📝 Ringkasan
Pendekatan pembelajaran kelas berbalik atau flipped classroom telah digunakan di institusi pendidikan tinggi untuk meningkatkan keberkesanan proses pembelajaran. Pendekatan ini melibatkan pelajar mempelajari kandungan asas melalui video kuliah, nota kuliah digital atau bahan bacaan sebelum menghadiri sesi kuliah. Semasa kuliah, masa pembelajaran digunakan untuk aktiviti yang lebih berfokus kepada pelajar seperti perbincangan, penyelesaian masalah dan bimbingan daripada pensyarah. Pendekatan ini dapat meningkatkan kemandirian pelajar, penglibatan pelajar dan kemahiran komunikasi, kerjasama serta pemikiran kreatif dan kritis.
Pernahkah anda mempelajari sesuatu melalui video atau nota digital sebelum menghadiri kuliah? Situasi tersebut merupakan antara gambaran pendekatan flipped classroom atau pembelajaran kelas berbalik, iaitu pendekatan yang menggabungkan teknologi digital dengan aktiviti pembelajaran yang berpusatkan pelajar.
Pendekatan pembelajaran di institusi pendidikan tinggi mengalami perubahan ketara sejajar dengan perkembangan pendidikan dalam era digital. Peranan pensyarah sebagai penyampai ilmu turut berubah seiring dengan perkembangan teknologi maklumat dan komunikasi, termasuk penggunaan platform pembelajaran dalam talian serta sumber digital yang semakin mudah diakses.
Seiring dengan perubahan tersebut, pendekatan flipped classroom merupakan antara inovasi dalam pengajaran dan pembelajaran yang berpotensi menyokong keberkesanan proses pembelajaran di peringkat pendidikan tinggi. Pendekatan ini mengubah urutan pembelajaran tradisional dengan memberikan peluang kepada pelajar mempelajari kandungan asas terlebih dahulu sebelum menghadiri sesi kuliah.
Melalui flipped classroom, pelajar mempelajari kandungan atau konsep asas melalui video kuliah, nota kuliah digital atau bahan bacaan yang disediakan oleh pensyarah sebelum sesi pembelajaran bermula. Semasa sesi kuliah pula, masa pembelajaran digunakan untuk aktiviti yang lebih berfokus kepada pelajar seperti perbincangan, penyelesaian masalah dan bimbingan daripada pensyarah.
Pendekatan ini berbeza daripada pembelajaran tradisional yang lazimnya menempatkan penyampaian isi kandungan oleh pensyarah sebagai aktiviti utama semasa kuliah, manakala pelajar menyelesaikan tugasan atau mengulang kaji selepas waktu kuliah. Dalam flipped classroom, urutan tersebut diterbalikkan apabila pembelajaran asas dilakukan terlebih dahulu secara kendiri, manakala masa bersemuka dimanfaatkan untuk aktiviti yang memerlukan penglibatan dan interaksi yang lebih aktif.
Perkembangan teknologi digital dalam pendidikan pula menjadi antara pemangkin kepada usaha mencapai pendidikan yang berkualiti, kreatif dan inovatif. Dalam konteks ini, pendekatan flipped classroom dapat memberikan ruang kepada pelajar membina kemahiran aras tinggi, meningkatkan penglibatan secara aktif serta menggalakkan pemikiran kritis.
Melalui bahan digital yang disediakan oleh pensyarah di platform pembelajaran atau e-pembelajaran, pelajar boleh memulakan proses pembelajaran kendiri sebelum kuliah bermula. Keadaan ini membolehkan pelajar tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada penerangan pensyarah semasa kuliah, sebaliknya mempunyai peluang untuk mempelajari dan memahami kandungan pembelajaran terlebih dahulu mengikut keperluan serta kadar pembelajaran masing-masing.
Fleksibiliti tersebut juga membolehkan pelajar mengakses bahan pembelajaran pada waktu dan tempat yang sesuai. Mereka boleh mengulang tayang video, membaca semula nota atau meneliti bahan tertentu mengikut tahap kefahaman sendiri. Keadaan ini dapat membantu pelajar membina kefahaman yang lebih baik sebelum menghadiri sesi pembelajaran bersemuka.
Selain memberikan fleksibiliti, pendekatan flipped classroom turut menggalakkan pembelajaran berpusatkan pelajar. Menurut laporan terdahulu, pembelajaran menerusi pendekatan ini dapat meningkatkan kemandirian pelajar berbanding pembelajaran tradisional. Hal ini menunjukkan bahawa flipped classroom bukan sahaja dapat meningkatkan penglibatan pelajar, malah berpotensi membentuk sikap yang lebih bertanggungjawab terhadap pembelajaran sendiri.
