UTM semarak semangat patriotisme menerusi Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka 2026

SDGSDG4SDG10SDG11SDG16

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia menerusi Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026. Program itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dan jati diri, serta memupuk nilai positif seperti kerjasama, integriti, perpaduan dan daya saing dalam kalangan staf, mahasiswa serta komuniti sekitar UTM.

JOHOR BAHRU, 2 Sept – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus menyemarakkan sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia menerusi Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026 yang menghimpunkan warga universiti dalam suasana penuh semangat patriotisme, kebersamaan dan penghayatan warisan budaya.

Penganjuran program itu bertujuan menyemai semangat patriotisme dan jati diri, di samping memupuk nilai positif seperti kerjasama, integriti, perpaduan dan daya saing dalam kalangan staf, mahasiswa serta komuniti sekitar UTM. Program berkenaan turut menjadi wadah untuk menghargai pengorbanan wira negara yang berjuang demi kemerdekaan serta menyuburkan rasa syukur atas nikmat kemerdekaan yang dikecapi rakyat Malaysia.

Berbeza daripada penganjuran tahun sebelumnya, edisi 2026 mengetengahkan tema “Warisan Melayu”, selain memperluas laluan Brisk Walk Perdana kepada 3.4 kilometer berbanding 1.6 kilometer pada 2025. Program kali ini turut membabitkan penyertaan warga UTM Kuala Lumpur serta menampilkan persembahan Pantomim Serangan Bukit Kepong sebagai antara pengisian utama.

Warga UTM menyertai Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka sejauh 3.4 kilometer sebagai sebahagian daripada pengisian sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia

Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, berkata sambutan Bulan Kebangsaan dan Hari Malaysia memberikan ruang kepada warga universiti untuk menghayati sejarah perjuangan, menghargai nikmat kemerdekaan serta menyemarakkan rasa cinta kepada negara.

Menurut beliau, pelaksanaan Brisk Walk Perdana bukan sekadar aktiviti riadah, sebaliknya membawa mesej kebersamaan dalam memperkukuh semangat patriotisme dan jati diri dalam kalangan staf, mahasiswa serta komuniti sekitar UTM.

“Tema sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini, ‘Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati’, amat dekat dengan kita sebagai rakyat Malaysia. Kesejahteraan tidak seharusnya dilihat dari sudut kebendaan semata-mata, sebaliknya turut merangkumi kesihatan, pendidikan, keharmonian sosial dan kualiti kehidupan,” katanya.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi awam, UTM terus menyokong aspirasi kerajaan dalam membangunkan modal insan berkualiti, berdaya saing dan memiliki adab terpuji.

“Kita mahu melahirkan generasi yang mampu bersaing pada peringkat global, namun tetap teguh dengan nilai dan identiti sebagai rakyat Malaysia,” tambahnya.

Sejajar dengan agenda UTM ASCEND 2030, beliau berkata, program berkenaan turut menjadi sebahagian daripada usaha universiti membina ekosistem kampus yang sihat, harmoni dan sejahtera.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim menyampaikan ucapan pada Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026

Majlis berkenaan dirasmikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha, Kementerian Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata, aktiviti yang menghimpunkan warga universiti tanpa mengira jawatan, latar belakang dan bidang kepakaran dapat memperkukuh semangat kebersamaan sebagai satu komuniti UTM dan bangsa Malaysia.

Katanya, tema “Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati” amat bertepatan dengan semangat program yang menekankan kepentingan kesejahteraan untuk dinikmati oleh semua lapisan masyarakat.

“Perubahan yang besar lazimnya bermula daripada amalan yang mudah, dilakukan secara istiqamah dan digerakkan secara bersama. Kesannya dapat diterjemahkan dalam bentuk kehidupan warga kampus yang lebih sihat, berkualiti dan sejahtera,” ujarnya.

Beliau turut menekankan Lonjakan Bakat Berprestasi Tinggi Dipacu Matlamat yang menuntut institusi pendidikan tinggi membina ekosistem bukan sahaja bagi mengembangkan kompetensi dan kepimpinan, tetapi turut menjaga kesejahteraan fizikal dan mental warganya.

“Kita tidak boleh mengharapkan prestasi tinggi daripada warga yang keletihan, terasing atau tidak sejahtera. Sebaliknya, apabila institusi memupuk rasa kekitaan dan kebersamaan, saling menghormati serta mengamalkan keseimbangan kehidupan, bakat dapat berkembang dan menyumbang dengan lebih bermakna dan berkesan,” jelas beliau.

