Dari kampus ke industri, GuardExpert Pro pacu pengurusan keselamatan melalui inovasi pintar

SDGSDG4SDG9SDG16

📝 Ringkasan

Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr. Mohd Adib Sarijari, bersama pasukan penyelidiknya telah membangunkan GuardExpert Pro (GEP), sebuah sistem pengurusan rondaan pintar yang menggabungkan teknologi Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan komunikasi digital bagi membantu memperkukuh pengurusan keselamatan secara lebih cekap, bersepadu dan responsif. Sistem ini membolehkan penyelia memantau pelaksanaan rondaan dengan lebih berkesan tanpa perlu menunggu laporan diserahkan selepas sesuatu syif berakhir.

Dalam kepekatan malam, seorang pengawal keselamatan mengayuh basikal sejauh hampir dua kilometer untuk melaporkan kejadian tumpahan minyak di kawasan operasi. Dalam situasi lain, laluan yang sama perlu dilalui bagi memaklumkan kejadian pencerobohan atau insiden kecemasan apabila frekuensi walkie-talkie menghadapi gangguan sehingga maklumat tidak dapat disampaikan dengan segera.

Walaupun kelihatan seperti rutin biasa, setiap minit yang diambil untuk menyampaikan maklumat boleh memberi kesan kepada kelancaran operasi dan keselamatan di lapangan. Dalam persekitaran yang menuntut tindakan pantas, kelewatan menerima maklumat bukan sahaja menyukarkan penyelarasan operasi, malah boleh meningkatkan risiko terhadap anggota yang sedang bertugas.

Situasi sedemikian menunjukkan pengurusan rondaan keselamatan masih bergantung kepada kaedah konvensional yang memerlukan anggota bergerak dari satu lokasi ke lokasi yang lain untuk melaporkan sesuatu kejadian. Kebergantungan kepada komunikasi suara dan rekod manual pula menjadikan pemantauan lebih mencabar, khususnya di kawasan operasi yang luas dan kompleks.

Bagi Pensyarah Kanan Fakulti Kejuruteraan Elektrik, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) yang juga pasukan penyelidik bagi GuardExpert Pro (GEP), Dr. Mohd Adib Sarijari, cabaran tersebut membuka ruang untuk menilai semula bagaimana teknologi boleh dimanfaatkan bagi menyokong tugas anggota keselamatan di lapangan.

Dr. Mohd Adib Sarijari bersama salah seorang pasukan penyelidik yang berjaya membangunkan GuardExpert Pro bagi memperkasa pengurusan rondaan keselamatan menerusi teknologi digital dan kecerdasan buatan

Beliau bersama pasukan penyelidik memulakan usaha membangunkan GuardExpert Pro pada tahun 2017 menerusi penyelidikan yang dijalankan di Telecommunication Software and System (TeSS), sebuah pusat kecemerlangan penyelidikan UTM yang memberi tumpuan kepada pembangunan teknologi komunikasi dan sistem pintar.

Namun, objektif penyelidikan tersebut tidak terhad kepada menghasilkan satu lagi aplikasi digital. Sebaliknya, pasukan penyelidik menetapkan matlamat yang lebih besar, iaitu membangunkan satu ekosistem pengurusan rondaan keselamatan yang mampu membantu organisasi memantau operasi secara lebih bersistematik, meningkatkan keselamatan anggota di lapangan dan mempercepat penyampaian maklumat apabila berlaku sesuatu insiden.

“Pendekatan itu penting kerana cabaran dalam pengurusan keselamatan bukan sekadar berkaitan teknologi, tetapi melibatkan keperluan menyelaras maklumat, mempercepat tindakan dan memastikan setiap rondaan benar-benar dilaksanakan mengikut prosedur yang ditetapkan,” ujar Dr. Mohd Adib.

Melalui siri perbincangan bersama agensi keselamatan serta pemerhatian terhadap operasi rondaan sebenar, maka, terbentuknya GuardExpert Pro, sebuah sistem pengurusan rondaan pintar yang menggabungkan teknologi Internet Kebendaan (IoT), Kecerdasan Buatan (AI) dan komunikasi digital bagi membantu memperkukuh pengurusan keselamatan secara lebih cekap, bersepadu dan responsif.

Bagi Dr. Adib, membangunkan sebuah sistem rondaan digital bukan sekadar menggantikan buku log atau kaedah clocking tradisional dengan aplikasi mudah alih. Sebaliknya, penyelidikan tersebut memberi tumpuan kepada pembinaan satu ekosistem pengurusan keselamatan yang mampu menghubungkan anggota di lapangan dengan pusat kawalan secara lebih cekap dan sistematik.

“Melalui GEP, setiap anggota keselamatan memulakan rondaan dengan membawa sebuah peranti yang berfungsi sebagai alat kawalan peribadi sepanjang syif mereka. Daripada pendaftaran kehadiran sehingga selesai rondaan, semua aktiviti direkodkan secara digital tanpa perlu bergantung kepada buku log atau catatan manual,” jelas beliau berkenaan inovasi yang dihasilkan.

