UTM perkasa agenda kelestarian global menerusi SEGTA 2026 bersama Universitas Airlangga

SDGSDG7SDG11SDG12SDG13SDG17

📝 Ringkasan

Universiti Teknologi Malaysia (UTM) telah menyertai program Sustainable Energy and Green Technology Applications (SEGTA) 2026 yang diadakan oleh Universitas Airlangga (UNAIR) di Surabaya, Indonesia. Program ini melibatkan 119 peserta antarabangsa dan bertujuan meningkatkan kesedaran dan kemampanan dalam bidang tenaga boleh baharu dan teknologi hijau. UTM telah berjaya meraih pengiktirafan tertinggi dalam program tersebut, termasuk anugerah Peserta Terbaik dan Persembahan Terbaik. Program ini juga telah meningkatkan hubungan akademik antara UTM dan UNAIR serta menunjukkan keupayaan institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN untuk menerajui agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara bersama.

SURABAYA, 4 Ogos – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) terus mengukuhkan komitmennya terhadap pembangunan mampan dan teknologi hijau di peringkat antarabangsa menerusi penyertaan aktif staf dan pelajar dalam program mobiliti antarabangsa Sustainable Energy and Green Technology Applications (SEGTA) 2026 anjuran Fakultas Teknologi Maju dan Multidisiplin (FTMM), Universitas Airlangga (UNAIR).

Program yang melibatkan seramai 119 peserta antarabangsa itu menyaksikan kolaborasi merentas negara menerusi siri latihan akademik, bengkel kepimpinan komuniti serta pemindahan teknologi hijau secara praktikal. Berlangsung dari 29 Julai hingga 4 Ogos 2026 bagi sesi fizikal (on-site), program berkenaan diteruskan secara dalam talian sehingga Disember 2026 dengan fokus kepada pemerkasaan impak nyata kepada komuniti setempat.

Antara pengisian utama program ialah pelaksanaan projek pembangunan komuniti (Community Development) di Pulau Gili Iyang dan daerah Sumenep, Madura. Inisiatif kelestarian yang dijalankan merangkumi penanaman pokok kelapa bagi memelihara kualiti oksigen, pemprosesan sisa plastik reusable menjadi produk komersial, pemasangan sistem penapisan air bersih, penyelenggaraan Airlangga Solar Shelter, serta pendedahan modul STEM Solar Car Kit dan aplikasi Snap Circuits di sekolah rendah setempat.

Sebahagian peserta mengikuti sesi selari pembangunan komuniti di Pulau Gili Iyang, Madura

Sesi fizikal itu kemudiannya diteruskan di Probolinggo dan Kawasan Bromo menerusi modul Low Carbon Destination dan Renewables-Based Approach to Low Carbon Tourism Development bagi mendedahkan peserta kepada aplikasi tenaga boleh baharu dalam sektor pelancongan hijau.

Pengisian program turut merangkumi sesi perkongsian berkaitan kesedaran penggunaan air bersih dan penyelesaian yang sesuai kepada masyarakat di Pulau Gili Iyang, Madura, selain demonstrasi pemahaman litar elektrik menggunakan Snap Circuits oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains UTM, Dr. Muhammad Firdaus Omar, kepada murid Sekolah Dasar Negeri (SDN) Kertasada, Kalianget, Sumenep.

Sesi perkongsian berkaitan kesedaran penggunaan air bersih dan penyelesaian yang sesuai kepada masyarakat di Pulau Gili Iyang, Madura
Dr. Muhammad Firdaus Omar, Pensyarah Kanan Fakulti Sains UTM, berkongsi pemahaman litar elektrik menggunakan Snap Circuits kepada murid SDN Kertasada, Kalianget, Sumenep

Kemuncak program menyaksikan kontingen UTM meraih pengiktirafan tertinggi semasa Majlis Penutupan SEGTA 2026 apabila Muhammad Akhmal Rizal Che Ali dinobatkan sebagai Peserta Terbaik.

Anugerah berkenaan diberikan berdasarkan penglibatan cemerlang beliau dalam slot pembangunan komuniti bertajuk “Promoting Green and Sustainable Energy Awareness among Elementary School Students through Solar Kit-Based Learning” di Sekolah Dasar Negeri (SDN) Kertasada, Kalianget, Sumenep.

Muhammad Akhmal Rizal, empat dari kiri, antara 11 peserta terbaik SEGTA 2026

Satu lagi kejayaan diraih apabila wakil UTM yang menganggotai kumpulan The Kekeks dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik semasa slot persembahan peserta. Kumpulan itu memukau hadirin menerusi persembahan muzikal kreatif yang menggabungkan elemen lagu tradisional Melayu “Ikan Kekek” versi klasik dan moden, serta keunikan permainan tradisional Malaysia, baling selipar, yang diolah dan disampaikan dalam bentuk pantun.

Kumpulan The Kekeks UTM dinobatkan sebagai pemenang Persembahan Terbaik pada Majlis Penutupan SEGTA 2026

Mengulas impak program itu, Prof. Madya Dr. Kamarulzaman Raja Ibrahim, Prof. Madya di Jabatan Fizik, Fakulti Sains UTM, berkata penyertaan UTM dalam SEGTA 2026 amat bertepatan dengan hala tuju strategik universiti.

“Program SEGTA 2026 ini merupakan platform yang sangat baik untuk UTM memperluas agenda kemampanan yang sedang giat dilaksanakan. Penglibatan aktif warga UTM dalam program berimpak tinggi ini memperkukuh peranan universiti dalam merealisasikan matlamat Pelan Strategik UTM ASCEND 2030, khususnya teras Kemampanan dan Kelestarian melalui agenda tenaga boleh baharu, teras Kemanusiaan dan Kesejahteraan melalui pemindahan teknologi hijau kepada masyarakat, serta teras Bakat Global melalui jalinan kerjasama antarabangsa yang berterusan,” ujar beliau.

Kolaborasi ini bukan sahaja memperkukuh hubungan akademik antara UTM dan UNAIR, malah memperlihat keupayaan institusi pengajian tinggi di rantau ASEAN untuk menerajui agenda Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) secara bersama menerusi tindakan komuniti yang nyata dan berimpak.

 

Oleh Amirul Azan Mohd Sufian dan Muhammad Hafiz Kamaruddin

Explore More

UTM Open Day