KRP raih pingat Perak NALI 2026 menerusi inovasi pedagogi manusia-AI

SDGSDG4SDG8SDG9

📝 Ringkasan

Kolej Rahman Putra (KRP) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah meraih pingat perak dalam pertandingan New Academia Learning Innovation (NALI) 2026 dengan projek inovasi bertajuk “Empowering Local Product Advertising via Human-AI Pedagogy in Canva Web Design”. Projek ini menggabungkan kreativiti manusia dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan reka bentuk pengiklanan produk tempatan menggunakan platform Canva Web Design. Kejayaan ini merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, kreativiti dan kerjasama berpasukan warga KRP dalam meneroka pendekatan inovasi pembelajaran berasaskan teknologi.

JOHOR BAHRU, 29 Okt. – Kolej Rahman Putra (KRP), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), meraih pingat perak menerusi projek inovasi bertajuk “Empowering Local Product Advertising via Human-AI Pedagogy in Canva Web Design” dalam pertandingan New Academia Learning Innovation (NALI) 2026 yang berlangsung di Dewan Sultan Iskandar (DSI), UTM, pada 28 hingga 29 Oktober 2026.

Projek itu mengetengahkan pendekatan pedagogi yang mengintegrasikan kreativiti manusia dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam penghasilan reka bentuk pengiklanan produk tempatan menggunakan platform Canva Web Design. Inovasi berkenaan memberi tumpuan kepada penerapan teknologi digital secara kreatif dalam proses pembelajaran dan penghasilan bahan pengiklanan.

Dengan menjadikan produk tempatan sebagai fokus, projek ini menghubungkan penerokaan teknologi dengan aplikasi dalam bidang pengiklanan. Pendekatan tersebut turut menekankan peranan kreativiti manusia dalam membentuk idea dan menyampaikan mesej, di samping memanfaatkan AI sebagai salah satu alat dalam proses penghasilan reka bentuk.

Pasukan KRP diketuai oleh Pengetua KRP, Dr. Zul-Hilmi Che Daud, dengan penglibatan sembilan ahli, iaitu Dr. Radhiahtul Raehan Mustafa, Abdul Rashid Zailan, Md Yani Kasiren, Farahwahida Md Nor, Siti Marlia Abd Rahim, Norzielawaty Zainal Abidin, Shahrul Izwan Sukri, Muhammad Umar Fitri Jamaludin dan Fildza Arifa.

Menurut Dr. Zul-Hilmi, kejayaan meraih pingat perak itu merupakan pengiktirafan terhadap komitmen, kreativiti dan kerjasama berpasukan warga KRP dalam meneroka pendekatan inovasi pembelajaran berasaskan teknologi.

“Alhamdulillah, pingat perak ini merupakan pengiktirafan yang amat bermakna buat warga KRP. Saya menghargai kesungguhan seluruh ahli pasukan dalam menjayakan projek yang menggabungkan kreativiti manusia dengan potensi AI dalam pembelajaran.

“Kejayaan ini bukan sekadar tentang pingat, tetapi juga menjadi dorongan untuk kami terus menambah baik inovasi dan memperluas manfaatnya,” katanya.

Dr. Zul-Hilmi Che Daud menerangkan projek inovasi pedagogi manusia-AI kepada pelajar yang mengunjungi reruai KRP sempena NALI 2026

NALI 2026 dirasmikan oleh V. Rugendran Vellayan, Timbalan EXCO Jawatankuasa Pendidikan dan Penerangan Negeri Johor. Program itu menjadi platform kepada warga akademik dan institusi pendidikan untuk mengetengahkan inovasi serta pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran.

Pengetua KRP, Dr. Zul-Hilmi Che Daud, menerangkan inovasi pedagogi manusia-AI kepada V. Rugendran Vellayan, Prof. Ts. Dr. Intan Zaurah Mat Darus dan tetamu jemputan sempena NALI 2026

Sepanjang program berlangsung, reruai KRP turut menerima kunjungan pelajar yang ingin mendapatkan penerangan mengenai projek berkenaan. Dr. Zul-Hilmi turut berkongsi maklumat mengenai inovasi yang diketengahkan, sekali gus membuka ruang interaksi secara langsung antara pasukan dengan pengunjung.

Pasukan inovasi KRP meraikan kejayaan meraih pingat perak dalam NALI 2026

Mengulas perancangan seterusnya, Dr. Zul-Hilmi berharap penyertaan warga KRP dalam bidang inovasi dapat terus diperkasakan melalui penghasilan idea baharu dan penambahbaikan projek sedia ada.

“Kami mahu kembali dengan inovasi yang lebih mantap, disokong bukti keberkesanan serta manfaat yang jelas kepada pengguna dan komuniti. Harapan kami bukan sahaja untuk meraih pengiktirafan lebih tinggi, tetapi juga memastikan inovasi ini dapat dimanfaatkan secara nyata dan berterusan,” katanya.

Kejayaan itu mencerminkan komitmen KRP dalam menyokong agenda inovasi UTM, khususnya meneroka penggunaan teknologi digital dan kecerdasan buatan bagi memperkaya pengalaman pembelajaran. Pengiktirafan tersebut turut menjadi dorongan kepada pasukan untuk terus memperkukuh projek berkenaan, dengan memberi perhatian bukan sahaja kepada pencapaian dalam pertandingan, malah potensi aplikasinya dalam pengiklanan produk tempatan.

Explore More

UTM Open Day