UTM perkasa literasi digital kariah masjid dan surau di Sungai Gumut

SDGSDG4SDG8SDG9SDG16

📝 Ringkasan

UTM melaksanakan program “Pemindahan Ilmu Kreatif kepada Kariah Masjid di Mukim Sungai Gumut” bagi memperkasa komuniti kariah masjid dan surau dengan kemahiran digital. Program ini melibatkan 19 peserta dari berbagai peringkat usia yang belajar kemahiran digital seperti penghasilan kandungan kreatif, pengurusan maklumat dan penggunaan platform digital. Peserta juga belajar menggunakan aplikasi seperti Canva, CapCut dan Google Forms. Program ini diharapkan dapat melahirkan Kariah Digital yang mampu mengurus media rasmi, menghasilkan kandungan kreatif dan menyebarluaskan maklumat aktiviti masjid dan surau.

SUNGAI GUMUT, 8 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) menerusi Program Pemindahan Ilmu-Geran Teknologi Penyelidikan (KTP-RIG) 2026 melaksanakan inisiatif bertajuk “Pemindahan Ilmu Kreatif kepada Kariah Masjid di Mukim Sungai Gumut” bagi memperkasa komuniti kariah masjid dan surau dengan kemahiran digital yang praktikal serta relevan dengan keperluan semasa.

Program yang berlangsung di Pusat Komuniti Desa (PKD) Sungai Gumut itu dilaksanakan dengan kerjasama Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Persatuan Instrumentasi dan Pengukuran Institut Jurutera Elektrik dan Elektronik (IEEE-IMS) Cawangan Malaysia, dengan memberi penekanan kepada pemindahan ilmu serta penguasaan kemahiran komunikasi dan media digital dalam kalangan pengurusan dan ahli kariah setempat.

Program diketuai Prof. Madya Ts. Dr. Nelidya Md. Yusoff dari Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), UTM, dengan dibantu Ts. Nur Fadhilah Zaharin dari Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti (JPPKK) serta Lya Umaira Mohd Heemi Fazeree dari Universiti Putra Malaysia (UPM).

Kolaborasi rentas institusi itu mencerminkan komitmen bersama dalam memperluas pemindahan ilmu dan memperkasa komuniti melalui kemahiran digital yang mudah diaplikasikan dalam pengurusan serta aktiviti harian.

Program tersebut disertai 19 peserta berusia antara 18 hingga 65 tahun yang terdiri daripada ahli kariah masjid dan surau di sekitar Mukim Sungai Gumut dan kawasan berhampiran. Kepelbagaian usia peserta menjadikan program ini sebagai platform pembelajaran merentas generasi, dengan kemahiran dan pengalaman dikongsi bersama dalam usaha membina komuniti yang lebih celik digital.

Pelaksanaan program turut disokong 11 fasilitator yang terdiri daripada staf sokongan dan pelajar FAI yang mempunyai pengalaman dalam penggunaan pelbagai aplikasi digital seperti Canva, CapCut, Google Forms serta pengurusan media sosial.

Bimbingan secara praktikal sepanjang sesi latihan membolehkan peserta menerima tunjuk ajar secara langsung ketika menghasilkan bahan digital. Pendekatan itu membantu meningkatkan keyakinan serta kemahiran peserta dalam menghasilkan bahan hebahan berbentuk poster dan video yang lebih berkualiti, kreatif dan sesuai dikongsikan kepada ahli kariah melalui platform digital.

Peserta menerima bimbingan secara praktikal daripada fasilitator dalam mengaplikasikan kemahiran digital bagi menghasilkan bahan hebahan untuk komuniti kariah

Pembangunan modul pengajaran bagi program ini turut dilaksanakan oleh Muhammad Nurafif Mohd Norshisam dan Lya Umaira Mohd Heemi Fazeree, dengan kandungan modul dirangka berdasarkan keperluan dan tahap penguasaan digital komuniti sasaran.

Modul tersebut memberi penekanan kepada pembelajaran secara praktikal dan mudah diaplikasikan, merangkumi kemahiran penghasilan kandungan kreatif, pengurusan maklumat serta penggunaan platform digital bagi menyokong penyampaian maklumat aktiviti masjid dan surau.

