Teknologi pengawal mikro buka peluang penjimatan tenaga di SK Kangkar Pulai

SDGSDG4SDG7SDG9

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah memperkenalkan aplikasi pengaturcaraan dan automasi pintar bagi menyokong usaha penjimatan tenaga elektrik di Sekolah Kebangsaan Kangkar Pulai. Program ini merangkumi dua pengisian utama, iaitu “Sentuhan Kod yang Mencipta Inovasi” dan “Teori dan Demonstrasi Pemasangan untuk Aplikasi Eco-Smart Toilet”. Program ini membantu murid memahami fungsi penderia, pengawal mikro dan LED, serta membina dan menguji sendiri sistem yang dihasilkan.

JOHOR BAHRU, 30 Sept. – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) memperkenalkan aplikasi pengaturcaraan dan automasi pintar bagi menyokong usaha penjimatan tenaga elektrik di sekolah menerusi Program Pemindahan Ilmu (KTP) bertemakan Eco-Smart Toilet di Sekolah Kebangsaan (SK) Kangkar Pulai.

Program anjuran Fakulti Kejuruteraan Elektrik (FKE), UTM itu merangkumi dua pengisian utama, iaitu “Sentuhan Kod yang Mencipta Inovasi” yang diketuai Dr. Noor Syazwani Mansor dengan penyertaan 34 murid, serta “Teori dan Demonstrasi Pemasangan untuk Aplikasi Eco-Smart Toilet” yang dikendalikan Dr. Razman Ayop untuk enam guru sekolah berkenaan.

Dr. Noor Syazwani Mansor memperkenalkan asas pengaturcaraan kepada murid SK Kangkar Pulai

Program tersebut turut dibantu oleh pensyarah FKE, Dr. Nur Faizal Kasri, Dr. Siti Mahfuza Saimon dan Dr. Nur Aqilah Mohamad sebagai fasilitator.

Menerusi pengisian pertama, murid diperkenalkan kepada asas elektronik dan pengaturcaraan menggunakan komponen seperti pengawal mikro Arduino Uno, penderia pergerakan inframerah pasif (PIR), lampu diod pemancar cahaya (LED), papan litar uji (breadboard) dan wayar penyambung. Dengan bimbingan Dr. Noor Syazwani, mereka menggunakan perisian mBlock untuk membangunkan prototaip sistem lampu automatik yang menyala apabila pergerakan dikesan.

Aktiviti amali itu membantu murid memahami fungsi penderia sebagai input, pengawal mikro sebagai unit pemprosesan dan LED sebagai output. Selain mempelajari konsep secara teori, mereka berpeluang membina dan menguji sendiri sistem yang dihasilkan, sekali gus memperoleh pendedahan awal kepada aplikasi teknologi automasi.

Dr. Razman Ayop menerangkan perbezaan antara sistem peranti pintar dengan sistem pendawaian terus

Sementara itu, pengisian kedua memberi tumpuan kepada penggunaan penderia pergerakan dalam sistem Eco-Smart Toilet bagi membantu mengurangkan pembaziran elektrik, khususnya apabila lampu dan kipas dibiarkan terpasang selepas digunakan.

Dr. Razman Ayop menerangkan dua pendekatan pemasangan, iaitu sistem peranti pintar yang menggabungkan penderia, hab dan suis pintar serta membolehkan pemantauan dan kawalan melalui telefon pintar, dan sistem pendawaian terus yang menghubungkan penderia pergerakan kepada bekalan elektrik 230V.

Dr. Nur Aqilah Mohamad membimbing peserta memahami kaedah pemasangan litar bagi aplikasi automasi

Berbeza daripada sistem peranti pintar, sistem pendawaian terus tidak menyediakan fungsi kawalan melalui telefon pintar serta tidak bergantung pada sambungan internet atau bateri, bergantung pada konfigurasi peranti yang digunakan.

Melalui penerangan dan demonstrasi, guru berpeluang memahami perbezaan dari segi operasi, komponen, kos dan kaedah pemasangan bagi kedua-dua pendekatan tersebut. Pendedahan ini dapat membantu pihak sekolah menilai kesesuaian penggunaan penderia pergerakan di lokasi seperti tandas dan koridor, dengan mengambil kira keperluan fasiliti serta aspek keselamatan pemasangan elektrik.

Dr. Nur Faizal Kasri mendapatkan maklum balas peserta mengenai pelaksanaan program pemindahan ilmu

Dari sudut pendidikan, program ini turut menyokong pembelajaran sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) melalui contoh aplikasi yang dekat dengan kehidupan seharian murid. Pendedahan kepada pengaturcaraan, penderia dan automasi berpotensi meningkatkan minat terhadap teknologi serta memupuk kesedaran tentang penggunaan tenaga secara berhemah.

Program ini mendapat tajaan Yayasan Penyayang Iskandar Puteri (YPIP) dan dilaksanakan dengan kerjasama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Melayu Kangkar Pulai. Kerjasama antara UTM, pihak sekolah dan komuniti setempat ini memperluas perkongsian ilmu dalam bidang teknologi pintar, pendidikan STEM dan penjimatan tenaga.

Explore More

UTM Open Day