📝 Ringkasan
Dr. Yap Yung Szen, Pensyarah Kanan Fakulti Sains UTM, menerima Anugerah Khas Kecemerlangan Kepakaran Teknologi Termaju di Majlis Kecemerlangan Akademik UTM 2026 atas sumbangannya dalam bidang pengkomputeran kuantum. Kepakaran beliau dalam pembangunan perkakasan komputer kuantum serta usaha melatih bakat tempatan mencerminkan komitmen UTM dalam memperkukuh penyelidikan dan membangunkan ekosistem kuantum negara.
JOHOR BAHRU, 30 Okt. – Kepakaran dalam pembangunan teknologi dan pengkomputeran kuantum membawa kepada kejayaan Dr. Yap Yung Szen, Pensyarah Kanan Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Teknologi Malaysia (UTM), menerima Anugerah Khas Kecemerlangan Kepakaran Teknologi Termaju pada Majlis Kecemerlangan Akademik (MKA) UTM 2026.
Pengiktirafan itu diberikan sebagai penghargaan terhadap sumbangan beliau dalam meneroka dan membangunkan teknologi pengkomputeran kuantum, sekali gus memperkukuh kedudukan UTM dalam penyelidikan teknologi termaju yang berpotensi memberi impak kepada pembangunan industri dan masa depan negara.
Dr. Yap yang berpengalaman dalam bidang pengkomputeran kuantum sejak 2009 berkata, usaha membangunkan teknologi berkenaan bukan sahaja tertumpu kepada penyelidikan, malah merangkumi pembangunan kepakaran tempatan, latihan bakat dan pembentukan ekosistem industri kuantum di Malaysia.
Beliau memperoleh ijazah Doktor Falsafah (PhD) dari The University of Osaka, Jepun, dan juga dilantik sebagai Specially Appointed Associate Professor di universiti berkenaan sejak tahun 2024. Beliau turut menjadi antara pengasas Malaysia Quantum Information Initiative (MyQI) serta pernah menjadi Visiting Researchers selama 6 tahun di Centre for Quantum Technologies (CQT), Singapura.
Kepakaran beliau turut mendapat pengiktirafan antarabangsa apabila terpilih dalam kelompok Quantum 100 pada 2025 daripada lebih 400 pencalonan di seluruh dunia.
Menurut Dr. Yap, komputer kuantum ialah peranti pengkomputeran yang menggunakan prinsip fizik kuantum untuk memproses maklumat. Teknologi ini berpotensi menyelesaikan masalah pengiraan kompleks yang sukar ditangani oleh komputer biasa, khususnya dalam penghasilan bahan-bahan kimia baru seperti ubat-ubatan, bateri, dan panel solar.
Beliau turut memainkan peranan penting dalam membawa kepakaran dan pembangunan teknologi kuantum ke Malaysia menerusi kerjasama industri serta pengembangan syarikat terbitan (spin-off) di UTM Johor Bahru.
Beliau menjelaskan bahawa keistimewaan kepakaran UTM dalam bidang ini terletak pada tumpuan terhadap pembangunan dan pembinaan perkakasan komputer kuantum, bukan sekadar penggunaan teknologi sedia ada. Pendekatan ini turut menekankan latihan dan pembangunan bakat tempatan bagi membina keupayaan negara untuk menghasilkan teknologi tersebut. Dalam jangka panjang, usaha ini berpotensi menyokong industri dan membentuk ekosistem kuantum di Malaysia yang lebih menyeluruh dan berdaya saing.
Dalam aspek pembangunan bakat tempatan, UTM turut memperkukuh pendidikan dalam bidang ini menerusi penawaran kursus elektif Quantum Computing kepada pelajar jurusan Fizik, selain merancang pelaksanaan kursus dalam talian (MOOCs) bagi memberikan pendedahan praktikal mengenai kaedah mengawal dan membina perkakasan komputer kuantum.
Penganugerahan ini bukan sahaja mengiktiraf kepakaran dan sumbangan Dr. Yap dan Fakulti Sains dalam bidang teknologi termaju, malah menyerlahkan komitmen UTM untuk memperkukuh penyelidikan, melahirkan bakat berkemahiran tinggi serta membangunkan ekosistem kuantum negara. Usaha ini berpotensi membuka peluang kepada kemunculan sektor industri baharu, mewujudkan pekerjaan berkemahiran tinggi dan meneroka potensi teknologi kuantum demi kemajuan serta daya saing negara pada masa hadapan.
