📝 Ringkasan
Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU) Universiti Teknologi Malaysia (UTM) bersama Persatuan Perancang & Penyelia Mengangkat Kren Malaysia (CLPM) menganjurkan program Crane Lifting Planning (CLP) Software Bootcamp. Program ini bertujuan melengkapkan mahasiswa dengan konsep asas dan kemahiran teknikal perancangan angkat dalam industri bertaraf dunia. 30 orang peserta dipilih untuk mewakili universiti ke Pertandingan Perisian Perancangan Kerja Mengangkat Kren ASEAN Ke-2.
JOHOR BAHRU, 23 Okt. – Fakulti Alam Bina dan Ukur (FABU), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dengan kerjasama Persatuan Perancang & Penyelia Mengangkat Kren Malaysia (CLPM) menganjurkan program Crane Lifting Planning (CLP) Software Bootcamp bertempat di Makmal Komputer Ukur Bahan (MKUB).
Program berimpak tinggi ini dirangka khusus untuk melengkapkan mahasiswa dengan konsep asas dan kemahiran teknikal perancangan angkat dalam industri bertaraf dunia. Melalui penilaian yang komprehensif semasa latihan intensif ini, seramai 30 orang peserta berprestasi tinggi dipilih untuk mewakili universiti ke Pertandingan Perisian Perancangan Kerja Mengangkat Kren ASEAN Ke-2 (2nd ASEAN Crane Lifting Planning Software Competition).

Perjumpaan rasmi diadakan antara Presiden CLPM, Mejar Bersekutu (PA) Abdul Jalil Hamat dan barisan Ahli CLPM, bersama Dekan FABU, Prof. Sr Dr. Kherun Nita Ali, Timbalan Dekan (Akademik dan Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya LAr. Dr. Sapura Mohamad, serta Pensyarah Kanan Program Sarjana Muda Sains (Pembinaan) dengan Kepujian bagi perbincangan libat urus pada masa akan datang.
Kehadiran tokoh industri, Mejar Bersekutu (PA) Abdul Jalil Hamat, PAP, PPA (APM), selaku Presiden CLPM menyuntik inspirasi kepada para peserta. Dalam ucapannya, beliau menekankan peranan kritikal perancangan strategik dalam kejayaan operasi pembinaan moden.
“Objektif bootcamp ini adalah untuk mendedahkan pelajar kepada Perisian Kejuruteraan Pelan Angkat Kren. Walaupun ramai jurutera beranggapan operasi kren hanya melibatkan pengendali kren, perancangan angkat sebenarnya merupakan fungsi kejuruteraan yang amat penting.
“Ia merangkumi kajian angkat, pengiraan beban, perancangan keselamatan, dan simulasi angkat digital sebelum operasi sebenar di tapak seperti yang ditetapkan oleh Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS), Jabatan Pembangunan Kemahiran, Kementerian Sumber Manusia,” jelas beliau.

Bagi memperkukuh kompetensi teknikal, modul latihan yang diketengahkan dalam program ini memfokuskan kepada penggunaan templat pelan angkat kren 3D serta penyediaan penyataan kaedah berurutan menggunakan perisian kranXpert.
Melalui aktiviti amali secara bersemuka, peserta didedahkan secara langsung dengan kemahiran memvisualisasikan operasi angkat dalam dimensi 3D serta mengintegrasikan imejan tapak sebenar ke dalam simulasi pelan digital. Latihan berintensiti tinggi ini memberikan kelebihan daya saing kepada peserta untuk menterjemahkan teori bilik kuliah kepada senario sebenar di tapak bina yang sentiasa menuntut ketepatan perancangan.
Bagi memastikan UTM diwakili oleh calon terbaik ke peringkat antarabangsa, 50 delegasi pelajar dilaksanakan menerusi penilaian yang amat teliti. Setiap tugasan peserta disemak secara individu oleh Mejar Bersekutu (PA) Abdul Jalil Hamat bersama barisan pensyarah kursus, Fuziah Ismail dan Dr. Muhamad Shafiq Johari.
Kriteria pemilihan utama adalah bersandarkan tahap pengurusan masa tugasan, ketepatan tetapan susun atur tapak sebenar dan konsistensi simulasi perancangan angkat kren digital.
Delegasi 30 daripada 50 pelajar terpilih bakal menggalas cabaran besar di Pertandingan Perisian Perancangan Kerja Mengangkat Kren ASEAN Ke-2 bersempena dengan Minggu Pembinaan Antarabangsa (ICW) 2026 yang berlangsung di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), Kuala Lumpur dari 10 hingga 12 November 2026.
Persediaan rapi menerusi saringan berperingkat ini bukan sahaja mempersiapkan pelajar untuk bersaing di peringkat antarabangsa, malah membuktikan nilai utuh kerjasama antara universiti dan industri dalam melonjakkan nama UTM di rantau Asia Tenggara.

Penganjuran bootcamp ini terbukti sejajar dengan teras hala tuju UTM dalam memacu inovasi lestari dan melahirkan graduan yang holistik, kompeten serta sedia menempuh alam pekerjaan.
Harapan universiti adalah agar pendedahan teknologi canggih ini akan terus menyumbang kepada pembangunan prasarana yang jauh lebih efisien dan selamat, memartabatkan aspek kelestarian masyarakat tempatan, dan secara langsung menterjemahkan falsafah ‘Kerana Tuhan Untuk Manusia‘ melalui sinergi pendidikan berkualiti bersama pakar industri yang berterusan.