TNCHEPA UTM: Perkasa alumni sebagai aset strategik Universiti

SDGSDG4SDG8SDG9SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkasa alumni sebagai aset strategik universiti menerusi penubuhan Jawatankuasa Perhubungan Alumni Universiti (JKPAU) yang julung kali diwujudkan. Inisiatif ini memberi tumpuan kepada pendekatan berasaskan data, pembangunan pelajar dan start-up, pengukuhan kerjasama bersama Persatuan Alumni UTM, penjenamaan dan keterlihatan alumni, perkhidmatan nilai tambah serta penglibatan global, selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030.

JOHOR BAHRU, 2 Sep – “Alumni perlu diperkasakan sebagai aset strategik Universiti Teknologi Malaysia (UTM)”, dengan kekuatan jaringan, kepakaran, pengalaman dan pengaruh mereka diterjemahkan kepada pembangunan pelajar, kerjasama industri, keusahawanan, pengantarabangsaan serta pengukuhan reputasi universiti.

Demikian antara penekanan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Mohd Shahrizal Sunar, ketika mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Perhubungan Alumni Universiti (JKPAU) Bil. 1/2026, hari ini.

Mesyuarat tersebut merupakan mesyuarat pertama JKPAU, sebuah jawatankuasa yang julung kali diwujudkan di UTM bagi memperkasa dan menyelaras agenda hubungan alumni secara menyeluruh di peringkat universiti.

Menurut Prof. Dr. Mohd Shahrizal, penubuhan JKPAU mencerminkan kepentingan strategik hubungan alumni kepada universiti dan keperluan untuk agenda tersebut digerakkan secara bersama oleh seluruh ekosistem UTM.

“Alumni ialah aset strategik universiti, dan hubungan alumni adalah tanggungjawab bersama seluruh UTM.”

Kekuatan lebih 257,000 alumni

Dengan 257,881 alumni termasuk 14,468 alumni global yang berasal dari lebih 100 negara, UTM mempunyai jaringan bakat, kepakaran, pengalaman dan pengaruh yang besar untuk dimanfaatkan secara lebih strategik.

Justeru, fokus universiti bukan sekadar mengetahui jumlah alumni, tetapi memahami siapa mereka, di mana mereka berada, bidang kepakaran dan kedudukan profesional mereka serta bagaimana jaringan tersebut boleh dihubungkan kembali dengan universiti.

Prof. Dr. Mohd Shahrizal turut menekankan bahawa hubungan alumni tidak boleh dilihat sebagai tanggungjawab Pusat UTMAlumni semata-mata.

Fakulti mempunyai hubungan yang rapat dengan alumni melalui bidang pengajian, pensyarah, profesion dan industri, manakala Pusat Tanggungjawab (PTJ) berkaitan turut mempunyai peranan dalam pembangunan kerjaya, jaringan industri, komunikasi, penyelidikan, keusahawanan dan pembangunan pelajar.

Alumni sebagai rakan pembangunan pelajar

Antara aspirasi yang diberikan penekanan ialah untuk melihat penglibatan alumni diperkasakan secara lebih signifikan dalam pembangunan pelajar UTM. Kepakaran dan pengalaman alumni boleh dimanfaatkan melalui pementoran, perkongsian industri, pembangunan kerjaya, latihan industri, peluang pekerjaan serta pendedahan kepada dunia profesional dan keusahawanan.

Prof. Dr. Mohd Shahrizal turut mahu melihat jaringan alumni memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan syarikat pemula (start-up) pelajar UTM, termasuk sebagai mentor, penasihat, rakan industri dan penghubung kepada jaringan perniagaan serta ekosistem keusahawanan.

Pendekatan tersebut membolehkan hubungan alumni berkembang daripada penyertaan dalam program kepada perkongsian strategik yang menghasilkan impak secara langsung kepada generasi UTM seterusnya.

Perkukuh kerjasama bersama Persatuan Alumni UTM

Hubungan strategik universiti dengan Persatuan Alumni UTM turut perlu terus diperkasakan, khususnya melalui jaringan dan cawangan alumni di peringkat negeri.

Pengukuhan jaringan ini boleh memperluas capaian universiti kepada komuniti alumni di seluruh negara, di samping membuka lebih banyak ruang untuk alumni terlibat dalam pembangunan mahasiswa, jaringan profesional, kerjasama industri, program kemasyarakatan serta agenda strategik universiti.

Kerjasama antara universiti, Persatuan Alumni UTM, fakulti dan PTJ perlu digerakkan berasaskan prinsip kerjasama menang-menang (win-win collaboration), dengan setiap pihak membawa kekuatan dan jaringan masing-masing untuk manfaat bersama.

Hubungan alumni yang lebih “data-driven”

Sementara itu, Pengarah Pusat UTMAlumni, Prof. Madya Dr. Che Rozid Mamat, yang memulakan tugas pada 1 Ogos 2026, membentangkan hala tuju strategik hubungan alumni selaras dengan aspirasi universiti.

