60 mahasiswa UTM sertai sidang kemuncak pemimpin muda antarabangsa iFUTURE 2026

SDGSDG4SDG16

📝 Ringkasan

60 mahasiswa UTM menyertai sidang kemuncak pemimpin muda antarabangsa iFUTURE 2026 di Kuala Lumpur. Persidangan yang berlangsung dari 11 hingga 13 Oktober itu membincangkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan generasi muda. Mahasiswa UTM mengikuti pelbagai pengisian yang memberi tumpuan kepada kepimpinan, pengucapan awam dan pembangunan diri, serta berinteraksi dengan pemimpin muda dari pelbagai negara.

KUALA LUMPUR, 14 Okt. – Seramai 60 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyertai Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Hadapan Antarabangsa (iFUTURE) 2026 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC Kuala Lumpur) dari 11 hingga 13 Oktober lalu.

Persidangan bertemakan Redefining Future Leaders Through Value-Based Leadership itu menghimpunkan 1,231 peserta, termasuk 813 delegasi tempatan dan 418 perwakilan antarabangsa dari 60 negara, bagi membincangkan pembangunan kepimpinan berasaskan nilai dalam kalangan generasi muda.

Sepanjang tiga hari persidangan, mahasiswa UTM mengikuti pelbagai pengisian yang memberi tumpuan kepada tiga bidang utama, iaitu kepimpinan, pengucapan awam dan pembangunan diri. Program tersebut turut menyediakan ruang kepada peserta untuk bertukar pandangan, memperluas jaringan antarabangsa dan menimba pengalaman daripada pemimpin serta tokoh pelbagai bidang.

Mahasiswa UTM bergambar bersama Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, pada persidangan iFUTURE 2026

Rangkaian aktiviti bermula pada 11 Oktober menerusi KL iFUTURE Exploreace 2026 (KLIX 2026), sebelum diteruskan dengan majlis makan malam dan upacara pembukaan yang disempurnakan oleh Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim, pada sebelah malam.

Pada hari kedua, peserta mengikuti beberapa sesi forum dan perbincangan yang mengetengahkan isu kepimpinan serta pembangunan negara. Antaranya ialah sesi In Conversation bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Amar Haji Fadillah Haji Yusof.

Peserta turut mengikuti Forum Menteri bertajuk Voices of Tomorrow: A Conversation on Leadership and Nation Building yang menampilkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Dato’ Seri Azalina Othman Said, serta Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Perbincangan tersebut memberi peluang kepada peserta mendalami cabaran pembinaan negara dan memahami peranan yang perlu dimainkan oleh pemimpin muda dalam menghadapi perubahan serta tuntutan masa hadapan.

Pada hari terakhir, sesi bertajuk Towards a Futuristic Nation memberi tumpuan kepada kepimpinan, inovasi dan transformasi dalam membentuk negara yang bersedia menghadapi masa hadapan. Sesi berkenaan menampilkan Menteri Besar Johor, Dato’ Onn Hafiz Ghazi, Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, serta Khairy Jamaluddin Abu Bakar. Persidangan kemudian diakhiri dengan majlis penutup yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir.

Mahasiswa UTM menghadiri majlis penutup iFUTURE 2026 yang disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir

Penyertaan mahasiswa UTM dalam persidangan antarabangsa itu membuka peluang kepada mereka untuk berinteraksi dengan pemimpin muda dari pelbagai negara, di samping mendapatkan pendedahan secara langsung tentang kepentingan integriti, akauntabiliti dan tanggungjawab dalam kepimpinan.

Pengalaman tersebut turut menyokong pembangunan mahasiswa secara holistik, khususnya dalam memperkukuh kemahiran komunikasi, pemikiran kritis dan keyakinan diri. Pendedahan kepada pelbagai perspektif kepimpinan di peringkat nasional dan antarabangsa diharap dapat membantu mereka mempersiapkan diri untuk memikul tanggungjawab sebagai pemimpin masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day