Kampus sejahtera bentuk mahasiswa berdaya tahan

SDGSDG3SDG4SDG8

📝 Ringkasan

Kampus yang sejahtera dapat membantu mahasiswa berkembang secara menyeluruh sebagai insan yang seimbang dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan. Kesejahteraan mental mahasiswa semakin penting dalam mendepani tuntutan kehidupan yang kompleks. Institusi pendidikan tinggi perlu membina ekosistem kampus yang menyokong kesejahteraan secara menyeluruh, meliputi aspek akademik, psikologi dan sosial.

Kesejahteraan mental golongan muda, khususnya mahasiswa, semakin penting dalam mendepani tuntutan kehidupan yang kian kompleks, termasuk tekanan akademik, ketidakpastian masa depan, pengaruh rakan sebaya, media sosial serta cabaran mengurus emosi dan membina daya tindak yang sihat.

Dalam konteks mahasiswa, cabaran berkenaan turut dipengaruhi oleh perubahan fasa kehidupan, isu kewangan, hubungan interpersonal dan tuntutan untuk mencapai kecemerlangan dalam akademik serta mengimbangi kehidupan kampus.

Menurut Dr. Nik Rafidah Nik Yusoff, Menjalankan Tugas Pengarah, Pusat Perkhidmatan Psikologi dan Kaunseling Universiti Teknologi Malaysia (UTM), cabaran berkenaan sekiranya tidak ditangani dengan baik berpotensi menjejaskan kesejahteraan mental mahasiswa, prestasi akademik dan sokongan sosial, sekali gus memberi kesan terhadap keupayaan mereka meneruskan pengajian dengan baik.

Sehubungan itu, institusi pendidikan tinggi mempunyai peranan penting bukan sahaja dalam menyediakan pendidikan akademik, tetapi turut membentuk persekitaran yang menyokong kesejahteraan psikologi mahasiswa.

Beliau berkata, usaha berkenaan perlu merangkumi program pencegahan, intervensi awal, perkhidmatan psikologi dan kaunseling yang mudah diakses, pendidikan literasi kesihatan mental serta pembangunan kemahiran daya tindak.

“Pendekatan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati kerana masyarakat yang sejahtera bermula daripada generasi muda yang sihat dari segi emosi, mental dan sosial,” katanya.

Dalam usaha menangani cabaran kesejahteraan mental mahasiswa, pendekatan yang hanya memberi tumpuan kepada masalah selepas ia berlaku perlu diperluas kepada pendekatan yang lebih proaktif, menyeluruh dan berasaskan pencegahan.

Dr. Nik Rafidah menjelaskan bahawa masalah psikologi tidak semestinya muncul secara tiba-tiba, sebaliknya boleh bermula dengan tanda awal seperti tekanan berpanjangan, perubahan emosi, kecenderungan mengasingkan diri atau kemerosotan fungsi akademik.

Oleh itu, pencegahan dan pengesanan awal penting bagi membolehkan bantuan diberikan sebelum sesuatu masalah menjadi lebih serius.

Pada masa yang sama, sokongan psikososial dan pembangunan daya tahan diri perlu diberi perhatian bagi membantu mahasiswa membina kemahiran mengurus tekanan, menyelesaikan masalah dan menyesuaikan diri dengan cabaran kehidupan.

Menurut beliau, usaha pencegahan boleh diperkukuh melalui kempen kesedaran berkaitan penjagaan kesihatan mental, penyertaan dalam program kesihatan mental serta pewujudan sistem sokongan sosial yang baik dalam komuniti kampus.

“Pendekatan ini bukan sekadar mengurangkan risiko masalah kesihatan mental, tetapi membentuk mahasiswa yang lebih sejahtera, berdaya tahan dan mampu berkembang secara holistik,” ujarnya.

Bagi memastikan usaha berkenaan dapat dilaksanakan secara berkesan, kesejahteraan mahasiswa perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama seluruh warga kampus dan tidak hanya tertumpu kepada perkhidmatan psikologi dan kaunseling.

Dr. Nik Rafidah berkata, institusi pendidikan tinggi perlu membina ekosistem kampus yang menyokong kesejahteraan secara menyeluruh, meliputi aspek akademik, psikologi dan sosial.

Selain memperkukuh perkhidmatan psikologi dan kaunseling serta program pencegahan dan pengesanan awal, literasi kesihatan mental dalam kalangan mahasiswa juga perlu terus dipertingkat.

Pada masa yang sama, mahasiswa perlu diberikan ruang untuk membina hubungan sosial yang sihat menerusi aktiviti kesukarelawanan, persatuan, program rakan sebaya dan komuniti kampus yang inklusif.

