Geovoyage Indonesia 26 buka ruang kolaborasi akademik UTM di peringkat antarabangsa

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG13

📝 Ringkasan

Program Geovoyage Indonesia 26 Sesi 2025/2026 telah membuka ruang kolaborasi akademik antarabangsa antara Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan institusi pendidikan di Indonesia. 18 mahasiswa UTM bersama dua pensyarah Kanan Kelab Geoinformatik telah menyertai lawatan akademik dan teknikal ke beberapa institusi pendidikan dan pusat inovasi di Indonesia. Lawatan tersebut menyediakan ruang untuk pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran serta perbincangan mengenai perkembangan semasa dalam sistem maklumat geografi (GIS) dan pemetaan digital.

BANDUNG, 23 Okt. – Perkembangan teknologi geospatial dan penggunaan data dalam pelbagai sektor menjadikan kerjasama antarabangsa sebagai platform penting untuk mahasiswa memperluas pengetahuan serta memahami aplikasi bidang tersebut pada peringkat global.

Menerusi Program Jangkauan Global (GOP), Geovoyage Indonesia 26 Sesi 2025/2026, seramai 18 mahasiswa bersama dua Pensyarah Kanan Kelab Geoinformatik (Geoinfo), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), iaitu Dr. Suzanna Noor Azmy dan Dr. Noordyana Hassan, menyertai lawatan akademik dan teknikal ke beberapa institusi pendidikan serta pusat inovasi di Indonesia.

Antara lokasi yang dikunjungi ialah Institut Teknologi Bandung (ITB), Universiti Telkom: Bandung Techno Park, Balai Cerap Bosscha (Bosscha Observatory), Jakarta Smart City dan Universitas Indonesia (UI). Lawatan tersebut menyediakan ruang untuk pertukaran maklumat, perkongsian kepakaran serta perbincangan mengenai perkembangan semasa dalam sistem maklumat geografi (GIS) dan pemetaan digital.

Delegasi Geovoyage Indonesia 26 UTM bergambar bersama wakil Universiti Telkom di Bandung Techno Park, Bandung

Dalam kunjungan akademik ke ITB dan Universiti Telkom, delegasi UTM turut berkongsi perkembangan ekosistem akademik serta pencapaian penyelidikan universiti. Sesi berkenaan dimulakan dengan pembentangan pengenalan UTM, sebelum diteruskan dengan perkongsian hasil penyelidikan oleh tiga mahasiswa tahun akhir yang membentangkan Projek Sarjana Muda (PSM), selain seorang mahasiswa pascasiswazah yang berkongsi kajian lanjutan dalam bidang geoinformatik.

Pertukaran ilmu itu turut melibatkan mahasiswa Program Studi Teknik Geodesi dan Geomatika, ITB, yang membentangkan projek serta hasil kajian mereka kepada delegasi UTM. Sesi pembentangan dua hala berkenaan membuka ruang perbincangan mengenai metodologi analisis spatial, di samping memberi peluang kepada kedua-dua institusi meneroka potensi kerjasama penyelidikan dan mobiliti mahasiswa pada masa hadapan.

Selain sesi akademik, delegasi turut mengikuti lawatan teknikal ke Balai Cerap Bosscha di bawah pengurusan ITB. Melalui lawatan tersebut, peserta mendapat pendedahan mengenai pengurusan dan pemprosesan data astronomi serta geospatial, struktur bilik pelayan dan infrastruktur teknologi maklumat yang menyokong operasi penyelidikan.

Peserta turut menyaksikan demonstrasi mekanisme putaran dan sistem kawalan teleskop radio seberat 85 tan yang digunakan dalam sistem VLBI Global Observing System (VGOS). Sistem berkenaan menyokong penyelidikan dalam bidang sains angkasa dan geodesi. Dalam sesi yang sama, pensyarah serta mahasiswa UTM berpeluang bertukar pandangan teknikal dengan pegawai penyelidik balai cerap mengenai pengurusan data cerapan berskala besar dan aplikasi penentududukan tepat (precise positioning).

