📝 Ringkasan
Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dianggap sebagai laluan utama mobiliti sosial dan peningkatan taraf hidup masyarakat. TVET perlu dijenamakan semula melalui proses penjenamaan TVET secara tunggal dengan mengintegrasikan promosi TVET di bawah satu jenama kebangsaan. Penawaran gaji yang setimpal dengan tahap kemahiran dan kompetensi industri graduan TVET juga perlu diperkasa bagi meningkatkan daya tarikan bidang berkenaan sebagai laluan kerjaya dan mobiliti sosial.
Perubahan landskap ekonomi dan pasaran pekerjaan masa kini yang dipacu oleh teknologi, automasi serta keperluan industri berkemahiran tinggi menuntut negara menyediakan tenaga kerja yang bukan sahaja berpengetahuan, bahkan memiliki kemahiran teknikal yang relevan dan mampu menyesuaikan diri dengan perubahan industri.Â
Dalam konteks ini, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) perlu dilihat sebagai antara laluan utama mobiliti sosial dan peningkatan taraf hidup masyarakat, sejajar dengan keperluan negara melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi serta memastikan manfaat pembangunan ekonomi dapat dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat.
Pengarah UTM Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (UTM JS-SEZ) yang juga Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Ahmad Nabil Md. Nasir, berkata usaha mengubah persepsi masyarakat terhadap TVET perlu dimulakan melalui pengukuhan jenama, promosi yang lebih tersusun dari peringkat akar umbi serta penawaran kerjaya yang setimpal dengan tahap kemahiran dan kompetensi graduan.
Menurut beliau, TVET tidak lagi wajar dilihat sebagai pilihan kedua berbanding laluan pendidikan akademik, sebaliknya perlu diangkat sebagai salah satu pilihan utama dalam pembangunan kerjaya dan mobiliti sosial pekerja Malaysia.
“Bidang TVET perlu dijenamakan semula melalui proses penjenamaan TVET secara tunggal dengan mengintegrasikan promosi TVET di bawah satu jenama kebangsaan yang mempunyai logo, slogan dan garis panduan yang seragam bagi meningkatkan keterlihatan TVET dalam kalangan masyarakat umum,” ujarnya.
Beliau menambah, penawaran gaji yang setimpal dengan tahap kemahiran dan kompetensi industri graduan TVET juga perlu diperkasa bagi meningkatkan daya tarikan bidang berkenaan sebagai laluan kerjaya dan mobiliti sosial.
Dalam konteks pembangunan sosioekonomi, Dr. Ahmad Nabil berpandangan TVET berpotensi menjadi pemangkin kepada peluasan akses pendidikan dan peningkatan kebolehpasaran pekerjaan, khususnya dalam kalangan belia daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
Menurutnya, rangkaian lebih 1,300 institusi TVET di seluruh negara menyediakan peluang yang luas untuk merapatkan jurang geografi dan pendidikan, khususnya bagi belia luar bandar, golongan B40 serta kumpulan tertentu yang memerlukan laluan pendidikan dan latihan yang lebih bersesuaian, termasuk pelajar tahfiz dan masyarakat Orang Asli melalui agensi berkaitan seperti Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA).
Pendekatan latihan yang lebih berfokus menerusi program seperti Train and Place serta inisiatif peningkatan kemahiran dan latihan semula juga dapat membantu merapatkan jurang kebolehpasaran dan menghubungkan belia dengan keperluan sebenar dunia pekerjaan.
“Pendekatan ini membolehkan belia daripada keluarga berpendapatan rendah memperoleh peluang untuk memasuki pekerjaan yang bersesuaian dengan kemahiran mereka, sekali gus mengurangkan risiko pengangguran akibat ketidakpadanan antara kemahiran dengan keperluan pasaran pekerjaan,” jelasnya.
Menurut beliau, pengintegrasian elemen keusahawanan ke dalam kurikulum TVET turut penting bagi melahirkan usahawan teknikal atau technopreneur yang berdaya saing dan mampu menjana pendapatan sendiri.
Tambahnya, pendekatan berkenaan dapat memperluas peranan graduan TVET daripada sekadar pencari kerja kepada pencipta nilai ekonomi dan peluang pekerjaan, sekali gus berpotensi menyokong usaha memutuskan kitaran kemiskinan merentas generasi.
Seiring perkembangan Industri 4.0 dan kemunculan Industri 5.0 yang dipacu oleh automasi, kecerdasan buatan (AI) dan teknologi digital, Dr. Ahmad Nabil berpandangan ekosistem TVET juga perlu berubah daripada pendekatan konvensional yang tertumpu kepada kemahiran praktikal dan amali semata-mata.
Jelasnya, tenaga kerja TVET perlu dilengkapi dengan kemahiran teknikal serta digital, dan teknologi termaju seperti kecerdasan buatan (AI) serta automasi bagi memastikan kompetensi mereka terus relevan dengan perkembangan teknologi dan keperluan industri.