Apabila anggota tiba di setiap lokasi rondaan, kehadiran mereka disahkan melalui teknologi komunikasi medan dekat (NFC). Proses yang sebelum ini memerlukan catatan secara manual kini dilaksanakan secara automatik, sekali gus mengurangkan risiko kesilapan, kehilangan rekod serta meningkatkan ketelusan dalam pengurusan rondaan.

Anggota keselamatan menggunakan peranti handheld yang mempunyai akses GuardExpert Pro untuk mengimbas tag NFC di titik rondaan bagi merekodkan kehadiran dan lokasi secara automatik

Lebih penting, semua maklumat dihantar terus ke sistem pusat sebaik sahaja rondaan dilaksanakan. Pendekatan ini membolehkan penyelia memantau pelaksanaan rondaan dengan lebih berkesan tanpa perlu menunggu laporan diserahkan selepas sesuatu syif berakhir.

“Bagi anggota keselamatan yang bertugas di lapangan, aspek keselamatan diri turut diberikan perhatian dalam pembangunan sistem ini. Antara ciri utama yang dibangunkan ialah butang panik (panic button) yang membolehkan anggota menghantar isyarat kecemasan dengan hanya satu sentuhan sekiranya berdepan ancaman seperti penceroboh, haiwan liar atau masalah kesihatan ketika menjalankan rondaan,” tambahnya.

Maklumat kecemasan tersebut dihantar bersama lokasi anggota melalui integrasi Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), sekali gus membolehkan pusat kawalan mengenal pasti kedudukan mereka dengan segera sebelum bantuan digerakkan. Keupayaan ini mempercepat penyelarasan tindakan, terutamanya dalam situasi yang memerlukan respons segera.

Pusat kawalan memantau pergerakan anggota keselamatan serta menerima maklumat rondaan dan kecemasan secara masa nyata melalui sistem GuardExpert Pro

Bagi melengkapkan lagi ekosistem keselamatan, pasukan penyelidik turut mengintegrasikan penggunaan dron sebagai sokongan kepada operasi rondaan. Teknologi ini membolehkan kawasan yang sukar diakses dipantau dari udara, khususnya ketika berlaku kecemasan atau insiden berskala besar yang memerlukan penilaian awal sebelum anggota dihantar ke lokasi.

Namun begitu, beliau menegaskan bahawa kecanggihan teknologi bukanlah ukuran utama kejayaan sesuatu inovasi. Sebaliknya, nilai sesuatu penyelidikan hanya dapat dibuktikan apabila teknologi yang dibangunkan berjaya digunakan dalam situasi sebenar serta memenuhi keperluan pengguna yang menggunakannya setiap hari.

“Atas sebab itu, sebelum GEP diperkenalkan kepada industri, sistem tersebut terlebih dahulu melalui satu fasa yang menjadi titik perubahan penting dalam keseluruhan perjalanan penyelidikan ini, iaitu apabila UTM sendiri bertindak sebagai ‘living lab’ untuk menguji, menilai dan mematangkan teknologi yang dibangunkan,” katanya semasa menjelaskan pembangunan awal GuardExpert Pro.

Menurut Dr. Adib, penggunaan harian oleh anggota keselamatan UTM memberikan maklum balas yang tidak mungkin diperoleh melalui simulasi di makmal.

Setiap pengalaman pengguna, cabaran operasi dan cadangan penambahbaikan menjadi rujukan penting dalam memperhalusi fungsi sistem agar benar-benar memenuhi keperluan mereka yang menggunakannya di lapangan.

Pendekatan tersebut membolehkan pasukan penyelidik mengenal pasti kelemahan sistem pada peringkat awal, sekali gus menambah baik prestasi dan kebolehpercayaan GEP secara berterusan sebelum ia dikomersialkan. Sehingga kini, GEP masih digunakan oleh pasukan keselamatan UTM dalam pengurusan rondaan harian di kampus.

Selaras dengan perkembangan tersebut, hak pengkomersialan GEP disalurkan kepada Significs Technologies Sdn. Bhd., sebuah syarikat terbitan (spin-off) UTM yang bertanggungjawab membawa hasil penyelidikan universiti ke pasaran.

Melalui Significs Technologies Sdn. Bhd., GEP ditawarkan sebagai penyelesaian keselamatan digital kepada pelbagai organisasi yang memerlukan sistem pengurusan rondaan lebih moden, telus dan cekap.

Peralihan daripada makmal penyelidikan kepada pasaran membuktikan bahawa inovasi yang dibangunkan di universiti mempunyai potensi untuk memenuhi keperluan sebenar industri apabila disokong oleh proses pengujian yang menyeluruh serta kerjasama rapat bersama pengguna.

