📝 Ringkasan
Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Penyelidikan Pembinaan UTM (UTM-CRC) telah berjaya membangunkan Interlocking Hollow Block System (IHBS) atau Sistem Bata Berongga Saling Mengunci. Sistem ini menggabungkan kecekapan pemasangan, pengurangan penggunaan bahan serta ciri kelestarian. Bata IHBS dihasilkan menggunakan bahan tempatan seperti tanah liat merah, pasir halus dan simen tanpa melalui proses pembakaran pada suhu tinggi. Sistem ini telah digunakan dalam pembinaan kira-kira 39 unit bangunan dan rumah di beberapa lokasi di Malaysia.
Impian memiliki kediaman sendiri kini menjadi cabaran besar bagi rakyat Malaysia berikutan harga rumah dan kos pembinaan yang terus meningkat. Pada masa sama, industri pembinaan negara masih berdepan pelbagai cabaran, termasuk kebergantungan kepada kaedah konvensional yang memerlukan tempoh pembinaan lebih panjang, penggunaan tenaga kerja yang tinggi serta penggunaan bata tanah liat yang melalui proses pembakaran pada suhu tinggi dan menyumbang kepada pelepasan karbon.
Kaedah pembinaan tradisional turut memerlukan proses penyusunan bata yang teliti, termasuk penggunaan mortar atau simen penyambung pada setiap lapisan bagi memastikan kestabilan dan ketegakan dinding. Keadaan ini bukan sahaja meningkatkan penggunaan bahan dan kos, malah boleh menyumbang kepada kelewatan projek kerana kerja pembinaan sangat bergantung kepada tenaga kerja mahir.
Bagi menangani cabaran tersebut, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) melalui Pusat Penyelidikan Pembinaan UTM (UTM-CRC) berjaya membangunkan Interlocking Hollow Block System (IHBS) atau Sistem Bata Berongga Saling Mengunci, iaitu teknologi pembinaan alternatif yang menggabungkan kecekapan pemasangan, pengurangan penggunaan bahan serta ciri kelestarian.

Ketua Projek IHBS, Prof. Madya Ir. Dr. Shek Poi Ngian, berkata idea pembangunan sistem itu tercetus daripada keperluan industri terhadap sistem dinding yang boleh dibina dengan lebih pantas, ekonomik dan mesra alam tanpa terlalu bergantung kepada kaedah pembinaan konvensional.
“Keunikan utama IHBS terletak pada mekanisme saling mengunci yang boleh diibaratkan seperti menyusun blok LEGO. Setiap bata direka dengan bonggol dan alur yang membolehkan unit-unit tersebut dipasang dan dikunci antara satu sama lain,” ujar Prof. Madya Ir. Dr. Shek.
Konsep tersebut membolehkan setiap blok berada pada kedudukannya apabila disusun, sekali gus menjadikan proses pembinaan dinding lebih sistematik serta membantu menghasilkan susunan yang lebih jitu dan tegak.
Bata IHBS dihasilkan menggunakan bahan tempatan seperti tanah liat merah, pasir halus dan simen tanpa melalui proses pembakaran pada suhu tinggi seperti bata tanah liat konvensional. Sebaliknya, campuran tersebut melalui proses pemampatan menggunakan mesin hidraulik sebelum menjalani proses pengerasan dan pengeringan secara terkawal.

Berdasarkan proses pembangunan yang digunakan, campuran bata akan dimampatkan pada tekanan sekitar 2,500 psi sebelum melalui tempoh pengerasan yang melibatkan penyiraman air pada peringkat awal dan seterusnya pengeringan secara semula jadi bagi memastikan blok mencapai kekuatan yang stabil sebelum digunakan dalam pembinaan. Pendekatan ini bukan sahaja berpotensi mengurangkan jejak karbon dalam proses penghasilan bata, malah menyokong pendekatan pembinaan yang lebih lestari.