Aktiviti sedemikian dapat menyediakan ruang kepada mahasiswa untuk membina jaringan sosial serta mendapatkan sokongan ketika berdepan cabaran sepanjang tempoh pengajian.

Dalam masa yang sama, kemahiran pengurusan emosi, penyelesaian masalah, komunikasi dan daya tahan diri perlu diterapkan sebagai sebahagian daripada pembangunan mahasiswa.

“Yang penting, kesejahteraan perlu menjadi tanggungjawab bersama seluruh warga kampus. Apabila persekitaran akademik, sosial dan psikologi saling menyokong, mahasiswa bukan sahaja mampu mencapai kecemerlangan akademik, tetapi juga berkembang sebagai individu yang seimbang, berdaya tahan dan bersedia menghadapi cabaran kehidupan,” tambahnya lagi.

Dalam konteks UTM, usaha memperkukuh kesejahteraan mental mahasiswa boleh terus diperkasakan dengan menjadikannya sebahagian daripada agenda dan budaya kampus, bukan sekadar tanggungjawab unit atau perkhidmatan tertentu.

Dr. Nik Rafidah berpandangan UTM telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan usaha bagi meningkatkan kesejahteraan mental dalam kalangan warga universiti. Namun, pada masa yang sama, komuniti kampus perlu terus diperkasa bagi memainkan peranan sebagai sistem sokongan yang peka terhadap kesejahteraan mahasiswa.

Menurutnya lagi, peranan pensyarah, penasihat akademik, kolej kediaman, pemimpin mahasiswa dan rakan sebaya amat penting dalam membentuk persekitaran yang lebih prihatin terhadap keperluan psikologi mahasiswa.

“Pendidikan kesedaran dan literasi kesihatan mental juga perlu diintegrasikan dalam pengalaman mahasiswa, manakala persekitaran pembelajaran perlu lebih prihatin, fleksibel dan menyokong,” katanya.

Pendekatan berkenaan memerlukan kesejahteraan mental diterapkan sebagai budaya dan nilai kampus yang disokong melalui kepimpinan, dasar, program serta amalan harian seluruh warga universiti.

Dengan ekosistem yang saling menyokong, UTM bukan sahaja dapat membantu melahirkan graduan yang kompeten, tetapi turut menyokong pembentukan insan yang seimbang, berdaya tahan dan sejahtera.

Kesejahteraan mental juga tidak boleh dipisahkan daripada agenda pembangunan modal insan negara. Dalam kerangka Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, pembangunan negara bukan sahaja berkaitan pencapaian ekonomi dan akademik, tetapi turut merangkumi kesejahteraan psikologi rakyat.

Dr. Nik Rafidah berkata, individu yang sihat dari segi mental lebih berupaya untuk belajar, membuat keputusan, membina hubungan yang positif, mengurus tekanan dan menyumbang secara produktif kepada masyarakat.

Oleh itu, usaha membina mahasiswa yang mempunyai daya tahan, kemahiran mengurus emosi, pemikiran positif dan keupayaan menghadapi cabaran merupakan satu bentuk pelaburan jangka panjang kepada negara.

“Mahasiswa hari ini ialah tenaga kerja, pemimpin dan pembentuk masyarakat pada masa hadapan,” katanya.

Justeru, mahasiswa yang dibangunkan dalam persekitaran yang menyokong kesejahteraan mental bukan sahaja berpeluang mencapai kecemerlangan akademik, malah lebih bersedia menghadapi ketidaktentuan dan perubahan dalam dunia pekerjaan.

Keupayaan menyesuaikan diri, mengurus tekanan dan menghadapi cabaran secara sihat juga dapat membantu mereka membina daya tahan yang diperlukan dalam kehidupan serta kerjaya.

Pada akhirnya, usaha memperkukuh kesejahteraan mental mahasiswa bukan sekadar berkaitan menangani masalah psikologi dalam lingkungan kampus, tetapi merupakan sebahagian daripada usaha membentuk generasi yang mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Sehubungan itu, pendekatan yang menggabungkan pencegahan, pengesanan awal, sokongan psikososial, literasi kesihatan mental, pembangunan daya tahan serta penglibatan seluruh komuniti kampus perlu terus diperkukuh.

Dalam konteks Malaysia MADANI: Kesejahteraan Dinikmati, mahasiswa yang sihat dari segi mental dan berdaya tahan merupakan antara asas penting kepada pembentukan generasi Malaysia yang lebih harmoni, produktif dan sejahtera.

Kampus yang sejahtera bukan hanya menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, tetapi turut membina ekosistem yang membolehkan mahasiswa berkembang secara menyeluruh sebagai insan yang seimbang dan bersedia menghadapi cabaran masa hadapan.

Explore More

UTM Open Day