Menerusi pendekatan secara amali, peserta diperkenalkan kepada pelbagai kemahiran digital yang boleh terus dimanfaatkan dalam pengurusan dan penyampaian maklumat masjid. Latihan merangkumi penghasilan bahan komunikasi visual menggunakan Canva, teknik asas rakaman dan penyuntingan video pendek dakwah menggunakan CapCut, pembinaan sistem pendaftaran serta pemantauan kehadiran menggunakan Google Forms dan kod QR, selain pengurusan saluran media sosial rasmi masjid.

Gabungan kemahiran itu membolehkan peserta bukan sahaja menghasilkan kandungan digital, malah mengurus dan menyebarluaskan maklumat kepada ahli kariah melalui saluran komunikasi yang lebih tersusun dan berkesan.

Keseluruhan pendekatan tersebut dirangka bukan sekadar untuk mengajar penggunaan aplikasi digital, tetapi bagi membina keupayaan komuniti menghasilkan, mengurus dan menyampaikan maklumat secara kendiri. Peserta bukan sahaja belajar menggunakan teknologi, malah dibimbing untuk melihat bagaimana teknologi tersebut boleh dimanfaatkan bagi memperkukuh fungsi masjid sebagai pusat ibadah, ilmu, komunikasi dan pembangunan komuniti.

Peserta daripada pelbagai peringkat usia mengikuti latihan secara amali dengan bimbingan fasilitator dalam pendekatan pembelajaran digital merentas generasi

Impak positif program turut dizahirkan peserta yang menyifatkan latihan secara amali sebagai praktikal dan relevan dengan keperluan pengurusan media harian. Wakil Surau Al-Wasatiah, Kampung Keliang, Norizzati Husna Rosli, berkata program tersebut memberikan ilmu baharu yang amat berguna, khususnya dalam menghasilkan bahan visual menggunakan Canva yang sebelum ini agak sukar untuk dikuasai.

Menurut beliau, pendedahan itu membantu pihak masjid dan surau bergerak seiring dengan agenda digitalisasi, khususnya apabila penyampaian maklumat kepada masyarakat kini semakin beralih daripada kaedah konvensional seperti papan kenyataan kepada platform dalam talian.

Turut berkongsi pandangan, Imam Rawatib Masjid At-Taqwa Kalumpang, Ahmad Saifullah Yazuli, menyifatkan bengkel berkenaan sebagai satu pendedahan yang memberi kefahaman lebih jelas terhadap penggunaan aplikasi reka bentuk digital dan teknik penyuntingan video.

Menurut beliau, latihan secara amali membantu meningkatkan keyakinan dalam menghasilkan kandungan dakwah berbentuk visual yang lebih interaktif, sekali gus membolehkan mesej dan aktiviti keagamaan disampaikan dengan pendekatan yang lebih dekat dengan keperluan ahli kariah masa kini.

Peserta Program Pemindahan Ilmu Media Kreatif bagi Kariah Masjid di Mukim Sungai Gumut bergambar bersama selepas program selesai

Sebagai impak jangka panjang, program ini diharapkan dapat melahirkan Kariah Digital yang mampu memainkan peranan secara berterusan dalam mengurus media rasmi, menghasilkan kandungan kreatif serta menyebarluaskan maklumat aktiviti masjid dan surau. Keupayaan ini bukan sahaja dapat memperkukuh komunikasi antara pihak pengurusan dengan ahli kariah, malah berpotensi meningkatkan penyertaan masyarakat dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan.

Inisiatif ini sekali gus memperlihatkan peranan UTM dalam menterjemahkan kepakaran dan ilmu universiti kepada manfaat langsung kepada masyarakat, khususnya dalam mendepani perubahan landskap digital. Melalui pendekatan pemindahan ilmu yang bersifat inklusif dan merentas generasi, usaha ini diharapkan dapat menyumbang kepada pembentukan komuniti yang lebih berdaya digital serta memastikan institusi masjid terus relevan sebagai pusat ibadah, ilmu dan pembangunan masyarakat.

 

Oleh Prof. Madya Ts. Dr. Nelidya Md. Yusoff dan Ts. Dr. Sahnius Usman

Explore More

UTM Open Day