Walaupun konsep pemasangan IHBS kelihatan ringkas seperti menyusun blok LEGO, kekuatan sistem ini tidak hanya bergantung kepada mekanisme saling mengunci pada permukaan bata.
“Ruang berongga pada blok IHBS membolehkan bar tetulang keluli dimasukkan secara menegak sebelum rongga tersebut diisi dengan bahan pengisi seperti konkrit. Gabungan blok, tetulang dan bahan pengisi ini membentuk sistem struktur bersepadu yang membantu meningkatkan keupayaan dinding atau elemen tiang dalam menanggung beban,” tambahnya.
Penyelidikan berterusan turut dilaksanakan bagi meningkatkan prestasi bata, khususnya dalam menangani isu keretakan dan kekuatan mampatan, antaranya melalui penggunaan bahan tambahan seperti serat kelapa sawit, serat keluli dan serat polipropilena sintetik.
Serat tersebut berfungsi membantu mengawal pembentukan dan perambatan retak, sekali gus berpotensi meningkatkan ketahanan bahan untuk jangka masa yang panjang. Penggunaan serat keluli dan sintetik juga dikaitkan dengan pengurangan kebolehtelapan bahan, manakala serat kelapa sawit memberikan potensi penggunaan sisa industri dalam menghasilkan bahan binaan berkualiti.
Prestasi IHBS turut diuji melalui aplikasi sebenar apabila kira-kira 39 unit bangunan dan rumah berjaya dibina di beberapa lokasi di Malaysia yang mempunyai keadaan iklim dan persekitaran berbeza, termasuk Johor dan Sabah.

Berdasarkan rekod projek, teknologi ini telah digunakan dalam pelbagai kategori pembinaan, termasuk kediaman persendirian, bangunan institusi, rumah komuniti serta projek tanggungjawab sosial korporat (CSR) di Johor, Perak, Pahang, Sabah dan Kuala Lumpur.
“Antara projek yang signifikan ialah pembinaan 20 unit rumah komuniti untuk masyarakat Orang Asli di Slim River, Perak. Di Sabah pula, sebanyak tujuh unit rumah komuniti berjaya dibina di Tawau dan Kota Kinabalu melalui dana geran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT),” kata Prof. Madya Ir. Dr. Shek.
Di Johor, teknologi IHBS turut digunakan dalam pembinaan beberapa kediaman persendirian, termasuk banglo dua tingkat di Mutiara Rini, rumah berkembar di Kempas serta banglo di Pontian dan Bakar Batu, Sedenak. Sistem ini turut digunakan dalam pembangunan Projek Sekolah Hidayah di Kempas yang merangkumi sebuah bangunan dua tingkat dan sebuah kantin setingkat.
Sebagai platform demonstrasi, UTM turut menempatkan EcoHome UTM di kampus Johor Bahru bagi memaparkan aplikasi konsep rumah lestari menggunakan teknologi IHBS kepada masyarakat dan pihak berkepentingan.
Sebuah unit contoh turut dibina di IBS Village, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) Construction Research Institute of Malaysia (CREAM), Jalan Chan Sow Lin, Kuala Lumpur, sebagai platform pameran kepada pemain industri untuk melihat sendiri aplikasi, kualiti dan kemasan sistem tersebut.

Satu lagi projek CSR di Kuala Lipis, Pahang turut menggambarkan penggunaan IHBS dalam pembinaan unit banglo, sekali gus menunjukkan fleksibiliti teknologi ini untuk diaplikasikan di pelbagai lokasi dan keperluan pembinaan.
“Melihat kepada potensi masa hadapan, IHBS berpeluang diperluas dalam pembangunan perumahan mampu milik, rumah komuniti, pembangunan luar bandar serta projek pembinaan yang memerlukan penyelesaian lebih pantas dan lestari,” ujar Prof. Madya Ir. Dr. Shek.
CREAM turut melihat IHBS sebagai salah satu teknologi yang berpotensi menjadi rujukan dalam ekosistem Sistem Binaan Berindustri (IBS) negara, khususnya dalam usaha meningkatkan produktiviti dan kualiti sektor pembinaan.
Kejayaan pembinaan kira-kira 39 unit bangunan dan rumah menunjukkan bahawa penyelidikan universiti mampu bergerak melangkaui ruang makmal dan diterjemahkan kepada penyelesaian sebenar di tapak bina.
Lebih daripada sekadar inovasi bata, IHBS memperlihatkan bagaimana gabungan reka bentuk saling mengunci mampu membuka ruang kepada kaedah pembinaan yang lebih cekap dan lestari, sekali gus memperkukuh peranan UTM sebagai universiti penyelidikan yang bukan sahaja menghasilkan pengetahuan dan teknologi, tetapi turut menerjemahkannya kepada penyelesaian praktikal yang memberi manfaat kepada masyarakat, industri dan kelestarian alam sekitar.