Kejayaan tersebut seterusnya membuka ruang yang lebih luas kepada penggunaan GEP dalam persekitaran industri. Buktinya dapat dilihat menerusi implementasi teknologi ini di Terminal Tanjung Langsat Port (TLP), sebuah pelabuhan perindustrian yang memerlukan tahap pemantauan keselamatan yang tinggi bagi menyokong operasi hariannya.

GuardExpert Pro digunakan dalam operasi rondaan di Terminal Tanjung Langsat Port bagi membantu memperkukuh pemantauan keselamatan serta meningkatkan kecekapan penyampaian maklumat di lapangan

Bagi pihak pengurusan TLP, pemilihan GEP bukan sekadar melibatkan penggunaan teknologi baharu, tetapi turut mencerminkan keyakinan terhadap penyelesaian yang dibangunkan hasil penyelidikan UTM.

Sepanjang hampir empat tahun pelaksanaannya di TLP, GEP membantu memperkukuh pemantauan rondaan, mempercepat penyampaian maklumat serta memudahkan penyelarasan operasi antara anggota di lapangan dengan pusat kawalan.

Menurut Ketua Agensi Polis Bantuan Tanjung Langsat Port, Raja Mohammad Nor Alias, penggunaan GEP telah membantu mengatasi beberapa cabaran operasi yang sebelum ini dihadapi semasa rondaan keselamatan.

“Sebelum ini, anggota kami perlu mengayuh basikal, kerana itu sahaja kenderaan yang dibenarkan jika perlu meronda. Jaraknya hampir dua kilometer. Kadang kala, walkie-talkie yang kami bekalkan mengalami gangguan frekuensi, makanya laporan tidak sampai. Jadi, beliau terpaksa mengayuh semula ke pos untuk maklumkan kejadian yang berlaku. Semua itu memakan masa. Sekarang tidak lagi begitu,” ujar Raja Mohammad Nor Alias.

Beliau berkata, penggunaan GEP mempercepat penyampaian maklumat kepada pusat kawalan dan membantu anggota bertindak dengan lebih cekap apabila berlaku sesuatu insiden, sekali gus meningkatkan kelancaran operasi keselamatan di pelabuhan.

Pegawai yang menggunakan aplikasi GuardExpert Pro di Tanjung Langsat Port bagi memperkasa sistem rondaan dan keselamatan

Bagi Dr. Adib, kepercayaan yang diberikan oleh organisasi seperti TLP merupakan bukti bahawa sesuatu penyelidikan universiti mampu berkembang menjadi penyelesaian yang benar-benar memberi nilai kepada pengguna apabila dibangunkan berasaskan keperluan sebenar industri.

Kejayaan penggunaan GuardExpert Pro di kampus UTM dan dalam sektor industri membuka lembaran baharu kepada perjalanan penyelidikan tersebut.

Apa yang bermula sebagai usaha memperkukuh pengurusan rondaan keselamatan kini berkembang menjadi penyelesaian digital yang digunakan dalam pelbagai sektor, sekali gus membuktikan bahawa inovasi universiti mampu memberi impak jauh melangkaui persekitaran kampus.

Perkembangan tersebut turut mendapat perhatian Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) apabila penggunaan sistem digital clocking seperti GEP kini menjadi sebahagian elemen penting dalam Perkhidmatan Kawalan Keselamatan (PKK) bermula Oktober 2025.

Langkah tersebut mencerminkan perubahan dalam pendekatan pengurusan keselamatan di institusi pendidikan yang kini memberi penekanan terhadap pendigitalan, ketelusan dan pemantauan operasi secara lebih sistematik.

“Sehingga kini, lebih 1,000 buah sekolah di seluruh negara, termasuk di kawasan pedalaman Sabah, telah menggunakan sistem ini bagi menyokong pengurusan rondaan keselamatan, melindungi harta benda kerajaan serta membantu memastikan keselamatan warga sekolah sentiasa terpelihara,” ulas Dr. Adib berkenaan kejayaan GuardExpert Pro.

Perjalanan GuardExpert Pro membuktikan bahawa penyelidikan universiti tidak berakhir di makmal. Sebaliknya, ia bermula dengan memahami cabaran sebenar di lapangan, dimatangkan melalui pendekatan ‘living lab’, diperkukuh bersama rakan industri dan akhirnya berkembang menjadi penyelesaian yang memberi manfaat kepada masyarakat serta negara.

Perubahan itu bukan sekadar lahir daripada kemajuan teknologi, tetapi daripada penyelidikan yang dibangunkan berasaskan keperluan pengguna sebenar. Bagi Dr. Adib, di situlah letaknya makna sebenar inovasi. Bukan sekadar menghasilkan teknologi baharu, tetapi membangunkan penyelesaian yang benar-benar mengubah cara manusia bekerja, meningkatkan keselamatan dan memberi manfaat kepada masyarakat.

Explore More

UTM Open Day