UTM perkukuh kedudukan peneraju Kebolehpasaran Graduan

SDGSDG4SDG8

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai antara institusi peneraju dalam agenda kebolehpasaran graduan negara. UTM berjaya mengekalkan prestasi cemerlang selama lima tahun berturut-turut, termasuk merekodkan 100 peratus Kadar Bekerja Graduan bagi tiga tahun berturut-turut. Pencapaian ini mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan.

KUALA LUMPUR, 21 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai institusi peneraju dalam agenda kebolehpasaran graduan negara apabila berjaya mengekalkan prestasi cemerlang selama lima tahun berturut-turut, termasuk merekodkan 100 peratus Kadar Bekerja Graduan bagi tiga tahun berturut-turut.

Konsistensi pencapaian itu mendapat pengiktirafan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menerusi Anugerah Prestasi Cemerlang Kebolehpasaran Graduan, sekali gus mencerminkan keberkesanan ekosistem pembangunan graduan yang dibina UTM secara berstruktur dan berterusan.

Anugerah berkenaan diterima oleh Naib Canselor UTM, Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry Mohd Rahim, bagi pihak universiti daripada Menteri Pendidikan Tinggi, YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, pada Persidangan Kebolehpasaran Graduan KPT 2026 dan Peluncuran Pelan Strategik Kebolehpasaran Graduan (PSKG) 2026–2030 di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur, semalam.

Bagi UTM, pencapaian tersebut bukan sekadar pengiktirafan terhadap angka, sebaliknya mencerminkan perjalanan panjang universiti dalam membangunkan ekosistem kebolehpasaran graduan yang menghubungkan pendidikan, kompetensi, pengalaman industri dan kesiapsiagaan kerjaya secara menyeluruh.

Usaha itu diperkukuh secara lebih tersusun pada 2020 menerusi pengenalan Rising Above COVID Challenges for Graduate Employability (RACE-GE), sebuah inisiatif strategik yang memberi tumpuan kepada peningkatan kebolehpasaran graduan UTM.

Inisiatif tersebut diterajui Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry menerusi Institute for Life-Ready Graduates (UTM iLeaGue) dan menjadi antara titik penting yang mengubah pendekatan UTM terhadap kebolehpasaran graduan daripada sekadar indikator pencapaian kepada agenda institusi yang memerlukan sasaran, pemantauan, tindakan susulan serta penglibatan pelbagai pihak secara berterusan.

Kesinambungan usaha tersebut kemudiannya diperkasakan melalui Pusat Kerjaya UTM (UTMCC) mulai 2022 dengan memberi penekanan kepada pembangunan kerjaya mahasiswa, pengukuhan kemahiran kebolehpasaran, hubungan strategik bersama industri serta pendedahan kepada realiti pasaran pekerjaan.

UTM turut memperkenalkan Graduate Employability Ambassador (GE Ambassador) di setiap fakulti bagi memperluas pelaksanaan agenda kebolehpasaran graduan sehingga ke peringkat fakulti.

Pendekatan itu memperkukuh penyelarasan antara UTMCC dan fakulti, sekali gus membolehkan pembangunan kebolehpasaran graduan disesuaikan dengan keperluan dan karakteristik setiap bidang pengajian.

Momentum yang dibina secara berterusan itu menghasilkan pencapaian penting apabila UTM buat pertama kali merekodkan kadar kebolehpasaran graduan 100 peratus pada 2023 dan seterusnya mengekalkan prestasi tersebut bagi tiga tahun berturut-turut.

Di bawah UTMCC, agenda berkenaan terus berkembang daripada pencapaian indikator kepada pembinaan ekosistem kerjaya yang lebih menyeluruh bagi memastikan mahasiswa bukan sahaja memiliki kelayakan akademik, malah dilengkapi kemahiran profesional dan insaniah, pengalaman industri, literasi kerjaya serta keupayaan menyesuaikan diri dengan perubahan dunia pekerjaan.

Menurut Prof. Ts. Dr. Mohd Shafry, prestasi konsisten UTM turut disokong oleh ekosistem pembangunan graduan yang bermula seawal tahun pertama pengajian, termasuk menerusi pelaksanaan program Professional Skills Certificate (PSC), selain program Latihan Industri Sukarela dan Latihan Industri Luar Negara.

Pencapaian itu sekali gus memperlihatkan bahawa kebolehpasaran graduan di UTM bukan lagi agenda yang bergerak secara bersendirian, sebaliknya telah berkembang menjadi agenda institusi yang merentas fakulti, bidang dan peringkat pengajian.

Bagi UTM, ukuran kejayaan bukan sekadar jumlah graduan yang berjaya memperoleh pekerjaan, tetapi sejauh mana graduan yang dilahirkan benar-benar bersedia, bernilai dan relevan kepada dunia pekerjaan serta berupaya menyumbang kepada pembangunan negara.

Explore More

UTM Open Day