UTM perkukuh pendidikan tinggi dalam era kecerdasan buatan

SDGSDG9

📝 Ringkasan

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) telah mengumumkan Dasar Pendigitalan Pendidikan Tinggi 2025-2030 untuk meningkatkan kompetensi digital dalam kalangan warga akademik, mahasiswa dan pengurusan institusi. Dasar ini menekankan kepimpinan, tadbir urus, infrastruktur data dan peningkatan kompetensi digital. Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyediakan lesen untuk staf dan mahasiswa untuk menyokong pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan produktiviti. Namun, penyediaan teknologi tidak menjamin keberkesanan penggunaannya dan universiti perlu menyediakan dasar, panduan, latihan dan sokongan untuk menggunakan AI secara beretika dan bertanggungjawab.

Kecerdasan buatan (AI) kini semakin mempengaruhi pelbagai aspek kehidupan, termasuk pendidikan tinggi. Perkembangan AI generatif seperti chatbot, pembantu penulisan dan aplikasi analisis telah mengubah cara maklumat dicari, diproses dan digunakan. Perubahan ini menjadikan AI bukan lagi sekadar teknologi tambahan, sebaliknya sebahagian daripada ekosistem pendidikan tinggi yang perlu difahami dan diurus secara berkesan.

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut memberi perhatian terhadap transformasi ini melalui Dasar Pendigitalan Pendidikan Tinggi 2025–2030 yang menekankan kepimpinan, tadbir urus, infrastruktur data serta peningkatan kompetensi digital dalam kalangan warga akademik, mahasiswa dan pengurusan institusi. Dasar tersebut mengandungi enam teras strategik dan 26 inisiatif yang dilaksanakan secara berperingkat sehingga 2030.

Seiring perkembangan tersebut, kehadiran AI turut mengubah cara pensyarah mengajar dan mahasiswa belajar. AI boleh membantu menghasilkan bahan pengajaran, menerangkan konsep, memberikan maklum balas, menyokong pembelajaran kendiri serta membantu proses penyelidikan. Pada masa yang sama, penggunaannya menuntut penyesuaian terhadap kaedah penilaian kerana tugasan berbentuk konvensional semakin mudah dibantu oleh teknologi AI.

Oleh itu, peranan pensyarah tidak semestinya berkurang, sebaliknya berubah daripada penyampai maklumat kepada pembimbing yang membantu mahasiswa menilai, mengesahkan dan menggunakan maklumat secara kritikal. KPT juga menggariskan keperluan mengintegrasikan AI dalam pengajaran dan pembelajaran, di samping memperkukuh integriti akademik.

Penggunaan AI secara meluas pula memerlukan lebih daripada sekadar komputer dan capaian Internet. Universiti memerlukan rangkaian yang stabil, sistem digital yang bersepadu, kemudahan penyimpanan data, pengkomputeran awan, keselamatan siber serta akses kepada platform AI yang sesuai. Dasar Pendigitalan Pendidikan Tinggi 2025–2030 turut menekankan pembangunan ekosistem digital yang saling berhubung melalui antara muka pengaturcaraan aplikasi (API) serta penggunaan AI bagi analitik ramalan dan pembuatan keputusan.

Perkembangan ini dapat dilihat melalui inisiatif yang dilaksanakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM). UTM menyediakan 2,280 lesen Gemini for Google Workspace untuk staf dan 8,390 lesen NotebookLM Enterprise untuk mahasiswa bagi menyokong pembelajaran, pengajaran, penyelidikan dan produktiviti. Namun, penyediaan teknologi semata-mata tidak menjamin keberkesanan penggunaannya.

Sehubungan itu, universiti perlu menyediakan dasar, panduan, latihan dan sokongan yang bersesuaian supaya AI digunakan secara beretika dan bertanggungjawab. Pada peringkat nasional, KPT telah menyediakan garis panduan berkaitan penggunaan AI generatif dalam pengajaran dan pembelajaran, manakala Dasar Pendigitalan Pendidikan Tinggi menetapkan keperluan supaya garis panduan dan strategi berkaitan AI sentiasa disemak selaras dengan perkembangan teknologi serta piawaian etika.

Dalam konteks pembangunan bakat, UTM turut mengambil pendekatan yang lebih menyeluruh melalui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI) pada 2024. Kohort perintis program Sarjana Muda Kecerdasan Buatan terdiri daripada 97 mahasiswa. Pada masa yang sama, UTM melaksanakan pelbagai program pembangunan bakat berkaitan AI, dengan 637 peserta daripada UTM, institusi luar, industri dan komuniti telah mengikuti latihan berkaitan AI sehingga November 2024.

Mahasiswa merupakan antara pihak yang paling terkesan oleh perkembangan AI. Pada 2025, UTM mempunyai 32,038 mahasiswa, sekali gus menunjukkan skala komuniti yang perlu disokong dalam proses transformasi digital ini. Dalam konteks pembelajaran, AI semakin digunakan sebagai alat sokongan untuk membantu mahasiswa mencari dan memahami maklumat, mendapatkan penerangan tentang konsep yang sukar, menghasilkan idea tugasan, menyediakan rangka penulisan, menyemak tatabahasa, menterjemah bahan pembelajaran serta menjalankan latihan kendiri.