Walau bagaimanapun, beliau menegaskan penguasaan teknologi tinggi perlu diseimbangkan dengan nilai kemanusiaan dan kemahiran insaniah.
“Tidak lengkap jika penguasaan kemahiran teknologi tinggi tidak disertai dengan sentuhan nilai kemanusiaan. Penerapan nilai dan pengukuhan kemahiran insaniah seperti pemikiran kreatif, daya adaptasi, penyelesaian masalah kompleks serta pemupukan nilai integriti penting dalam membentuk graduan yang berdaya saing dan beretika di tempat kerja,” tegasnya.
Sebagai universiti berteraskan sains, kejuruteraan dan teknologi, UTM mempunyai kedudukan strategik untuk menyumbang kepada pemerkasaan TVET melalui pengajaran dan pembelajaran, penyelidikan dan inovasi serta kerjasama strategik dengan industri.
Dr. Ahmad Nabil menjelaskan bahawa Jabatan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Termaju, Fakulti Sains Pendidikan dan Teknologi, UTM telah lama menyumbang kepada pembangunan tenaga pengajar dan guru teknikal dalam bidang pendidikan Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik, pendidikan Kejuruteraan Mekanikal, pendidikan Kejuruteraan Awam serta pendidikan Reka Bentuk dan Teknologi sejak tahun 1990-an.
Menurut beliau, pembangunan tenaga pengajar melalui kurikulum yang mengintegrasikan teknologi termaju seperti AI, simulasi digital termasuk simulator dron, automasi dan pengalaman praktikal industri dapat memperkukuh persediaan tenaga pengajar serta graduan TVET menghadapi tuntutan keperluan dunia pekerjaan.
“Keperluan terhadap kemahiran sebenar dalam penggunaan mesin, bahan dan peralatan industri dapat direalisasikan melalui pembangunan makmal industri khusus seperti kilang pengajaran (Teaching Factory) di dalam kampus. Pendekatan ini membolehkan pemindahan teknologi dan kepakaran terkini berlaku secara lebih dekat dalam persekitaran pendidikan,” ujarnya.
Tambahnya, hubungan lebih rapat antara akademia dan industri dapat membantu mempercepatkan penguasaan kompetensi industri dalam kalangan pelajar serta meningkatkan kesediaan graduan untuk memasuki sektor pekerjaan berkemahiran tinggi.
Bersempena sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia yang bertemakan Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, Dr. Ahmad Nabil melihat pengukuhan TVET sebagai antara instrumen penting untuk memperluas kesaksamaan sosial melalui akses kepada pendidikan dan peluang pekerjaan yang berkualiti.
Beliau menjelaskan bahawa berdasarkan Dasar TVET Negara 2030, penyelarasan institusi TVET awam dan swasta merentas kementerian, pelaksanaan Sistem Jaminan Kualiti Tunggal (COPTPA) serta peluasan laluan artikulasi ke peringkat ijazah hingga PhD dapat menyediakan laluan pendidikan yang lebih terbuka kepada individu daripada pelbagai latar belakang sosioekonomi.
“Peluang mendapatkan latihan menerusi pendekatan sejak awal usia dan pembelajaran sepanjang hayat memastikan bakat individu dapat dinilai berdasarkan kompetensi sebenar, bukan semata-mata latar belakang keluarga,” ujarnya.
Menurut beliau, kesejahteraan ekonomi rakyat juga berkait rapat dengan sejauh mana graduan TVET dapat diterjemahkan kepada pekerjaan berkemahiran tinggi dengan pendapatan yang setimpal dengan kompetensi, bukannya bergantung kepada penawaran tenaga kerja berkemahiran rendah dan bergaji rendah.
Sehubungan itu, model kerjasama tiga pihak yang menghubungkan institusi pendidikan dengan Industri Pertumbuhan Tinggi dan Bernilai Tinggi (High-Growth, High-Value atau HGHV), termasuk bidang ekonomi hijau serta sektor elektrik dan elektronik bernilai tinggi, boleh membantu merapatkan jurang ketidakpadanan kemahiran dan menyokong usaha ke arah penandaarasan gaji yang lebih adil.
“Pengukuhan ekosistem TVET bukan sahaja berpotensi mengubah persepsi masyarakat terhadap pendidikan vokasional, malah dapat menyokong usaha meningkatkan taraf sosioekonomi isi rumah B40 dan M40 serta memacu pertumbuhan ekonomi negara yang lebih inklusif dan mampan,” katanya.
Dalam usaha merealisasikan aspirasi Malaysia MADANI, TVET berpotensi menjadi jambatan yang menghubungkan pendidikan, kemahiran, pekerjaan dan mobiliti sosial, sekali gus membantu memastikan kemajuan ekonomi negara diterjemahkan kepada kesejahteraan yang dapat dinikmati secara lebih meluas oleh rakyat.