UTM perkasa Komuniti Wira Damai menerusi teknologi dan inovasi

SDGSDG4SDG8SDG9SDG11SDG12

📝 Ringkasan

UTM telah mengadakan Karnival Komuniti MADANI Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) @ Wira Damai di Kampung Melayu Wira Damai, Gombak. Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari. UTM telah menyumbang kepada komuniti menerusi pelbagai inisiatif, termasuk Pemasangan Lampu Solar, Projek Pemerkasaan Tekno-Usahawan, Projek Pusat Pendayaan dan Inkubator Ekonomi Komuniti, dan Projek Sekolah Angkat MADANI JPT 2026. Inisiatif-inisiatif ini bertujuan meningkatkan kemahiran dan keupayaan ekonomi komuniti, serta memperkasakan fasiliti dan modal insan sekolah.

GOMBAK, 22 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus memperkukuh peranan dalam memindahkan kepakaran, teknologi dan inovasi kepada masyarakat menerusi penganjuran Karnival Komuniti MADANI Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) @ Wira Damai di Kampung Melayu Wira Damai, Gombak.

Program bertemakan “Komuniti MADANI Penggerak Kemajuan Membina Kesejahteraan” itu menghimpunkan kira-kira 1,000 penduduk setempat menerusi pelbagai aktiviti kemasyarakatan. Majlis perasmian disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, dan turut dihadiri Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datuk Prof. Dr. Azlinda Azman.

UTM diwakili Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah, serta Ketua Kampus Cawangan UTM Kuala Lumpur, Prof. Dr. Fauziah Sh. Ahmad. Penglibatan pengurusan universiti itu memperlihatkan komitmen UTM dalam menyokong agenda pemerkasaan masyarakat menerusi penerapan sains, kejuruteraan dan teknologi hijau.

Penghargaan disampaikan Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari (tiga dari kiri), kepada Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah (dua dari kiri)

Antara sumbangan utama UTM menerusi inisiatif Kampung Angkat MADANI 2026 adalah Pemasangan Lampu Solar dan Projek Pemerkasaan Tekno-Usahawan. Menerusi kedua-dua inisiatif itu, UTM mereka bentuk sistem tenaga solar di Pusat Kabin TeknoUsahawan bagi membantu meningkatkan kecekapan tenaga, mengurangkan kos penggunaan elektrik serta menggalakkan penerapan tenaga boleh baharu dalam kalangan usahawan mikro.

Selain itu, UTM turut menggerakkan Projek Pusat Pendayaan dan Inkubator Ekonomi Komuniti bagi memperkukuh sosioekonomi penduduk melalui beberapa inisiatif, termasuk Projek Keusahawanan Madu, Projek Keusahawanan Cendawan Damai, Projek Program Pemindahan Ilmu (KTP) Usahawantani Kebun Wira Damai serta program pendidikan Tuisyen WiraEducare.

Inisiatif tersebut memberikan tumpuan kepada pembangunan kemahiran dan keupayaan ekonomi komuniti supaya penduduk dapat memanfaatkan pengetahuan, teknologi dan sumber yang tersedia bagi menyokong aktiviti ekonomi setempat.

Pendaftar UTM, Dato’ Dr. Mohd Sharil Abdullah (kiri), menerangkan projek dan perkhidmatan UTM kepada penduduk setempat

Sementara itu, menerusi inisiatif Sekolah Angkat MADANI JPT 2026 di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Kertas, UTM turut menyumbang kepada usaha memperkasakan fasiliti dan modal insan sekolah.

Antara inisiatif yang dilaksanakan adalah Projek Pemerkasaan Pembaikan Pendawaian Elektrik bagi membantu meningkatkan aspek keselamatan warga sekolah. UTM turut melaksanakan Projek KTP STEM Robotik dan Kursus Robotik yang memberikan pendedahan secara amali kepada pelajar, di samping memupuk minat terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta teknologi masa hadapan.

Usaha memperluas penglibatan golongan belia turut diteruskan menerusi Pertandingan E-Sukan dan Program Servis Motosikal yang dianjurkan UTM Kuala Lumpur untuk komuniti setempat.

Pelaksanaan karnival berkenaan turut diperkukuh menerusi perkongsian kepakaran dan kerjasama dengan beberapa universiti awam, antaranya Universiti Malaya (UM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Mahasiswa UTM membantu penduduk setempat menukar minyak hitam motosikal secara percuma

Penglibatan UTM dalam Karnival Komuniti MADANI JPT @ Wira Damai memperlihatkan usaha universiti menterjemahkan ilmu, kepakaran dan teknologi kepada penyelesaian yang dekat dengan keperluan masyarakat. Pada masa sama, pendekatan berasaskan komuniti itu berpotensi menyokong pembangunan sosioekonomi setempat secara lebih mampan melalui pengukuhan pendidikan, kemahiran, keusahawanan dan penggunaan teknologi.

Explore More

UTM Open Day