Selain itu, AI boleh membantu mahasiswa menyediakan soalan latihan, merumuskan bahan bacaan dan memberikan maklum balas awal terhadap penulisan atau hasil kerja mereka. Penggunaan sedemikian berpotensi menyokong pembelajaran yang lebih fleksibel, khususnya apabila mahasiswa menggunakannya sebagai pelengkap kepada proses pembelajaran dan bukannya sebagai pengganti kepada usaha mereka sendiri.

Walau bagaimanapun, penggunaan AI perlu disertai pertimbangan kritikal. Mahasiswa tidak seharusnya menerima semua jawapan yang dihasilkan AI tanpa semakan kerana maklumat yang diberikan mungkin tidak tepat, berat sebelah atau tidak disokong sumber yang sah.

Pada masa yang sama, mereka perlu memahami batasan penggunaan AI, termasuk risiko kebergantungan, kebocoran data peribadi, plagiarisme dan pelanggaran integriti akademik. Oleh itu, mahasiswa perlu membangunkan literasi AI, pemikiran kritikal, kemahiran menilai sumber, kesedaran etika serta keupayaan menggunakan AI secara bertanggungjawab.

Dalam hal ini, AI sepatutnya menjadi alat yang memperkukuh pemahaman dan kreativiti mahasiswa, bukannya menggantikan usaha membaca, menganalisis, menyelesaikan masalah dan berfikir secara bebas. Penguasaan kemahiran tersebut juga penting bagi membantu mahasiswa menyesuaikan diri dengan keperluan dunia pekerjaan yang semakin dipengaruhi oleh teknologi digital dan AI.

Pada masa yang sama, AI tidak wajar dilihat semata-mata sebagai cabaran kepada pendidikan tinggi. Teknologi ini turut menyediakan peluang untuk memperkayakan pengalaman pembelajaran, meningkatkan produktiviti akademik dan memperluas akses kepada sumber pengetahuan.

Dalam tugasan akademik dan pengurusan universiti, AI berpotensi membantu mengautomatikkan tugasan rutin, mempercepatkan pemprosesan maklumat, menyokong analisis data dan membantu proses membuat keputusan. Dalam bidang akademik pula, teknologi ini boleh menyokong penyediaan bahan pembelajaran, pemberian maklum balas awal, penjanaan idea serta proses penyelidikan dan inovasi.

Selain itu, AI berupaya mengurangkan masa yang diperlukan untuk melaksanakan tugasan berulang, sekali gus membolehkan pensyarah dan mahasiswa menumpukan lebih banyak perhatian kepada aktiviti yang memerlukan pemikiran kritikal, kreativiti dan penyelesaian masalah yang kompleks. AI juga berpotensi menyokong pembelajaran yang lebih fleksibel dan diperibadikan mengikut keperluan serta tahap penguasaan mahasiswa.

Namun demikian, penggunaannya perlu dilaksanakan secara terkawal kerana teknologi ini turut membawa cabaran berkaitan ketepatan maklumat, privasi data, kebergantungan kepada teknologi, bias algoritma dan integriti akademik. Cabaran utama bukan semata-mata kewujudan AI, tetapi bagaimana universiti mengurus dan mengintegrasikannya secara berkesan dalam ekosistem pendidikan tinggi.

Penggunaan AI yang berkesan memerlukan keseimbangan antara teknologi, infrastruktur, dasar, kompetensi akademik, keselamatan data dan pembangunan mahasiswa. Universiti perlu memastikan AI digunakan sebagai alat untuk memperkasakan manusia, bukannya menggantikan pertimbangan profesional, interaksi manusia dan proses pembelajaran yang bermakna.

Dalam konteks tersebut, UTM mempunyai asas yang tersendiri dalam menghadapi perkembangan AI, khususnya melalui penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan, penyediaan akses kepada platform AI serta pelaksanaan program pembangunan bakat. Namun, transformasi AI tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan jumlah teknologi atau lesen yang disediakan.

Sebaliknya, keberkesanannya bergantung pada keupayaan universiti memastikan teknologi bergerak seiring dengan pembangunan akademik, pengurusan yang berkesan dan pembentukan mahasiswa yang kritikal, beretika serta bersedia menghadapi dunia pekerjaan masa hadapan.

Dalam era AI, cabaran pendidikan tinggi bukan sekadar bagaimana menggunakan teknologi tersebut, tetapi bagaimana memastikan penggunaannya menyokong tujuan pendidikan dan pembangunan manusia. Justeru, AI perlu diurus sebagai alat yang memperkukuh keupayaan manusia, sambil mengekalkan pertimbangan profesional, integriti akademik dan nilai kemanusiaan dalam pendidikan tinggi.

 

Oleh Sabrun Jamil Sakip dan Mohd Kamal Yusoff, Pusat Pengajian Ijazah dan Asasi (PPI), SPACE UTM

Explore More

UTM Open Day