Berdasarkan penelitian kajian terdahulu, penglibatan pelajar dilaporkan meningkat sebanyak 35 peratus kerana mereka lebih bersedia sebelum kuliah bermula dan lebih aktif mengambil bahagian dalam perbincangan semasa sesi pembelajaran. Dalam masa yang sama, pensyarah mempunyai lebih banyak peluang untuk memberikan maklum balas secara langsung kepada pelajar serta membantu mereka memahami dan menangani kesukaran pembelajaran dengan lebih berkesan.
Penglibatan aktif tersebut secara tidak langsung dapat menyokong perkembangan pelbagai kemahiran dalam kalangan pelajar, termasuk kemahiran komunikasi, kerjasama serta pemikiran kreatif dan kritis. Dengan demikian, masa kuliah tidak hanya digunakan untuk penyampaian kandungan, tetapi turut dimanfaatkan bagi membolehkan pelajar mengaplikasikan pengetahuan melalui aktiviti yang lebih interaktif.
Di samping itu, pelaksanaan flipped classroom memerlukan penggunaan teknologi digital sebagai salah satu elemen penting. Pelbagai platform pembelajaran dalam era digital membolehkan bahan pembelajaran diakses pada bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, antaranya Google Classroom, Moodle, Microsoft Teams dan YouTube.
Platform berkenaan memberikan peluang kepada pelajar untuk mengulang kaji bahan pembelajaran mengikut keperluan dan tahap kefahaman masing-masing. Pada masa yang sama, pensyarah dapat memantau perkembangan pembelajaran pelajar melalui tugasan, kuiz dalam talian dan data pembelajaran yang disediakan oleh sesetengah platform digital.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan flipped classroom turut berdepan dengan beberapa cabaran. Pendekatan ini memerlukan persediaan yang rapi supaya dapat dilaksanakan secara berkesan dan memberikan manfaat kepada pelajar. Antaranya termasuk masa yang diperlukan oleh pensyarah untuk menyediakan bahan pembelajaran berkualiti tinggi, tahap kesediaan pelajar untuk belajar secara kendiri serta kekangan dari segi capaian internet dan ketersediaan peranti digital.
Pelajar juga boleh menghadapi kesukaran untuk mencapai matlamat pembelajaran sekiranya mereka tidak membuat persediaan sebelum menghadiri kuliah. Oleh itu, keberkesanan pendekatan ini bukan sahaja bergantung pada bahan dan teknologi yang digunakan, tetapi juga pada kesediaan serta komitmen pelajar untuk melaksanakan pembelajaran kendiri sebelum sesi bersemuka.
Sehubungan itu, sokongan daripada institusi pendidikan amat penting bagi memastikan pelaksanaan flipped classroom dapat dilakukan secara terancang. Sokongan tersebut termasuk penyediaan infrastruktur digital yang bersesuaian, latihan profesional kepada pensyarah serta pembangunan bahan pembelajaran berkualiti tinggi. Usaha ini dapat membantu pensyarah menyesuaikan kaedah pengajaran dengan keperluan pembelajaran digital, di samping memastikan pelajar memperoleh akses yang sewajarnya kepada sumber pembelajaran.
Secara keseluruhannya, flipped classroom merupakan pendekatan pembelajaran yang sesuai dan relevan dengan perkembangan pendidikan dalam era digital. Pendekatan ini memanfaatkan teknologi digital untuk menyediakan pengalaman pembelajaran yang lebih fleksibel, di samping menggalakkan pelajar menjadi lebih berdikari, kreatif dan celik digital.
Walaupun masih terdapat beberapa cabaran dalam pelaksanaannya, pendekatan flipped classroom berpotensi memberikan manfaat kepada pensyarah dan pelajar sekiranya dirancang serta dilaksanakan secara sistematik. Oleh itu, institusi pendidikan dan pensyarah perlu mempertimbangkan penggunaan pendekatan ini sebagai salah satu kaedah pengajaran yang dapat menyokong pembelajaran aktif serta membantu pelajar membina kemahiran yang diperlukan untuk menghadapi perkembangan dunia digital dan tuntutan pendidikan pada masa hadapan.
Oleh Nurul Duratulain Ramlan, Nurul Syuhada Samsudin dan Nur Hazirah Mohd Bahkri