Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) salur Wakalah Zakat, santuni 50 mahasiswa UTM Kuala Lumpur

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) telah menyampaikan sumbangan Wakalah Zakat berjumlah RM25,000 kepada 50 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur. Sumbangan ini bertujuan membantu menampung keperluan pelaksanaan Projek Tahun Akhir (FYP) mahasiswa. Setiap mahasiswa menerima sumbangan sebanyak RM500.

KUALA LUMPUR, 18 September – Seramai 50 mahasiswa Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur yang terdiri daripada pelajar program Diploma dan Ijazah Sarjana Muda menerima sumbangan Wakalah Zakat berjumlah RM25,000 daripada Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC) bagi membantu menampung keperluan pelaksanaan Projek Tahun Akhir (FYP).

Sumbangan berkenaan disampaikan menerusi Program Sumbangan Kewangan Bersama BHIC kepada mahasiswa FYP UTM Kuala Lumpur yang berlangsung di perkarangan Kaunter Kutipan Zakat Pusat Pungutan Zakat UTM Kuala Lumpur (PPZ-UTMKL), Masjid UTM Kuala Lumpur, hari ini.

Ketua Pegawai Eksekutif BHIC, Feroz Razi Ramli menyampaikan ucapan kepada mahasiswa penerima sumbangan

Majlis tersebut turut dihadiri Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) BHIC, Feroz Razi Ramli; Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Operasi Pusat Pungutan Zakat-Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP), Haji Mohammed Hassan; serta Timbalan Pengarah Pusat Islam UTM Kuala Lumpur, Prof. Madya Dr. Mohd Al’Ikhsan Ghazali.

Agihan sumbangan Wakalah Zakat kepada 50 mahasiswa UTM Kuala Lumpur

Setiap mahasiswa menerima sumbangan sebanyak RM500 yang dapat membantu menampung keperluan berkaitan pelaksanaan projek akhir pengajian masing-masing. Sumbangan tersebut turut memperlihatkan sokongan pihak industri terhadap pembangunan pendidikan dan kebajikan mahasiswa, khususnya mereka yang sedang berada pada peringkat akhir pengajian.

Selain penyerahan sumbangan, program berkenaan turut memberi ruang kepada tetamu kehormat untuk meninjau pameran FYP yang menampilkan hasil projek mahasiswa UTM Kuala Lumpur. Lawatan tersebut diadakan selepas acara simbolik penyerahan sumbangan dan cek cura.

Mahasiswa membentangkan hasil Projek Tahun Akhir kepada tetamu kehormat

Menerusi sesi berkenaan, mahasiswa berpeluang menerangkan projek masing-masing kepada tetamu, termasuk idea, proses pembangunan serta potensi dan manfaat hasil projek yang dihasilkan. Pada masa yang sama, sesi tersebut membuka ruang kepada pihak industri untuk mengenali hasil inovasi mahasiswa dengan lebih dekat, selain memberi peluang kepada mahasiswa berkongsi idea dan memperoleh pendedahan secara langsung mengenai keperluan serta perspektif industri.

Tetamu kenamaan menyampaikan beg cenderahati kepada mahasiswa penerima sumbangan

Kerjasama antara BHIC, PPZ-MAIWP dan UTM Kuala Lumpur ini turut memperlihatkan usaha memanfaatkan dana Wakalah Zakat bagi menyokong keperluan pendidikan mahasiswa. Melalui peranan Pusat Islam UTM Kuala Lumpur sebagai ejen PPZ-MAIWP, penyampaian manfaat zakat kepada warga universiti dapat dilaksanakan dengan lebih dekat dan tersusun.

Pada program sama, barisan tetamu kenamaan turut menyampaikan beg cenderahati kepada mahasiswa penerima sumbangan.

Pihak UTM Kuala Lumpur merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada BHIC serta PPZ-MAIWP atas keprihatinan dan sokongan yang diberikan kepada mahasiswa UTM.

Sumbangan tersebut diharapkan dapat membantu 50 mahasiswa penerima dalam menyiapkan projek akhir pengajian masing-masing, di samping menyokong usaha melahirkan graduan yang berilmu, berkemahiran dan mampu menyumbang kepada masyarakat serta negara.

Tetamu kenamaan bersama 50 mahasiswa penerima sumbangan Wakalah Zakat BHIC

Explore More

UTM Open Day