Delegasi Geovoyage Indonesia 26 UTM bergambar di hadapan bangunan utama Balai Cerap Bosscha selepas lawatan teknikal

Kunjungan seterusnya ke Universitas Indonesia (UI) pula memberi tumpuan kepada perkongsian ilmu berkaitan aplikasi penderiaan jauh (remote sensing) dan pemantauan alam sekitar di rantau ini.

Dalam sesi tersebut, pihak UI berkongsi hasil penyelidikan serta pengalaman berkaitan pengurusan bencana kebakaran hutan di Indonesia. Delegasi UTM pula berkongsi perspektif dan pendekatan analisis spatial serta pemetaan risiko yang digunakan di Malaysia dalam menangani isu alam sekitar dan perubahan iklim. Perkongsian ini memberi peluang kepada peserta memahami pendekatan yang digunakan oleh kedua-dua negara dalam menangani cabaran alam sekitar melalui aplikasi teknologi geospatial.

Pengisian program turut merangkumi lawatan industri ke Jakarta Smart City, sebuah pusat inovasi awam yang berkaitan dengan pengurusan bandar berasaskan teknologi. Melalui lawatan tersebut, peserta didedahkan kepada penggunaan teknologi digital dalam menyokong penyampaian perkhidmatan dan pengurusan bandar raya.

Wakil Jakarta Smart City turut menerangkan penggunaan aplikasi bersepadu berasaskan spatial yang membolehkan orang awam menyalurkan aduan berkaitan kemudahan dan kebersihan bandar, termasuk kerosakan lampu isyarat serta isu pembuangan sampah. Aduan yang diterima dapat dipantau oleh pihak berkuasa melalui sistem berkenaan, sekali gus memperlihatkan peranan teknologi geospatial dalam menyokong pengurusan bandar yang lebih responsif.

Delegasi UTM bersama mahasiswa dan pensyarah Program Studi Teknik Geodesi dan Geomatika, Institut Teknologi Bandung (ITB), selepas sesi pembentangan penyelidikan dua hala

Menurut Pengarah Program Geovoyage Indonesia 26, Nurul Damia Iman Mohd Salleh, pendedahan melalui program berkenaan memberi peluang kepada mahasiswa memahami perkembangan teknologi geospatial serta amalan industri di luar negara.

“Program GOP ini memberikan impak yang sangat besar kepada kami. Selain dapat bertukar fikiran dengan rakan akademik di Indonesia, kami dapat melihat sendiri bagaimana teknologi GIS dan infrastruktur data diuruskan di peringkat global. Pengalaman ini sememangnya tidak dapat dijual beli di bilik kuliah,” katanya.

Secara keseluruhannya, program ini memberi manfaat kepada UTM dan institusi tuan rumah melalui perkongsian pengetahuan, hasil penyelidikan serta amalan dalam bidang geoinformatik. Bagi UTM, pendedahan tersebut berpotensi memperluas jaringan kerjasama penyelidikan rentas sempadan, selain meningkatkan pengalaman mahasiswa dalam menyampaikan hasil penyelidikan kepada komuniti akademik antarabangsa.

Pada masa yang sama, perkongsian hasil PSM, kajian pascasiswazah dan pengalaman delegasi UTM turut memberi ruang kepada institusi tuan rumah untuk bertukar idea serta berkongsi kepakaran dalam bidang geospatial. Hubungan yang terjalin sepanjang program ini juga berpotensi menjadi asas kepada kerjasama akademik dan penyelidikan yang lebih meluas di rantau Asia Tenggara.

Program Geovoyage Indonesia 26 turut mendapat sokongan pelbagai pihak dan rakan kolaborator yang terlibat dalam menjayakan inisiatif berkenaan. Melalui pendedahan akademik, teknikal dan industri, program ini diharap dapat membantu mahasiswa membina kefahaman yang lebih menyeluruh tentang aplikasi geoinformatik serta peranannya dalam mendepani perkembangan teknologi dan cabaran masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day