Antara fokus utama ialah memperkukuh pendekatan hubungan alumni yang lebih berasaskan data (data-driven), dengan ALIS diperkasa sebagai sumber utama data alumni UTM.

Data alumni tidak seharusnya digunakan untuk tujuan pelaporan semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada alumni intelligence yang membolehkan universiti dan fakulti mengenal pasti kepakaran, kedudukan profesional, jaringan dan potensi alumni dengan lebih berkesan.

Data LinkedIn, misalnya, telah mengenal pasti 76,585 profesional alumni UTM di Malaysia, termasuk 577 alumni di peringkat C-Suite.

Jaringan ini mempunyai potensi besar untuk diterjemahkan kepada peluang pekerjaan dan latihan industri, pementoran, kerjasama industri dan penyelidikan, pembangunan start-up, pelantikan profesional dan akademik, filantropi serta pengukuhan reputasi UTM.

Perkukuh penjenamaan dan keterlihatan alumni

Usaha penjenamaan dan keterlihatan (branding and visibility) alumni UTM turut akan diperkasakan secara lebih tersusun di peringkat universiti dan fakulti.

Kejayaan alumni dalam sektor korporat, industri, akademia, perkhidmatan awam, keusahawanan, teknologi dan pelbagai bidang profesional perlu dikenal pasti serta diketengahkan sebagai sebahagian daripada naratif kecemerlangan dan impak UTM.

Usaha ini memerlukan kerjasama Pusat UTMAlumni, fakulti serta PTJ berkaitan untuk mengenal pasti alumni berimpak tinggi dan memperluas penceritaan kejayaan mereka menerusi platform komunikasi universiti, media, program fakulti serta jaringan profesional.

Keterlihatan alumni bukan sahaja memberi pengiktirafan kepada pencapaian mereka, malah memperlihatkan kepada masyarakat, industri dan komuniti global impak graduan yang dihasilkan oleh UTM, sekali gus menyumbang kepada pengukuhan jenama dan reputasi universiti.

Memberi nilai kembali kepada alumni

Dalam membangunkan hubungan sepanjang hayat, UTM juga perlu memastikan hubungan alumni tidak bersifat sehala. Universiti perlu menawarkan perkhidmatan nilai tambah (value-added services) kepada alumni, termasuk peluang jaringan profesional, pembelajaran sepanjang hayat, pembangunan kerjaya, perkongsian kepakaran serta akses kepada peluang kolaborasi dengan universiti.

Alumni boleh menyumbang bukan sahaja dalam bentuk kewangan, tetapi juga melalui masa, kepakaran, jaringan, peluang dan pengaruh. Pada masa yang sama, universiti perlu terus kekal relevan kepada alumni sepanjang perkembangan kerjaya dan kehidupan profesional mereka.

Pendekatan ini menjadi asas kepada pembinaan hubungan sepanjang hayat dan kerjasama menang-menang antara UTM dan komuniti alumninya.

Memperluas “global engagement”

Dengan alumni UTM yang berasal dari lebih 100 negara, penglibatan global (global engagement) turut menjadi antara agenda yang akan diperkasakan.

Jaringan alumni antarabangsa boleh berperanan sebagai penghubung UTM kepada universiti, industri, komuniti profesional dan rakan strategik di seluruh dunia, selain membantu meningkatkan keterlihatan dan pengaruh UTM pada peringkat antarabangsa.

Keseluruhan agenda hubungan alumni tersebut akan diselaraskan dengan aspirasi UTM ASCEND 2030, khususnya dalam menyokong kebolehpasaran graduan, Employer Reputation, Employment Outcomes, kerjasama industri, pengantarabangsaan dan pengukuhan reputasi global universiti.

Pada mesyuarat berkenaan, Prof. Dr. Mohd Shahrizal turut menyampaikan watikah pelantikan Duta Fakulti, yang akan berperanan sebagai penghubung dalam memperkukuh jaringan, keterlihatan dan penglibatan alumni di peringkat fakulti.

Penubuhan JKPAU menandakan langkah penting UTM dalam membangunkan ekosistem hubungan alumni yang lebih tersusun, berasaskan data, bernilai tambah, saling menguntungkan, berorientasikan impak dan mempunyai jangkauan global.

Dengan kekuatan lebih 257,000 alumni, agenda seterusnya adalah untuk memastikan jaringan besar tersebut diterjemahkan kepada peluang, impak dan nilai sebenar kepada mahasiswa, alumni serta kemajuan UTM.

“Alumni ialah aset strategik universiti, dan hubungan alumni adalah tanggungjawab bersama seluruh UTM.” – Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr Mohd Shahrizal Sunar
Ahli Jawatankuasa Perhubungan Alumni Universiti Sesi 2026/2027 yang terdiri dari Duta Fakulti dan PTJ berkaitan
Antara Duta Fakulti yang menerima watikah pelantikan dari Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) dan Pengarah UTMAlumni

Explore More

UTM Open Day