Pengukuhan reputasi akademia, pemerkasaan infrastruktur teknologi jadi tumpuan MBNC Oktober 2026

SDGSDG4SDG8SDG9SDG10SDG17

📝 Ringkasan

Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Oktober 2026 telah berlangsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur. MBNC tersebut bertemakan “Akademia & Reputasi Universiti” dan membincangkan peranan akademia dalam membina nama, kewibawaan dan kepercayaan terhadap universiti di peringkat kebangsaan dan antarabangsa. Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menegaskan bahawa pembentukan warga akademik yang berwibawa perlu berteraskan empat nilai utama, iaitu Kredibiliti, Kepercayaan, Kebijaksanaan dan Adab.

KUALA LUMPUR, 2 Okt. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh reputasi akademia, keupayaan inovasi dan jaringan strategiknya menerusi Majlis Bersama Naib Canselor (MBNC) bagi sesi Oktober 2026 yang berlangsung di Dewan Azman Hashim, UTM Kuala Lumpur, hari ini.

Bertemakan “Akademia & Reputasi Universiti”, majlis tersebut menjadi medan untuk seluruh warga UTM, sama ada yang hadir secara fizikal mahupun dalam talian, merenung kembali peranan akademia dalam membina nama, kewibawaan dan kepercayaan terhadap universiti di peringkat kebangsaan serta antarabangsa.

Warga UTM mengikuti Majlis Bersama Naib Canselor sesi Oktober 2026

Dalam amanatnya, Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menegaskan bahawa pembentukan warga akademik yang berwibawa perlu berteraskan empat nilai utama, iaitu Kredibiliti, Kepercayaan, Kebijaksanaan dan Adab.

Menurut beliau, kepakaran dan kelayakan akademik perlu disertai integriti dalam pengajaran, penyelidikan dan penerbitan bagi membina kepercayaan terhadap ahli akademik.

“Bagi ahli akademik, ketepatan fakta, kejujuran melaporkan dapatan serta kesungguhan menunaikan amanah menjadikan pandangan seseorang akademia dipercayai oleh mahasiswa, masyarakat, industri dan pembuat dasar,” ujar beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa seseorang ahli akademik dihormati kerana kredibilitinya, dipercayai kerana integritinya, dirujuk kerana hikmahnya dan diteladani kerana adabnya.

“Kredibiliti tidak bergantung pada gelaran semata-mata; ia perlu dibuktikan melalui penguasaan bidang, mutu sumbangan dan keupayaan menghasilkan penyelesaian kepada permasalahan sebenar,” tambah beliau.

Menurut beliau, hikmah membolehkan ahli akademik menggunakan ilmu dengan pertimbangan yang tepat, termasuk memahami perkara yang wajar dilakukan dengan mengambil kira implikasinya terhadap manusia, masyarakat dan alam. Adab pula menjadi asas kehidupan akademik yang tercermin melalui penghormatan, kejujuran, keterbukaan dan kerendahan hati.

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, menyampaikan amanat pada Majlis Bersama Naib Canselor sesi Oktober 2026

Sejurus amanat utama, majlis diteruskan dengan Pelancaran Sambutan Bulan Akademia UTM 2026 bertemakan “Inspirasi Ilmu, Kilauan Permata Bangsa” bersempena sambutan Hari Akademia.

Penganjuran oleh UTM dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) itu menghimpunkan sembilan program utama sepanjang Oktober. Sambutan tersebut bertujuan mengiktiraf sumbangan dan pencapaian warga akademik UTM, memperkukuh budaya ilmu serta meningkatkan kesedaran mengenai peranan akademia dalam pembangunan universiti dan negara.

Kemuncak sambutan bakal menyaksikan Majlis Kecemerlangan Akademia UTM 2026 dengan penyampaian 13 anugerah bagi mengiktiraf sumbangan warga akademik dalam bidang pengajaran, penyelidikan dan khidmat masyarakat.

Pelancaran Sambutan Bulan Akademia UTM 2026 bertemakan “Inspirasi Ilmu, Kilauan Permata Bangsa”

Dalam usaha memperkukuh keupayaan teknologi termaju, MBNC Oktober turut menyaksikan Pelancaran Infrastruktur Pengkomputeran Berprestasi Tinggi (HPC) GPU UTM di bawah Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI).

Infrastruktur berkenaan menyediakan ekosistem pengkomputeran AI gred industri yang menggunakan seni bina terkini NVIDIA Blackwell GPU B200, dengan kuasa pemprosesan sehingga 72 PFLOPS bagi latihan dan 144 PFLOPS bagi inferens. Keupayaan tersebut menyokong latihan serta pelaksanaan model AI berskala besar, termasuk penyelidikan dalam bidang Large Language Models (LLM), computer vision dan simulasi kompleks.

Ekosistem tersebut turut dilengkapi Makmal AI Workstation yang menempatkan 120 unit komputer desktop AI, selain sokongan rangkaian 400 Gbps InfiniBand bagi menyediakan persekitaran pengkomputeran berprestasi tinggi kepada mahasiswa dan penyelidik.

Kemudahan itu menyokong pembangunan bakat AI serta penyelidikan yang memerlukan kapasiti pengkomputeran tinggi. Penyediaan Infrastruktur HPC GPU UTM tersebut merupakan sebahagian daripada pelaburan RM20 juta oleh Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) di bawah Belanjawan 2024 bagi menyokong penubuhan FAI, yang merupakan fakulti AI pertama di Malaysia.

Pelaburan berkenaan turut bertujuan memperkukuh pembangunan bakat AI negara dan menyediakan kemudahan penyelidikan termaju bagi menyokong keperluan penyelidikan dan pembangunan AI.

