📝 Ringkasan
Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah berkongsi kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menerusi Konvensyen AI dan Kehakiman Islam Kebangsaan 2026. Konvensyen itu bertemakan “Meneroka Kesiagaan Integrasi Aplikasi AI di Mahkamah Syariah” dan menghimpunkan pengamal undang-undang syariah, ahli akademik, pakar teknologi dan wakil agensi kerajaan untuk membincangkan potensi serta cabaran penggunaan AI dalam sistem kehakiman Islam di Malaysia.
SEREMBAN, 13 Okt. – Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berkongsi kepakaran dalam bidang kecerdasan buatan (AI) menerusi Konvensyen AI dan Kehakiman Islam Kebangsaan 2026 yang berlangsung pada 12 hingga 13 Oktober 2026 di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan.
Konvensyen bertemakan “Meneroka Kesiagaan Integrasi Aplikasi AI di Mahkamah Syariah” itu menghimpunkan pengamal undang-undang syariah, ahli akademik, pakar teknologi dan wakil agensi kerajaan untuk membincangkan potensi serta cabaran penggunaan AI dalam sistem kehakiman Islam di Malaysia.

Penglibatan FAI UTM merangkumi perkongsian ilmu dan latihan praktikal berkaitan penggunaan AI bagi menyokong tugasan perundangan, khususnya dalam pengurusan maklumat, penelitian dokumen dan penyediaan bahan rujukan.
Menerusi pembentangan bertajuk “Aplikasi AI dalam Perundangan”, Prof. Madya Dr. Nor Zairah Ab. Rahim berkongsi pengetahuan tentang potensi teknologi tersebut dalam membantu pelaksanaan tugasan perundangan. Perkongsian itu turut memberi ruang kepada peserta untuk memahami keupayaan teknologi AI serta kesesuaiannya dengan keperluan institusi kehakiman.

Selain itu, Dr. Liyana Safra Zaabar mengendalikan latihan praktikal bertajuk “Prompt Engineering untuk Pengamal Undang-Undang Syariah Menggunakan NotebookLM”. Sesi tersebut memberi pendedahan kepada peserta tentang pembinaan arahan yang sesuai untuk memanfaatkan aplikasi AI dalam pengurusan dan penelitian bahan rujukan, di samping menekankan kepentingan menyemak ketepatan maklumat yang dihasilkan.
Sepanjang konvensyen, peserta turut membincangkan aspek etika, tadbir urus data, privasi dan pembuktian digital, termasuk kepentingan mengekalkan pertimbangan manusia dalam proses membuat keputusan kehakiman.

Konvensyen itu juga mengetengahkan cadangan kerjasama strategik antara Jabatan Kehakiman Syariah Negeri Sembilan (JKSNS) dengan UTM bagi meneroka pembangunan model bahasa besar (Large Language Model, LLM) khusus untuk bidang kehakiman syariah. Inisiatif yang dicadangkan itu berpotensi membuka ruang kepada pembangunan penyelesaian teknologi yang mengambil kira keperluan serta konteks perundangan Islam.
Majlis penutupan disempurnakan oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rusli, yang turut menyaksikan pembentangan resolusi konvensyen berhubung hala tuju penggunaan AI dalam sistem kehakiman syariah.

Penyertaan FAI UTM dalam konvensyen ini mencerminkan usaha memperluas perkongsian kepakaran akademik dengan sektor awam dan profesional, selain membuka peluang kerjasama dalam penyelidikan, pembangunan teknologi dan latihan berkaitan AI bagi memenuhi keperluan institusi kehakiman syariah.
Usaha ini diharap dapat memperkukuh hubungan antara institusi akademik dengan sektor kehakiman dalam meneroka penggunaan AI secara bertanggungjawab, selamat dan beretika. Pada masa yang sama, kerjasama berterusan dalam bidang penyelidikan, pembangunan teknologi dan latihan kepakaran berpotensi menyokong kesiapsiagaan institusi kehakiman syariah menghadapi perkembangan teknologi digital, tanpa mengetepikan prinsip perundangan Islam serta pertimbangan manusia dalam proses membuat keputusan.