UTM perkasa kesejahteraan komuniti dan pembangunan generasi menerusi Projek Masyarakat Berjiran SUNJER

SDGSDG4SDG8SDG11SDG12SDG16

📝 Ringkasan

Projek Masyarakat Berjiran SUNJER dilaksanakan oleh UTM dengan sokongan peruntukan daripada Johor Plantations Group Berhad (JPG) sebanyak RM50,000. Projek ini melibatkan tiga inisiatif pembangunan komuniti, iaitu Program Kampung Sejahtera, Program SMART SOLAT dan Projek Pensejarahan Sungai Johor Eco Retreat. Ketiga-tiga program ini bertujuan meningkatkan kesejahteraan masyarakat, pembangunan generasi serta pemeliharaan sejarah.

KOTA TINGGI, 26 Ogos – Projek Masyarakat Berjiran SUNJER dilaksanakan menerusi tiga inisiatif pembangunan komuniti yang memberi tumpuan kepada kesejahteraan masyarakat, pembangunan generasi serta pemeliharaan sejarah, iaitu Program Kampung Sejahtera, Program SMART SOLAT dan Projek Pensejarahan Sungai Johor Eco Retreat.

Projek ini dilaksanakan oleh pasukan penyelidik dari Akademi Tamadun Islam (ATI), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSH), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), dengan sokongan peruntukan daripada Johor Plantations Group Berhad (JPG) sebanyak RM20,000 melalui Sungai Johor Eco Retreat (SUNJER). Ketiga-tiga program berkenaan masing-masing diketuai oleh Dr. Nadhirah Muhamad Arib, Dr. Siti Nurjannah Mastor Mustafa dan Prof. Dr. Badlihisham Mohd Nasir.

Program Kampung Sejahtera yang dilaksanakan di SUNJER mengangkat tema “Hidup Harmoni, Warisan Terpelihara, Ekonomi Mapan”, dengan memberi tumpuan kepada tiga komponen utama, iaitu Kesejahteraan Psikososial Diri dan Komuniti, Pemeliharaan Warisan Budaya dan Aset Ekonomi Komuniti, serta Pengurusan Ekonomi Diri dan Pembangunan Ekonomi Berasaskan Komuniti.

Pengisian program memberi ruang kepada peserta meningkatkan kesedaran terhadap kesejahteraan diri, membina kepekaan terhadap orang di sekeliling, mengenali kepentingan warisan, serta memahami pengurusan ekonomi diri dan potensi sumber komuniti. Pendekatan ini menekankan bahawa pembangunan komuniti perlu bermula daripada individu yang sejahtera, disokong oleh penghargaan terhadap identiti dan aset komuniti, serta keupayaan mengurus sumber dan ekonomi secara bijak.

Aktiviti slot Kesejahteraan Psikososial Diri dan Komuniti
Aktiviti slot Pemeliharaan Warisan Budaya dan Aset Komuniti

Sementara itu, Program SMART SOLAT dilaksanakan di Masjid Air Putih, Kota Tinggi, dengan melibatkan murid Tahun 4, 5 dan 6 daripada Sekolah Kebangsaan (SK) Nam Heng. Program ini memberi fokus kepada pengukuhan pengetahuan dan kemahiran solat, serta pembentukan amalan solat dalam kehidupan seharian menerusi pengisian interaktif seperti ceramah, stesen wuduk, stesen solat, demonstrasi, kuiz dan cabaran.

Pendekatan berasaskan aktiviti ini memberi peluang kepada murid bukan sahaja memahami aspek asas solat, malah turut berlatih dan mengukuhkan amalan dalam suasana pembelajaran yang lebih menyeronokkan dan dekat dengan pengalaman mereka.

Peserta Program SMART SOLAT bersama pihak sekolah dan pengurusan SUNJER
Aktiviti demonstrasi cara mengambil wuduk

Selain kedua-dua program tersebut, Projek Pensejarahan Sungai Johor Eco Retreat turut dilaksanakan dengan peruntukan yang disediakan oleh pihak SUNJER sebanyak RM30,000. Projek ini memberi tumpuan kepada usaha mengkaji dan mendokumentasikan sejarah SUNJER, termasuk merekodkan perkembangan serta identiti kawasan itu sebagai sebahagian daripada usaha memelihara warisan dan sumber sejarah untuk rujukan generasi akan datang.

Dengan adanya inisiatif pensejarahan ini, pembangunan SUNJER tidak hanya dilihat dari sudut komuniti dan generasi, tetapi turut mengambil kira sejarah, identiti dan warisan sebagai elemen penting dalam pembentukan masyarakat yang mempunyai kesedaran terhadap asal-usul serta perkembangan persekitaran mereka.

Secara keseluruhannya, pelaksanaan ketiga-tiga program ini memperlihatkan pendekatan Projek Masyarakat Berjiran SUNJER yang menyeluruh, merangkumi kesejahteraan individu, kekuatan komuniti, identiti budaya, pengurusan ekonomi, pembangunan generasi muda, serta pemeliharaan sejarah dan warisan. Projek ini diharapkan dapat menjadi platform berterusan dalam membina masyarakat yang lebih sejahtera, prihatin, beridentiti, berdaya tahan dan berdaya maju, di samping menyokong hubungan strategik antara UTM dan SUNJER dalam usaha pembangunan komuniti serta pemeliharaan sejarah yang memberi manfaat kepada masyarakat setempat.

Sesi bergambar kenangan bersama peserta dan pihak yang terlibat dalam Program SMART SOLAT di Masjid Air Putih, Kota Tinggi

 

Oleh Dr. Nadhirah Muhamad Arib, Akademi Tamadun Islam, FSSH

Explore More

UTM Open Day