Pelancaran Infrastruktur HPC GPU UTM di bawah Fakulti Kecerdasan Buatan

Seiring perubahan landskap pendidikan tinggi, Pusat Pemajuan Pembelajaran Digital dan Fleksibel (UTM CDex) turut melancarkan UTM Online Academic Credit Bank atau UTM TRACE (UTM Trusted Recognition Credentials Exchange).

UTM TRACE merupakan Bank Akademik Kredit di bawah UTM Online yang berperanan sebagai wadah untuk menghubungkan pengalaman pembelajaran dengan kepakaran akademik, selain memudahkan proses pengumpulan pengalaman pembelajaran dan pemindahan kredit secara fleksibel.

Inisiatif tersebut menyokong landskap pembelajaran sepanjang hayat yang semakin fleksibel dengan memberikan ruang kepada individu untuk belajar mengikut keperluan, rentak dan matlamat masing-masing.

Pelancaran UTM Online Academic Credit Bank atau UTM TRACE

Dalam perkembangan berkaitan, MBNC turut menyaksikan penyerahan Asset Intelligence Management System (AiMS) yang merupakan hasil translasi penyelidikan Advanced Digital Building Performance & Cost Assessment Network (ADiLE) yang dibangunkan UTM dengan kerjasama CIDB Digital Sdn. Bhd. (CDSB).

AiMS menyokong transformasi digital pengurusan aset melalui sistem yang lebih berpusat, sistematik, boleh dijejaki dan berasaskan data. Sistem tersebut turut mengintegrasikan teknologi seperti RFID dan GPS bagi menyokong pemantauan serta pengurusan aset di Ibu Pejabat CIDB Kuala Lumpur dan 16 rangkaian myBIM Satellite.

Penyerahan Asset Intelligence Management System hasil translasi penyelidikan ADiLE kepada CIDB Digital Sdn. Bhd.

Dalam perkembangan sama, Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) menyerahkan Surat Lantikan Profesor Adjung kepada Ketua Eksekutif Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB), Sr Ahmad Farrin Mokhtar.

Pelantikan tersebut bertujuan memberikan nilai tambah kepada program Ukur Bahan dan Pembinaan melalui perkongsian kepakaran serta pengalaman industri beliau yang melebihi 26 tahun, di samping menyokong pengukuhan kecemerlangan akademik, penyelidikan dan jaringan strategik universiti dengan industri.

Penyerahan Surat Lantikan Profesor Adjung kepada Ketua Eksekutif CIDB Malaysia, Sr Ahmad Farrin Mokhtar

Komitmen UTM dalam pembangunan kemahiran turut diperkukuh menerusi Majlis Penyerahan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) daripada Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK), Kementerian Sumber Manusia, dengan kerjasama UTMSPACE Services Sdn. Bhd.

Seramai lapan penerima menerima DLKM yang terdiri daripada barisan pengurusan tertinggi UTM dan anak syarikatnya, termasuk Naib Canselor, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Pendaftar UTM serta kepimpinan pengurusan universiti dan industri.

Penyerahan Diploma Lanjutan Kemahiran Malaysia (DLKM) kepada Naib Canselor UTM

Dalam pada itu, aspek kebajikan mahasiswa turut diberi perhatian menerusi penyerahan cek cura Zakat Wakalah Bendahari bernilai RM150,000 daripada Maybank Islamic Berhad bersama Maybank Wilayah Johor Melaka. Sumbangan tersebut akan disalurkan sebagai bantuan kepada 500 pelajar asnaf yang memerlukan bagi membantu meringankan beban kewangan mereka.

Penyerahan cek cura Zakat Wakalah Bendahari bernilai RM150,000

Turut berlangsung ialah penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Pendidikan kepada Pelajar Cemerlang B40 daripada UTM Holdings sebagai sebahagian daripada usaha menyokong kebajikan dan pembangunan pelajar.

Penyerahan Sumbangan Dana Bantuan Pendidikan kepada Pelajar Cemerlang B40 daripada UTM Holdings

Selain itu, Sekolah Pengajian Prasiswazah (UGS) UTM menyerahkan cek cura bernilai RM10,000 hasil pelaksanaan Program International Service Learning (ISL) atau Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa bersama universiti rakan di Indonesia. Program tersebut telah melibatkan lebih 200 mahasiswa dari universiti rakan di Indonesia sejak 2023 dan menggabungkan pembelajaran berasaskan khidmat, kolaborasi antarabangsa serta keterlibatan komuniti. Sumbangan berkenaan turut menyokong usaha kelestarian dana universiti bagi pembangunan akademik pelajar dan komuniti.

Penyerahan cek cura RM10,000 hasil Program International Service Learning

Keseluruhannya, penganjuran MBNC sesi Oktober 2026 memperlihatkan hubungan antara amanat akademik, pencapaian universiti, pembangunan teknologi, pemindahan ilmu, jaringan industri serta kebajikan mahasiswa dalam membentuk ekosistem pendidikan tinggi yang saling melengkapi.

Melalui pelbagai pelancaran dan penyerahan yang berlangsung, UTM terus menghubungkan kepakaran akademik dengan keperluan industri dan masyarakat, di samping memberikan perhatian kepada pembangunan bakat, pembelajaran sepanjang hayat dan kesejahteraan mahasiswa.

Pendekatan tersebut selari dengan penegasan Naib Canselor bahawa reputasi universiti bukan semata-mata tentang pencapaian dalam penarafan, tetapi turut dibentuk oleh mutu ilmu, integriti, kepakaran dan sumbangan warga universiti kepada masyarakat. Dalam konteks itu, reputasi UTM menjadi amanah bersama yang perlu diterjemahkan melalui kecemerlangan akademik, inovasi dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada manusia.

Explore More

UTM Open Day