Datuk Ts. Dr. Mohd Nor Azman Hassan menyampaikan ucapan perasmian Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026

Sementara itu, Jalur Gemilang yang diterbangkan menggunakan dron sewaktu nyanyian lagu Negaraku mencuri perhatian ramai, sekali gus menyemarakkan suasana dan menyuntik semangat patriotik dalam kalangan para peserta yang hadir.

Majlis turut diserikan dengan bacaan ikrar Rukun Negara yang diketuai oleh wakil warga UTM daripada pelbagai latar belakang. Mereka terdiri daripada Mohammad Firdaus Wahyudin dari Bahagian Keselamatan, Jabatan Pendaftar yang mewakili masyarakat Melayu; Prof. Madya Dr. Kew Si Na dari Akademi Bahasa yang mewakili masyarakat Cina; Hemnaart Tanakaran dari UTM International yang mewakili masyarakat India; Muhammad Saiful Hedayat Tullah dari Fakulti Sains yang mewakili rakyat Sabah, Kadazan Dusun; serta Noor Irfan Kamsani dari Fakulti Kejuruteraan Mekanikal yang mewakili rakyat Sarawak, Iban.

Wakil warga UTM daripada pelbagai kaum mengetuai sesi Ikrar Rukun Negara pada majlis berkenaan

Pengisian program diteruskan dengan persembahan Pantomim Serangan Bukit Kepong yang membabitkan 35 orang, terdiri daripada 25 anggota Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) Darat dan Laut, enam anggota Bahagian Keselamatan serta empat pelakon wanita dalam kalangan staf sokongan.

Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim bersama barisan pelakon Pantomim Serangan Bukit Kepong selepas persembahan

Program turut dimeriahkan dengan Cabutan Bertuah dan Penyampaian Hadiah yang menerima sumbangan daripada penaja, termasuk UTM Holdings Sdn. Bhd., Uni-Technologies Sdn. Bhd. (UTSB), UTM Technology and Innovation Management Sdn. Bhd. (UTIM), Institut Sultan Iskandar (ISI) dan UTMSPACE. Hadiah cabutan bertuah mega yang disediakan bernilai keseluruhan RM15,000.

Antara hadiah cabutan bertuah yang disediakan kepada peserta Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026

Dalam pada itu, Jabatan Pendaftar muncul sebagai johan kategori penyertaan tertinggi dalam kalangan pusat tanggungjawab (PTJ), diikuti Jabatan Bendahari di tempat kedua, Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) di tempat ketiga, Fakulti Pengurusan di tempat keempat dan Jabatan Canseleri di tempat kelima.

Kategori Pakaian Terbaik Merdeka pula dimenangi oleh Mohd Marzuki Ripin dari Jabatan Timbalan Naib Canselor (Pembangunan) bagi kategori lelaki, manakala kategori wanita dimenangi oleh Ts. Dr. Khairunnisa Mohd Pa’ad dari Institut Teknologi Antarabangsa Malaysia-Jepun (MJIIT).

Penerima anugerah Pakaian Terbaik Merdeka bagi kategori lelaki dan wanita bergambar bersama semasa penyampaian hadiah

Turut hadir Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, selaku Penasihat Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026; barisan Ahli Jawatankuasa Pengurusan Universiti; pegawai kanan universiti serta dif-dif kehormat yang terdiri daripada ketua pegawai eksekutif anak syarikat UTM.

Antaranya termasuk Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) UTM Holdings Sdn. Bhd., Ahmad Kamil Kushairi; CEO Uni-Technologies Sdn. Bhd. (UTSB), Sr. Ts. Dr. Nor Hafizi Md. Lani; CEO UTM Technology and Innovation Management Sdn. Bhd. (UTIM), Prof. Madya Ts. Dr. Noor Azurati Ahmad @ Salleh; CEO Institut Sultan Iskandar (ISI), Prof. Madya Sr. Dr. Abdullah Hisam Omar; serta Menjalankan Tugas CEO UTMSPACE, Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar.

Penganjuran Majlis Sambutan Bulan Kebangsaan, Hari Malaysia dan Brisk Walk Perdana Edisi Merdeka Peringkat UTM 2026 memperlihatkan usaha universiti menyatukan warga melalui penghayatan patriotisme, warisan budaya, gaya hidup sihat dan semangat kebersamaan, selaras dengan aspirasi untuk membina komuniti kampus yang lebih harmoni dan sejahtera.

Explore More

UTM Open Day