📝 Ringkasan
Bengkel ToT Modul Adab 360° UTM Siri 2 diadakan di Hotel Ramada by Wyndham Meridin, Iskandar Puteri, untuk memperkukuh pembudayaan adab dalam kalangan warga UTM. Bengkel itu menghimpunkan peserta daripada Duta Penyampaian Modul Adab dan ahli Task Force Pembangunan dan Pelaksanaan Skema Pengukuran Keberkesanan Program Pembentukan Adab dan Sahsiah Pelajar UTM. Modul Adab 360° mengetengahkan tujuh elemen adab, seperti adab terhadap Tuhan, diri sendiri, ibu bapa, pensyarah, ilmu, sahabat dan alam sekitar, sebagai asas pembentukan insan yang seimbang.
ISKANDAR PUTERI, 27 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh agenda pembentukan sahsiah dan pembudayaan adab dalam kalangan warganya menerusi Bengkel Train of Trainers (ToT) Penyampaian Modul Adab 360° UTM Siri 2 yang berlangsung di Hotel Ramada by Wyndham Meridin, Iskandar Puteri, di sini.
Bengkel tersebut menghimpunkan peserta daripada kalangan Duta Penyampaian Modul Adab yang mewakili fakulti dan kolej kediaman UTM, selain ahli Task Force Pembangunan dan Pelaksanaan Skema Pengukuran Keberkesanan Program Pembentukan Adab dan Sahsiah Pelajar UTM (i-Adab).
Majlis perasmian disempurnakan oleh Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni) UTM, Prof. Dr. Shahrizal Sunar, yang dalam ucapannya menegaskan bahawa pemerkasaan adab merupakan tanggungjawab bersama seluruh warga universiti dan perlu diterjemahkan melalui tindakan, kepimpinan serta teladan dalam kehidupan seharian.
Beliau turut menjelaskan bahawa Modul Adab 360° bukan sekadar modul latihan atau bahan pembentangan, sebaliknya satu kerangka pembentukan budaya yang bakal mencorakkan identiti warga UTM agar terus cemerlang dari segi akademik di samping memiliki akhlak yang terpuji. Modul ini mengetengahkan tujuh elemen adab, iaitu adab terhadap Tuhan, diri sendiri, ibu bapa, pensyarah, ilmu, sahabat dan alam sekitar, sebagai asas pembentukan insan yang seimbang.
Sementara itu, Pengarah Pembangunan Aktiviti Pelajar, Bahagian Aktiviti dan Pembangunan Pelajar (BAPP), Prof. Madya Ir. Ts. Dr. Nor Hasrul Akhmal Ngadiman berkata bengkel itu merupakan antara langkah penting bagi memperluas dan memperkukuh pembudayaan adab dalam keseluruhan ekosistem UTM.
Menurut beliau, inisiatif pemerkasaan adab UTM dilaksanakan menerusi ekosistem yang saling melengkapi, merangkumi Adab Intelektual, Santai Adab, Adab Talk Series, Kempen SALAM, Podcast Sembang Adab, Duta Penyampaian Modul Adab, pembangunan dan pelaksanaan i-Adab, serta Penyampaian Modul Adab 360° itu sendiri. Pendekatan ini turut disokong oleh usaha membangunkan mekanisme pengukuran keberkesanan pembentukan adab dan sahsiah pelajar secara lebih sistematik dan berasaskan data.


Antara pengisian utama bengkel ialah pendekatan 5IVE (Lima Minit Satu Nilai), teknik penyampaian Modul Adab, aplikasi kemahiran oratori, serta elemen gamifikasi bagi memperkukuh kemahiran peserta sebagai penyampai dan agen pembudayaan adab di fakulti dan kolej kediaman masing-masing.
Pendekatan 5IVE khususnya diharapkan dapat diamalkan dalam pelbagai ruang kehidupan kampus, termasuk semasa kuliah, mesyuarat dan program pelajar, kerana perubahan besar sering kali bermula daripada amalan kecil yang dilaksanakan secara konsisten.
Bengkel ini turut menjadi platform untuk memperkukuh peranan Duta Penyampaian Modul Adab sebagai agen perubahan yang bukan sahaja bertanggungjawab menyampaikan kandungan modul, malah turut menjadi teladan dalam mengamalkan nilai adab melalui percakapan, tingkah laku dan interaksi bersama warga kampus.
Usaha ini selaras dengan aspirasi UTM ASCEND 2030 yang menekankan pembangunan modal insan secara holistik, berintegriti dan bertanggungjawab. Pembudayaan Adab 360° dijangka terus berkembang daripada ruang latihan ke fakulti, kolej kediaman dan seluruh ekosistem universiti sehingga menjadi sebahagian daripada identiti warga UTM.
Dengan semangat “Adab Terpuji, Bakat Berkualiti”, UTM komited untuk terus melahirkan mahasiswa yang bukan sahaja cemerlang dari segi ilmu dan kepakaran, tetapi juga memiliki sahsiah, integriti dan adab yang tinggi.