📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah melancarkan inisiatif pengumpulan dan penggunaan semula fabrik uniform terpakai dengan kerjasama Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan komuniti Kraf Hibiscus. Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kelestarian menerusi ekonomi kitaran fabrik terpakai. Sebanyak 300 kilogram fabrik uniform terpakai telah dikumpulkan dari HSA dan akan diolah semula menjadi produk kraf bernilai tambah. Inisiatif ini memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, institusi kesihatan dan komuniti serta membuka ruang kepada keusahawanan sosial dan penjanaan ekonomi komuniti.
JOHOR BAHRU, 2 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda kelestarian menerusi inisiatif pengumpulan dan penggunaan semula fabrik uniform terpakai dengan kerjasama Unit Kejururawatan Hospital Sultanah Aminah (HSA) dan komuniti Kraf Hibiscus di bawah Geran Iskandar Puteri Rendah Karbon (IPRK) 6.0, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri (MBIP).
Inisiatif yang diketuai Dr. Norfhairna Baharulrazi bersama tujuh ahli jawatankuasa dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Kejuruteraan Tenaga (FKT), UTM itu turut melibatkan tujuh ahli komuniti Kraf Hibiscus yang menggabungkan kepakaran bagi menghasilkan produk kraf menerusi pendekatan ekonomi kitaran dan amalan rendah karbon di peringkat komuniti.

Program berkenaan mendapat sokongan warga HSA apabila sebanyak 300 kilogram (kg) fabrik uniform terpakai berjaya dikumpulkan untuk disalurkan kepada Kraf Hibiscus. Fabrik berkenaan akan diolah semula menerusi pendekatan guna semula kreatif (upcycling) menjadi pelbagai produk kraf bernilai tambah, sekali gus membantu mengurangkan jumlah bahan yang berakhir sebagai sisa di tapak pelupusan.

Inisiatif ini berteraskan tiga aspek utama kelestarian yang saling melengkapi, iaitu alam sekitar, sosial dan ekonomi, dalam usaha membentuk ekosistem ekonomi kitaran yang lebih mampan.
Dari aspek alam sekitar, penggunaan semula fabrik dapat memanjangkan jangka hayat tekstil di samping mengurangkan kebergantungan terhadap pengeluaran tekstil baharu. Menurut European Environment Agency (EEA), kira-kira 80 peratus daripada kesan perubahan iklim tekstil berlaku pada fasa pengeluaran, manakala selebihnya berlaku pada peringkat pengedaran dan peruncitan, penggunaan serta pengurusan akhir hayat tekstil.
Sehubungan itu, usaha memanjangkan tempoh penggunaan tekstil melalui guna semula dan upcycling merupakan antara pendekatan yang dapat membantu mengurangkan tekanan terhadap alam sekitar serta keperluan menghasilkan tekstil baharu.
Menurut Dr. Norfhairna Baharulrazi, fabrik terpakai yang lazimnya dilihat sebagai sisa masih berpotensi dimanfaatkan semula melalui pendekatan yang mudah dan praktikal.
Beliau berkata, pendekatan berkenaan wajar dipupuk dan diamalkan dalam masyarakat kerana inisiatif seumpama itu berpotensi dilaksanakan oleh institusi, organisasi dan komuniti lain mengikut kesesuaian masing-masing.
Dari aspek sosial pula, inisiatif berkenaan mendapat sambutan positif warga HSA yang melihatnya sebagai kaedah praktikal untuk menguruskan uniform yang tidak lagi digunakan.
Menurut jururawat HSA, Nurul Aini binti Osman, beliau berasa teruja dengan adanya saluran yang sesuai untuk menyerahkan uniform lama yang sebelum ini tidak lagi digunakan.
“Saya suka dan sangat teruja kerana sebelum ini saya tidak tahu hendak hantar uniform lama ke mana. Sayang untuk dibuang,” katanya.

Pada masa sama, program ini memperkukuh jaringan kerjasama antara universiti, institusi kesihatan dan komuniti menerusi perkongsian pengetahuan serta penglibatan secara langsung dalam amalan kelestarian dan pengurusan bahan yang lebih bertanggungjawab.
Dari sudut ekonomi, pengolahan fabrik terpakai kepada produk kraf pula berpotensi membuka ruang kepada keusahawanan sosial dan penjanaan ekonomi komuniti.
Menerusi komuniti Kraf Hibiscus, fabrik uniform terpakai berpotensi ditransformasikan kepada pelbagai produk seperti beg dan aksesori wanita. Selain menghasilkan produk bernilai tambah, usaha itu turut memberi peluang kepada anggota komuniti meningkatkan kemahiran dalam bidang jahitan, reka bentuk, penghasilan produk dan pemasaran.

Dari perspektif pembangunan mampan, pelaksanaan inisiatif ini turut menyokong Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG), khususnya SDG 11: Bandar dan Komuniti Mampan, SDG 12: Penggunaan dan Pengeluaran Bertanggungjawab serta SDG 13: Tindakan Iklim.
Di peringkat tempatan, pendekatan berkenaan selari dengan usaha MBIP memperkukuh agenda Iskandar Puteri sebagai bandar rendah karbon. Pada peringkat institusi pula, inisiatif itu menyokong komitmen UTM dalam menerapkan kelestarian, inovasi dan impak masyarakat menerusi pendidikan, penyelidikan serta penglibatan komuniti.
Melalui kerjasama UTM, HSA dan Kraf Hibiscus, fabrik yang tidak lagi digunakan dapat dialihkan daripada aliran sisa kepada kitaran penggunaan baharu. Pendekatan tersebut memperlihatkan bagaimana kepakaran universiti, sokongan institusi dan penglibatan komuniti boleh digabungkan bagi menghasilkan usaha kelestarian yang praktikal.
Sehubungan itu, UTM akan terus memperkukuh kerjasama rentas sektor berasaskan prinsip ekonomi kitaran dan pembangunan rendah karbon, selaras dengan peranan universiti dalam pendidikan dan penyelidikan serta usaha menyokong kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.