KESBY’26 edisi ketiga perkukuh jaringan antarabangsa dan khidmat masyarakat di Indonesia

SDGSDG4SDG5SDG8SDG10SDG11SDG12SDG13SDG16

📝 Ringkasan

KESBY’26 edisi ketiga telah berjaya mengekalkan jaringan antarabangsa dan khidmat masyarakat di Indonesia. Program itu melibatkan 13 mahasiswa UTM dan empat pengiring yang menjalankan pelbagai aktiviti akademik, kebudayaan, kesihatan dan khidmat masyarakat di Kediri dan Desa Ketapanrame. Mereka berinteraksi dengan masyarakat setempat, mengikuti sesi pemeriksaan kesihatan, mengajar amalan 5R dan mengadakan program kesihatan komuniti.

JOHOR BAHRU, 19 Okt. – Seramai 13 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang menyertai Kembara Rahman ke Surabaya 2026 (KESBY’26), bersama empat orang pengiring, telah menjayakan program mobiliti antarabangsa di Indonesia dari 11 hingga 18 Oktober 2026. Program itu merangkumi pelbagai pengisian akademik, kebudayaan, kesihatan dan khidmat masyarakat.

Memasuki tahun ketiga penganjurannya, KESBY terus menjadi platform pembelajaran antarabangsa yang memberi peluang kepada mahasiswa UTM memperluas pengetahuan, membina jaringan kerjasama dan meningkatkan kefahaman terhadap kepelbagaian budaya. Penganjuran kali ini menggabungkan pengisian akademik, perkongsian teknologi dan khidmat masyarakat melalui kerjasama dengan institusi pendidikan serta komuniti setempat.

Rangkaian program dimulakan di Kediri menerusi kerjasama dengan Institut Ilmu Kesehatan Bhakti Wiyata (IIK Bhakta) dari 11 hingga 13 Oktober. Majlis pembukaan rasmi yang berlangsung pada 12 Oktober di Auditorium IIK Bhakta disusuli syarahan umum dan lawatan kampus bagi memberikan pendedahan kepada delegasi mengenai persekitaran pembelajaran serta kemudahan akademik institusi tuan rumah.

Selain pengisian akademik, program itu turut mengetengahkan keunikan budaya dan kemahiran tradisional masyarakat Indonesia. Menerusi bengkel penghasilan tauhu dan penyediaan minuman herba tempatan, Jamu Sinom, delegasi berpeluang mengenali amalan tradisional yang menjadi sebahagian daripada kehidupan masyarakat setempat.

Selaras dengan kepakaran IIK Bhakta dalam bidang kesihatan, delegasi turut mengikuti sesi pemeriksaan kesihatan dan pembelajaran praktikal menggunakan peralatan simulasi pergigian. Pengisian tersebut memberikan pendedahan kepada amalan penjagaan kesihatan serta penggunaan kemudahan latihan dalam bidang berkaitan.

Peserta KESBY’26 mengikuti pembelajaran praktikal menggunakan peralatan simulasi pergigian semasa lawatan ke IIK Bhakta

Pengalaman pembelajaran di Kediri turut diperluas melalui lawatan ke Pondok Pesantren Diniyyah Darussa’dah Lirboyo dan sebuah kilang gula tempatan pada 13 Oktober. Persembahan seni gamelan pula memperkenalkan delegasi kepada warisan muzik tradisional Indonesia, manakala perlawanan futsal persahabatan menjadi wadah untuk mengeratkan hubungan antara mahasiswa UTM dengan warga IIK Bhakta.

Selepas menyelesaikan rangkaian aktiviti di Kediri, delegasi meneruskan perjalanan ke Desa Ketapanrame untuk melaksanakan fasa khidmat masyarakat dengan kerjasama Universitas Airlangga (UNAIR). Fasa berkenaan dimulakan dengan majlis pembukaan pada 14 Oktober di Wisata Sumber Gempong, diikuti lawatan ke kawasan ekopelancongan tersebut dan Air Terjun Dlundung.

Dalam usaha menyemai kesedaran sosial dan kelestarian alam sekitar, delegasi mengendalikan sesi pendidikan mengenai antibuli dan amalan 5R bersama murid MI Dwi Dasa Warsa pada 15 Oktober. Amalan 5R yang diperkenalkan merangkumi Reduce, Reuse, Recycle, Repurpose dan Refuse. Pengisian khidmat masyarakat turut diteruskan di Yayasan Roudlotul Jannah menerusi ceramah mengenai toleransi yang membuka ruang interaksi dan memupuk persefahaman dengan masyarakat setempat.

Delegasi KESBY’26 mengendalikan sesi kesedaran mengenai amalan 5R bersama murid MI Dwi Dasa Warsa di Desa Ketapanrame pada 15 Oktober 2026

Usaha memperkukuh kesejahteraan masyarakat diteruskan melalui program kesihatan komuniti yang berlangsung pada 16 Oktober di Taman Ghanjaran. Aktiviti senamrobik serta pemeriksaan tekanan darah dan paras glukosa dalam darah dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran penduduk tentang kepentingan penjagaan kesihatan.

Di samping pengisian kesihatan, program khidmat masyarakat itu turut merangkumi perkongsian pengetahuan teknikal mengenai sistem pam air hidraulik (hydraulic ram pump). Sesi tersebut memberikan pendedahan tentang pengoperasian dan penyelenggaraan sistem yang memanfaatkan tenaga aliran air tanpa memerlukan bekalan elektrik atau bahan api. Perkongsian ini turut memperkenalkan teknologi yang berpotensi menyokong pengurusan bekalan air di kawasan desa.

Sebagai kemuncak pengisian di Ketapanrame, Malam Kebudayaan dianjurkan dengan persembahan flash mob, pertunjukan fesyen dan Dikir Barat. Acara yang menghimpunkan delegasi Malaysia dengan masyarakat setempat itu menjadi wadah pertukaran budaya serta mengeratkan hubungan persahabatan antara kedua-dua negara.

Penyerahan plak penghargaan pada Majlis Penutup KESBY’26 sebagai tanda kerjasama antara UTM dengan UNAIR

Rangkaian aktiviti KESBY’26 diakhiri dengan Majlis Penutup di UNAIR, Surabaya, pada 18 Oktober. Selain meraikan kerjasama yang terjalin sepanjang program, delegasi turut mengikuti lawatan kampus bagi mengenali persekitaran akademik institusi berkenaan.

Secara keseluruhannya, penganjuran edisi ketiga KESBY bukan sahaja memperkaya pengalaman pembelajaran mahasiswa UTM di luar bilik kuliah, malah turut menyokong pembangunan kemahiran komunikasi silang budaya, kerjasama berpasukan dan tanggungjawab sosial. Kerjasama dengan IIK Bhakta dan UNAIR diharapkan dapat membuka lebih banyak peluang mobiliti antarabangsa serta pelaksanaan inisiatif khidmat masyarakat pada masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day