukan budaya kerja yang bertanggungjawab terhadap alam sekitar.

Explore More

UTM Open Day